Friday, April 21, 2017

Referendum Turki : Dari Sistem Berparlimen ke Sistem Kepresidenan


Pada 19 April yang lalu, ABIM menganjurkan sebuah forum yang membincangkan tentang keputusan referendum di Turki. Referendum tersebut dibuat oleh kerajaan yang diketuai oleh AKP di mana ianya memberi pilihan kepada rakyat untuk menjawab “Ya” atau “Tidak” dalam meningkatkan kuasa Presiden Turki. Lebih 50 peratus menjawab “Ya” manakala 40 peratus lagi menjawab “Tidak.” Forum ini menampilkan Tuan Haji Ahmad Azam, Presiden WADAH dan juga Penolong Setiausaha Agung UNIW, sebuah NGO antarabangsa berpangkalan di Turki. Panel kedua pula adalah Dr Mehmet Ozay, koresponden Anadolu Press di Kuala Lumpur.

Sistem kerajaan di Turki sebenarnya lebih kurang sama dengan Malaysia di mana semasa pilihanraya, rakyat akan memilih parti politik yang mereka sukai. Kemudian jumlah undi tersebut menentukan berapa ramai bilangan ahli parlimen yang akan dilantik oleh parti. Parti yang paling banyak ahli parlimen adalah parti yang akan menjadi kerajaan. Presiden pula dipilih oleh rakyat secara terus. Namun, di dalam perlembagaan, Presiden tidak mempunyai kuasa berbanding dengan Perdana Menteri. Namun, dalam sejarah politik Turki, sering kali Presiden dan Perdana Menteri bertembung walaupun daripada sama parti. Ini menyebabkan kerajaan yang memerintah tidak dapat berfungsi dengan baik. 

Walaupun Recep Tayyib Erdogan baru sahaja menjadi Presiden pada tahun 2015, namun oleh kerana beliau telah menjadi Perdana Menteri sejak tahun 2002, beliau mempunyai pengaruh yang besar dalam kalangan parti dan rakyat. Ini menyebabkan beliau mempunyai kedudukan yang unik untuk membuat reformasi dalam sistem kerajaan Turki. Walaupun begitu, usaha yang dipopularkan oleh Erdogan ini telah dilihat sebagai cubaan untuk mengekalkan kuasa beliau walaupun hakikatnya cadangan untuk meningkatkan kuasa Presiden ini telah mula disebut sejak zaman Turgut Ozal.

Rakyat Turki mahukan negara mereka lebih maju dan berpengaruh dalam pentas dunia. Walaupun kerajaan AKP berjaya menaikkan taraf negara mereka, namun ditakuti sekiranya berlaku krisis politik pada masa hadapan, negara mereka akan kucar-kacir kembali. Oleh itu, mereka perlukan kepimpinan yang kuat daripada seorang ketua seperti Presiden. Sistem yang sama juga sudah pun berlaku di Amerika Syarikat, Perancis dan Indonesia di mana Presiden adalah ketua kerajaan dan negara yang berpengaruh dan dapat melakukan polisi mereka dengan lebih cepat. Walaupun begitu, parlimen dan kehakiman perlu sentiasa menjadi semak dan imbang kepada kuasa presiden. Itulah yang membimbangkan ramai pemerhati luar dan sebahagian rakyat Turki sendiri apabila mereka melihat Presiden Erdogan terlampau berkuasa. Dalam negara yang system demokrasi berfungsi, Presiden atau Perdana Menteri sentiasa dipantau oleh ahli-ahli parlimen yang dilantik rakyat serta hakim-hakim yang bebas dan adil. Oleh itu, baik system berparlimen atau presiden, kedua-duanya perlu mendapat sokongan majority rakyat untuk berfungsi dengan baik.

No comments:

Post a Comment