Filem Malcolm X adalah sebuah filem arahan Spike Lee yang
ditayangkan pada tahun 1992. Malcolm X sendiri dilakonkan oleh Denzel
Washington. Filem ini diiktiraf sebagai filem penting dalam pemaparan Malcolm X
sebagai pejuang nasib orang kulit hitam di Amerika Syarikat. Ianya juga terbaik
dari sudut pembikinan, struktur penceritaan dan lakonan yang mantap. Bukan
senang untuk memfilemkan seorang tokoh seperti Malcolm X yang mempunyai pelbagai
turun naik dalam kehidupannya. Namun filem ini bertuah kerana ianya adalah
adaptasi daripada autobiografi tulisan Alex Haley. Sekiranya anda membaca
autobiografi tersebut, ianya seolah-olah ditulis oleh Malcolm X sendiri kerana
ditulis dari sudut pandang orang pertama. Namun sebenarnya ianya ditulis oleh
Alex Haley dengan menemuramah Malcolm X beberapa kali. Temuramah tersebut
berlaku sejak Malcolm X menjadi orang penting dalam Nation of Islam sehinggalah
selepas beliau menubuhkan organisasi orang kulit hitam yang baru. Oleh itu
temuramah ini unik kerana ianya menulis kehidupan Malcolm X daripada beberapa
fasa dalam kehidupan beliau. Daripada seorang yang sangat ekstrem dengan
kepercayaan Elijah Muhammad, sehingga menjadi seorang Islam yang syumul setelah
balik dari menunaikan Haji.
Penceritaan dalam novel bermula dengan zaman kanak-kanak
beliau, di mana bapanya dibunuh kerana menyebarkan fahaman Kristian yang
bertujuan menguatkan identiti kulit hitam dan menolak Kristian versi kulit
putih. Ini menyebabkan Klu Klux Klan, sebuah organisasi pengganas kulit putih
membunuh bapanya. Ibu Malcolm X pula adalah seorang perempuan kulit hitam yang
lahir akibat ibunya yang kulit hitam dirogol oleh orang kulit putih. Ini
menyebabkan kulit ibu Malcolm X sedikit cerah. Namun kerana sejarah hitamnya
sebelum ini, menyebabkan ibunya sangat membenci orang kulit putih. Fahaman ini
turun kepada anak-anaknya.
Dalam filem pula, ianya bermula dengan Malcolm X pergi ke
salon untuk memerangkan rambut dan membuatkannya lurus. Perbuatan ini biasanya
dibuat oleh remaja kulit hitam pada masa dahulu untuk menunjukkan yang mereka
ini bergaya seperti orang kulit putih. Oleh itu, filem bermula dengan
memaparkan Malcolm X sebagai seorang yang cuba melunturkan identiti kulit hitamnya.
Mengapa filem yang mengisahkan tentang pejuang kulit hitam bermula dengan
sejarah buruk watak utama? Ini kerana untuk memaparkan perjuangan Malcolm X
yang sebenar, sebelum beliau menjadi pejuang dan menyebarkan idea pembebasan
kulit hitam, kita sebagai penonton kena tahu bagaimana Malcolm X berubah.
Ini satu aspek yang kurang diberi perhatian oleh pembikin
filem yang mahu memaparkan tentang tokoh dan perjuangan umat Islam. Filem kena
bermula dengan watak utama berada dalam kegelapan, namun dengan usaha dan
hidayah Tuhan, akhirnya watak utama berubah, dan menjadi pejuang sejati.
Paparan ini sangat penting kerana disitulah penonton akan lebih bersimpati
dengan watak utama. Kalau pembikin filem mahu filem mereka memberi kesan kepada
penonton, kita kena tunjuk bagaimana tokoh yang hebat ini berubah, barulah
ianya menjadi inspirasi kepada penonton. Tidak cukup menunjukkan tokoh tersebut
sudah hebat dan hanya berjuang melawan musuh luar. Hakikatnya semua tokoh hebat
dalam sejarah, sebelum mengalahkan musuh luar, mereka terlebih dahulu
mengalahkan musuh dalam diri sendiri iaitu nafsu.
Filem Malcolm X terbahagi kepada 4 bahagian. Bahagian pertama
adalah zaman di mana Malcolm X masih muda dan ‘jahiliah’. Di sini kita
ditunjukkan tentang penglibatan beliau dalam jenayah dadah serta percintaan
dengan wanita kulit putih. Bagi pembikin filem yang biasa-biasa sahaja, mereka
tentu akan “fast forward” bahagian ini dan ditunjukkan terus Malcolm X yang
sudah berubah dan menjadi pejuang. Namun
Spike Lee membuat tindakan tepat dengan memaparkan dahulu zaman gelap Malcolm
X. Bahagian hidup ini sangat penting kerana sekiranya anda membaca autobiografi
beliau, Malcolm X ada menyebut bahawa antara sebab ceramah beliau ramai yang
datang adalah kerana orang ramai tahu
beliau sendiri pernah terlibat dalam jenayah. Beliau menganggap bahawa
penjenayah terutamanya daripada kalangan orang kulit hitam bukan orang jahat
pada asalnya. Mereka terjebak dengan
jenayah kerana tiada peluang mencari pekerjaan serta melanjutkan pelajaran.
