Rancangan Kementerian Pendidikan untuk menjadikan TITAS
sebagai subjek wajib di IPTS perlu dianggap sebagai langkah yang positif dalam
memberi peluang orang bukan Islam di Malaysia mempelajari tentang agama Islam.
Ini kerana Tamadun Islam adalah cerminan kepada pelaksanaan agama Islam dalam
konteks masyarakat dan negara. Pemahaman rakyat bukan Islam tentang Islam mampu
memelihara keharmonian antara agama di negara Malaysia ini.
Tidak
melampau sekiranya kita mengatakan bahawa Tamadun Islam adalah peradaban
berpengaruh yang membentuk peta antarabangsa kini. Baik berpusat di Baghdad,
Kaherah, Istanbul, Andalusia atau di Melaka kebanyakan intelektual bersetuju
Tamadun Islam berperanan besar dalam kebangkitan Eropah pada abad ke-17 dan 18.
Dan akhirnya kebangkitan di Eropah sebaliknya membentuk peta Asia Tenggara pada
zaman moden ini melalui penjajahan baik dalam bentuk perluasan kuasa,
penyebaran agama dan pemaksaan pemikiran terhadap masyarakat di Timur.
Tamadun Islam juga membantu rakyat memahami bagaimana
Malaysia dibentuk di mana Islam memainkan peranan yang besar dalam
menggubal perlembagaan dan
undang-undang. Ini mengelakkan rakyat kita terpesona dengan bagaimana Barat
membina negara mereka di mana agama diletakkan di bawah negara atau
sekurangnya-kurangnya agama tidak dilibatkan dalam urusan negara. Ini berbeza
dengan Malaysia di mana agama Islam perlu diambil kira dalam segala keputusan
di samping memastikan kebebasan penganut agama lain mengamalkan agama mereka.
Sekiranya ada yang membuat penilaian bahawa mempelajari
sejarah umat Islam tidak penting dan menghalang kemajuan maka kelompok ini
bolehlah disebut ‘tertinggal keretapi’ kerana pengajian sejarah Islam kini
sangat diminati di universiti-universiti besar di Barat. Tidal pernah ada
intelektual besar di dunia yang menafikan kepentingan mempelajari sejarah
mana-mana bangsa. Apatah lagi Tamadun Islam di mana ianya memberi kesan yang
besar terhadap halatuju Malaysia.
Disarankan juga umat Islam Malaysia bersungguh-sungguh
mempelajari sejarah bangsa lain seperti Tamadun China dan India di mana dari
sinilah datangnya kebudayaan dan asal-usul rakan-rakan sewarganegara. Selain
itu, seluruh rakyat Malaysia perlu mendalami Peradaban Barat kerana hasil penjajahan
mereka sehingga sekarang mempengaruhi cara kehdupan kita. Ianya juga penting
kerana sekiranya kita cuba membanding kesan interaksi Tamadun Islam dengan
bangsa-bangsa lain berbanding Peradaban Barat maka kita akan sedar tidak
berlakunya persengketaan besar. Contoh terbaik penyebaran Islam di Alam Melayu
yang berlangsung dengan harmoni. Ini berbeza dengan Barat yang sentiasa
menimbulkan kekacauan di kawasan yang ditaklukinya seperti di India, Timur
Tengah dan Benua Amerika sekadar menamakan beberapa contoh.
Sekali lagi ditegaskan subjek TITAS sangat penting kepada
rakyat Malaysia. Ianya perlu dipelajari sebagai rasa tanggungjawab dalam
memahami kepelbagaian kaum dan agama di Malaysia melalui pengajian sejarah.
Jangan disempitkan subjek ini hanya sekadar untuk lulus ujian semata-mata.
Jangan pula kita berasa terbeban dan membuta tuli menolak subjek ini sebagai
tidak penting. Seperti kata-kata hikmah “Those who
cannot learn from history are doomed to repeat it”.
Mohammad Syazwannuddin bin Shaharuddin
No comments:
Post a Comment