Sunday, October 13, 2013

Ulasan Filem Gravity

        Kalau cita-cita anda hendak menjadi angkasawan, filem ini mungkin akan membuat anda berfikir dua kali. Penulis sendiri yang pernah bercita-cita hendak menjadi angkasawan (waktu sekolah dulu) masih lagi terbayangkan kesusahan menjadi angkasawan seperti yang digambarkan dalam filem Gravity ini. Filem arahan Alfonso Cuaron ini tidaklah banyak beza dengan filem bertemakan bencana seperti Armageddon atau Titanic. Plot dan perkembangan watak adalah mengikut kebiasaan filem begini iaitu survival watak utama yang terselamat setelah berhempas-pulas berusaha menyelamatkan diri. Malah tema bencana di angkasa sudah pun dirakam dalam filem Apollo 13. Namun yang menjadikan filem ini menjadi bualan ramai dan sudah pasti menjadi pesaing utama Oscar terutamanya dalam kategori Kesan Khas adalah kaedah perfileman.
         Filem ini mengambil peluang menggunakan seluas-luasnya teknologi 3D yang sedang menjadi kegilaan pembikin filem kini. Penulis sendiri yang kurang selesa dengan cermin mata 3D ini pun terpesona dan kagum dengan usaha pembikin filem ini dalam mempersembahkan cerita ini. Walaupun nampak jelas muka pelakon terutamanya sewaktu mereka di luar kapal angkasa adalah CGI namun ianya ditampung dengan gerakan kamera yang unik seolah-olah kita sendiri adalah angkasawan. Ditambah lagi dengan visual Bumi dan bintang-bintang yang indah membuatkan kita terimpikan pengalaman di atas langit sana (sekarang pun boleh pergi dengan syarat ada 1 billion dolar).
        Namun keindahan itu lenyap apabila berlaku letupan satelit yang menyebabkan letusan rangkaian (chain reaction) yang memusnahkan kapal angkasa dan stesen angkasa antarabangsa. Ada yang sempat melarikan diri ke Bumi, namun ada pula yang terkena puing satelit yang bergerak melanggar kapal angkasa sepantas peluru. Biasanya dalam situasi begini watak utama (Sandra Bullock dan George Clooney) sepatutnya lega kerana terselamat namun ini adalah di angkasa, apa gunanya terselamat sekiranya kapal angkasa musnah dan tangki oksigen semakin mengurang?
         Di sini filem menjadi tipikal filem bencana. Walaupun begitu kita dapat merasakan sendiri keseorangan di angkasa kerana terputus hubungan dengan Bumi. Ditambah lagi dengan susunan runut bunyi yang sangat efektif dalam membuatkan kita lebih cemas apabila terpaksa menyelesaikan masalah berseorangan. Dalam situasi beginilah potensi seseorang akan teuji, adakah kita teruskan perjuangan ataupun menyerah di tengah jalan. Apatah lagi konflik watak utama di mana merasakan tidak ada gunanya hidup apabila satu demi satu masalah menimpa.
           Alfonso Cuaron memang dikenali sebagai pengarah yang berani. Nampaknya eksperimen filem ini berjaya dalam membuatkan peminat filem tertarik dengan tema angkasa. Pastinya mana-mana filem bertemakan angkasa selepas ini akan dibandingkan dengan filem Gravity.

No comments:

Post a Comment