Beliau sendiri menceritakan semasa beliau masih bersekolah, cita-cita beliau
sebenarnya mahu menjadi peguam. Namun guru di sekolah pula yang mengatakan
bahawa impian Malcolm X adalah mustahil dan sepatutnya orang kulit hitam hanya
menjadi pekerja kilang sahaja.
Bahagian kedua pula adalah bahagian di mana beliau ditangkap
kerana merompak. Di dalam penjara, beliau mula mendengar ceramah daripada
pengikut Nation of Islam. Beliau mula melihat bahawa Nation of Islam ini
terutamanya kata-kata Elijah Muhammad, pemimpin tertinggi Nation of Islam
adalah penyelesaian kepada masalah orang kulit hitam di Amerika. Beliau mula
banyak membaca, malah di dalam gelap semasa waktu malam dengan berbekalkan
sedikit cahaya lampu. Malcolm X juga menyalin semula kamus serta berhujah
dengan paderi kristian di gereja penjara
di mana beliau mengkritik Kristian yang hanya mementingkan orang kulit
putih walhal Jesus Christ sendiri bukan kulit putih. Di dalam bahagian ini
ditunjukkan bagaimana Malcolm X mula memahami dunia sebenar melalui penerangan
pendakwah Nation of Islam. Malcolm X tidak berubah secara tiba-tiba, namun
sedikit demi sedikit kekerasan beliau cair. Malcolm X juga menghormati
pendakwah Nation of Islam yang berani melawan warden kulit putih, bukan dengan
kekerasan, tetapi dengan kata-kata dan hujah. Dari situ beliau terinpirasi
untuk menjadi seorang penceramah.
Bahagian ketiga adalah bahagian kemuncak beliau. Setelah
keluar daripada penjara, Malcolm X berjumpa dengan Elijah Muhammad dan dilantik
sebagai Minister untuk salah sebuah Temple Nation of Islam. Ceramah beliau
dihadiri ramai orang dan mula mendapat perhatian peringkat nasional sehingga
masuk dalam program televisyen nasional. Media memaparkan Malcolm X sebagai
radikal dan mengajar orang kulit hitam membenci orang kulit putih. Beliau juga
sangat dipengaruhi dengan idea Elijah Muhammad di mana beliau mengajak supaya
orang kulit hitam membuat negara sendiri kerana mereka telah ditindas terlalu
lama, oleh itu mereka perlu membina hidup di negara baru. Malcolm X dilihat
sangat taksub dengan ajaran Nation of Islam sehingga tidak nampak di dalam
organisasi beliau sendiri berlaku skandal.
Kehidupan Malcolm X sangat menarik kerana dalam bahagian
keempat dan terakhir, beliau mula meragui ajaran Elijah Muhammad. Beliau juga
dituduh oleh orang atasan dalam organisasi sebagai cuba menjadi ketua dan menjatuhkan
Elijah Muhammad. Akhirnya setelah berlaku cubaan membunuh Malcolm X, beliau
keluar negara dan menunaikan Haji. DI situ beliau mula belajar erti agama Islam
yang sebenar dan melihat bahawa agama Islam meraikan kepelbagaian kaum. Di sini
juga beliau sedar agama Islam adalah agama terbaik untuk menyelesaikan isu
perkauman di Amerika Syarikat. Balik dari Haji, beliau membuat sidang media
mengumumkan tentang perubahan strategi beliau dalam memperjuangkan nasib kulit
hitam dengan bekerjasama dengan pelbagai pihak. Namun tidak lama selepas itu,
beliau dibunuh semasa sedang berceramah di hadapan khalayak ramai. Ramai yang
melihat pembunuhan beliau samada dilakukan oleh Nation of Islam atau CIA dalam
usaha mengekang aktivis kulit hitam pada waktu itu.
Secara umumnya filem ini berjaya membuatkan kita berfikir
tentang kesusahan perjuangn menegakkan kebenaran. Ianya tidak cukup setakat
berdoa. Ianya juga satu filem dakwah yang bagus di mana ianya menunjukkan
kepelbagaian kehidupan orang Islam dan ideologi dalam Islam sendiri. Filem
Islamik terutamanya di Malaysia sering terperangkap dengan tema cuba memaksa
penonton menjadi baik dengan menunjukkan watak utama membuat kebaikan akhirnya
mendapat ganjaran daripada tuhan. Dunia sebenar tidak begitu. Orang baik juga
mungkin terseksa di dunia, seperti mana Malcolm X sendiri yang mendapat cabaran
dari dalam dan luar, dan akhirnya dibunuh pula.
Jadi oleh itu, penulis mencadangkan supaya sekiranya terdapat
pembikin filem yang berhasrat untuk menonjolkan elemen Islam dalam filem
mereka, lebih baik mula dengan membuat filem diadaptasi daripada novel
autobiografi atau kisah tokoh-tokoh Islam yang terdahulu. Melalui pengalaman
sebenar penonton dapat memahami dan bersimpati dengan perjuangan yang mereka
lalui dahulu. Filem yang baik, seperti mana buku yang baik, dapat memberi
pengaruh yang besar dalam menginspirasikan umat Islam di luar sana, terutamanya
orang muda. Dalam dunia yang dikuasai oleh audio-visual sekarang, filem patut
menjadi medium yang penting dalam mengajarkan Islam yang sebenar.
No comments:
Post a Comment