Setelah setahun pemerintahan
Pakatan Harapan, pelbagai pandangan telah dikemukakan tentang prestasi mereka.
Rata-rata memberi mata negatif ataupun hanya memuaskan dan banyak perlu
dibaiki. Bagi Perdana Menteri sendiri, beliau memberi markah kepada kerajaan
baharu 39 peratus. Beberapa NGO dan
institut kaji selidik pula lebih melihat kepada pelaksanaan manifesto, di mana
kebanyakannya sudah ditunaikan sepeti pemansuhan GST, memperkenalkan caruman
KWSP kepada suri rumah dan membuat siasatan mengenai kes-kes korupsi yang
melibatkan menteri pada zaman dahulu.
Bagi sesetengah pengundi Pakatan
Harapan semasa PRU yang lalu. Perubahan yang dilakukan kerajaan baharu adalah
sangat perlahan. Mereka mahukan semua manifesto ditunaikan, malah meminta lebih
daripada apa yang dijanjikan. Mereka juga mahukan menteri-menteri dan ahli
parlimen melakukan tugas secara sempuran dan tidak boleh ada kecacatan. Namun
ada pula pandangan bahawa perubahan perlu mengambil masa. Sekiranya berlaku
secara mengejut, rakyat akan menolaknya.
Berapa lama sebenarnya tempoh
yang rakyat boleh terima supaya perubahan betul-betul berlaku dalam Malaysia
Baharu? Adakah rakyat perlu menunggu sehingga PRU ke-15? Ataupun semua janji
ini hanya tinggal janji dan tidak dapat ditunaikan oleh kerajaan.
Apabila membuat refleksi sejarah
lampau dengan mengambil Mesir Purba sebagai contoh. Ianya adalah sebuah
peradaban yang wujud di sepanjang Sungai Nil bermula 3100 Sebelum Masihi dan
diperintah hampir beratus firaun dengan 30 dinasti direkodkan sepanjang
sejarah. Sumbangan Mesir Purba masih lagi dikaji sehingga sekarang seperti dalam
industri pembinaan, perubatan dan pertanian. Namun peradaban ini akhirnya
mengalami kejatuhan pada tahun 332 Sebelum Masihi apabila tentera Alexander the
Great daripada Macedonia menawan Mesir dan akhirnya menubuhkan kerajaan baharu
di sana. Ianya disebut sebagai Dinasti Ptolemy.
Satu perkara yang menarik
mengenai dinasti ini adalah walaupun mereka berasal daripada Greek, namun mereka
cuba sedaya upaya untuk meniru semula peradaban Mesir Purba. Sebagai contoh,
membina kuil-kuil Tuhan Mesir Purba seperti Horus di Edfu serta menggunakan
gelaran yang sama iaitu Firaun. Sejarawan menyebut tindakan kerajaan baharu ini
melakukan peniruan itu adalah untuk menunjukkan kepada rakyat Mesir bahawa mereka
adalah penyambung legasi peradaban Mesir Purba yang sudah beribu tahun lamanya.
Selain itu, ianya adalah satu petunjuk di mana peradaban Yunani juga sangat
memandang tinggi peradaban Mesir Purba dan mengambil banyak inspirasi daripada
mereka.
Kembali ke zaman kini, kita
melihat kerajaan Pakatan menyambung beberapa perancangan daripada zaman
kerajaan BN. Sebagai contoh, Bantuan Sara Hidup (yang dahulunya disebut BR1M)
masih diteruskan dan pembinaan ECRL ke Pantai Timur disambung semula dengan
pengurangan kos. Ada yang berpendapat bahawa ini menunjukkan kerajaan Pakatan
tidak ada idea baru. Namun apa salahnya sekiranya idea dan perancangan yang
bagus dikekalkan untuk kebaikan rakyat?
Oleh itu, kerajaan Pakatan boleh
mengambi iktibar daripada sejarah lampau bahawa tidak ada masalah untuk meniru
perbuatan orang-orang dahulu sekiranya ianya bagus. Yang tidak bagus pula kita
buangkan. Seperti kata pepatah Melayu, “Buang yang keruh, ambillah yang
jernih.”
No comments:
Post a Comment