Ucapan dasar adalah sesi yang utama dalam setiap
muktamar. Ianya dibentangkan oleh presiden sebagai releksi sepanjang sesi lalu
disamping memberi gagasan besar untuk kepemimpinan akan datang. Ahmad Fahmi
Samsudin, Presiden PKPIM 2011-2013 yang membentangkan ucapan dasar ini
bertujuan menggabungjalinkan idea-idea tokoh besar dengan gerakerja yang perlu
dilakukan oleh mahasiswa dalam situasi dunia Islam yang sedang dilanda krisis.
Ucapan dasar dimulakan dengan ulasan ringkas tema ucapan
dasar tahun 2012 yang menekankan perjuangan anak muda bukan sekadar ‘young man
opposing without cause’ tetapi golongan ‘independent and persuasive force’ yang
membina gelombang kebangkitan semula ummah. Kemudian, ucapan dasar diteruskan dengan “Misi 3 Ta” iaitu Tanwiriy
(pencerahan), Tahririy (pembebasan) dan Taghyiriy (perubahan). Ketiga-tiga Ta
ini adalah satu proses untuk melahirkan “the enlightened souls”. Golongan ini
adalah golongan yang sedar tentang tanggungjawab dirinya kepada masyarakat.
dalam konteks PKPIM, untuk merubah diri sebagai golongan sedar kita perlulah
merubah dahulu cara berfikir.
Dalam bab seterusnya, diperingatkan bahawa PKPIM
sepatutnya menjadi wadah utama dalam bagi anak muda melaksanakan Islam dengan
murni. Refleksi tentang peranan Yussef Nada sebagai insan cemerlang yang
menyerahkan diri untuk perjuangan Islam perlu dicontohi oleh anak muda.
Perlulah disuntik keghairahan untuk membuat perubahan, bukan sekadar menyerah
kepada takdir semata-mata. Namun, perubahan perlulah dibuat mengikut kesesuaian
tempat supaya gerakan Islam tidak menjadi orang asing di dalam masyarakat
sendiri.
Disinggung juga dalam ucapan dasar berkenaan penglibatan
PKPIM dalam PRU ke-13. Perlulah diperingatkan PKPIM bukan sekadar pemerhati
dalam pilihanraya yang lalu namun adalah penggerak utama dalam pendidikan
politik memberi penerangan mengenai pentingnya memilih ahli politik yang
sentiasa memikirkan masalah umat. Pencerahan ini sangat penting untuk difahami
oleh generasi muda kerana mereka akan menjadi penentu utama dalam PRU akan
datang. Gerakan Islam juga perlu melatih ahlinya bersiap-sedia untuk berkhidmat
dalam bidang politik supaya tidak menjadi politikus yang memperhambakan negara
untuk kepentingan sendiri namun menjadi hamba kepada negara.
Tarbiyyah adalah perkara penting yang sentiasa menjadi
perhatian ahli PKPIM. Ianya penting untuk mempersiapkan diri kader gerakan.
Namun pengisiannya perlulah diperluaskan terutamanya dalam menghadapi orang
bukan Islam. Islah yang mahu dilakukan oleh gerakan Islam perlulah juga
mencakupi pelbagai kelompok dalam negara ini. Kita perlulah kerluar dari zon
selesa dan memperkenalkan keindahan Islam kepada rakyat bukan Islam kerana
mereka juga adalah elemen yang penting dalam menjayakan pembinaan Bangsa
Malaysia seperti yang digagaskan oleh Dato’ Dr Siddiq Fadzil.
Selain tarbiyyah, kaderisasi juga adalah elemen penting
yang sangat diperlukan oleh gerakan Islam untuk meneruskan survival perjuangan dan
menjadi pelengkap kepada tarbiyyah. Contoh Nabi Muhammad SAW sentisa diamalkan
iaitu melatih pemimpin yang mempunyai visi dan proses kaderisasi yang
sistematik dan bertahap. Kaedah nabi adalah berasaskan didikan yang
komprehensif selain meliputi aspek ruhani, jasmani, intelektual dan emosi.
Untuk melaksanakan gagasan besar ini perlulah berlaku interaksi antara generasi
selain kesatuan hati, pemikiran dan gerakerja.
Untuk sesi yang lepas, beberapa idea telah disuntik untuk
melicinkan gerakerja dakwah. Antaranya adalah penilaian semula kegiatan dan
program. Ini adalah untuk memastikan supaya agenda tarbiyyah adalah strategik
dan sistematik, bukan sekadar asal buat. Usrah ditekankan kepentingannya dan
menjadi wadah untuk belajar bersama. Usrah yang lesu adalah petanda bahawa
kader sendiri sudah letih dan ini perlulah diperbetulkan persepsi mereka
mengenai usrah. Dengan cara berfikir begini, kelompok teras dapat dilahirkan
supaya menjadi penggerak utama bagi PKPIM-ABIM-WADAH pada masa akan datang.
PKPIM yang telah berusia setengah abad mempunyai sejarah
yang panjang dan berjaya melahirkan pemimpin yang berjasa kepada masyarakat.
Anak muda mendambakan murabbi dari kalangan orang lama untuk menerapkan
idealisme dan berkongsi pengalaman.
Perkara ini penting supaya kita tidak akan kehilangan sejarah dan
menjadi pembakar semangat untuk lebih menghargai gerakan.
Ucapan dasar diakhiri dengan agenda masa depan PKPIM.
Ahli PKPIM digesa mewaqafkan diri dengan jemaah kerana ianya adalah pengalaman
yang berharga pada masa akan datang. Koperasi PKPIM yang ditubuhkan sesi ini
juga perlu dimanfaatkan ahli sebagai platform keusahawanan. PKPIM juga perlu
memperhebatkan penglibatan dengan isu antarabangsa yang banyak dipimpin oleh
ABIM dan WADAH selain memperhebatkan kerjasama strategik dengan gerakan
antarabangsa mahasiswa Islam. Para senior jemaah juga diminta menambah
sumbangan mereka untuk memastikan projek pembangunan sekretariat berjalan
lancar kerana ianya adalah pangkalan yang penting untuk penggerak. Agenda akhir
adalah cadangan penubuhan Institut Penyelidikan PKPIM sebagai usaha dokumentasi
sejarah PKPIM dan boleh dimanfaatkan untuk generasi akan datang.
Disediakan oleh
Mohammad Syazwannuddin bin Shaharuddin
(Naib Presiden PKPIM)
No comments:
Post a Comment