Friday, January 1, 2016

10 Filem Terbaik Yang Saya Tonton Tahun 2015

Tahun 2015 melabuhkan tirainya. Musim anugerah filem semakin menghampiri. Oleh itu penulis memikirkan apakah filem yang penulis tonton sepanjang tahun 2015 yang terbaik? Senarai ini hanya terhad kepada apa yang penulis tonton di pawagam, dan kebanyakannya adalah filem Hollywood. Tidak tahulah kenapa penulis kurang menonton filem Malaysia. Bukanlah sebab prejudis dengan filem tempatan. Penulis juga memilih apa yang penulis fikirkan terbaik, walaupun begitu penulis sedar ada lebih banyak filem yang lebih baik yang penulis tidak berkesempatan untuk menontonnya sepanjang tahun ini. Ada juga filem yang penulis suka tetapi pengkritik filem professional tidak suka. Sekali lagi itu bergantung kepada "taste" masing-masing.

10. The Good Dinosaur (Peter Sohn)
Ini satu contoh filem yang ramai berbeza pendapat. Ramai yang memuji tentang kecantikan CGI-nya. Namun ramai pula yang mengkritik tentang karakternya yang aneh dan plot filemnya yang biasa. Ada yang sampai mengatakan bahawa inilah pengakhiran Pixar. Namun bagi penulis, filem ini tetap menarik untuk ditonton terutamanya pengembaraan watak utama dinosaur hijau dan kanak-kanak purba mencari semula jalan pulang. 

9. Star Wars : The Force Awakens (J.J. Abrams)
Filem ini telah mengumpul 1.3 Billion USD untuk kutipan tiket. Ianya adalah filem yang mengutip jumlah jualan tiket tertinggi untuk tahun 2015 dan antara yang tertinggi dalam sejarah filem. Namun bagi penulis ianya terdapat beberapa kekurangan yang ketara terutamanya kerana hanya mengitar semula plot daripada filemnya yang pertama, Episode 4 : A New Hope. Namun begitu ianya bagus dalam memperkenalkan watak dan konflik yang baru. Ini mungkin kerana tekanan kepada penerbit filem yang mahu memuaskan hati peminat lama tetapi dalam masa yang menarik peminat yang baru. Filem ini dilihat sebagai persiapan untuk sekuelnya, yang diharapkan lebih bagus. Penulis sendiri bimbang kalau Star Wars yang baru ini hanya mengulang nostalgia, mungkin sukar untuk mereka menarik minat orang ramai semula.

8. Chappie (Neil Blomkamp)
Dalam ulasan filem Chappie dalam blog ini awal tahun, penulis menyebut filem ini menarik namun terpaksa bersaing dengan Avengers 2 : Age of Ultron dan Star Wars : The Force Awakens sebagai filem sains fiksyen yang diingati dalam tahun 2015. Namun tidak disangka bagi penulis, Chappie yang lebih menarik daripada kedua-dua filem tersebut. Filem Avengers langsung tiada dalam senarai kerana perkembangan cerita tidak konsisten dan Star Wars pun berada di bawah Chappie. Bagi penulis, Chappie lebih bertepatan dengan semangat sains fiksyen dan pengarahnya Neil Blomkamp sepatutnya diberi lebih penghargaan kerana keberaniannya bereksperimen.

7. Jurassic World (Colin Trevorrow)
Filem ini juga adalah sebuah filem nostalgia, sama seperti Star Wars : The Force Awakens. Namun Jurassic World melakukan perkara baru iaitu menunjukkan kepada kita apa yang berlaku apabila Taman tersebut betul-betul dibuka. Ini berbeza dengan Jurassic Park yang hanya melibatkan beberapa orang kerana sedang dalam percubaan. Kaedah mereka menunjukkan nostalgia lebih bagus dan organik, bertepatan dengan cerita. Kita juga dapat melihat bagaimanakah semua pertunjukan dinosaur berlaku, terutamanya dinosaur buaya. Dan filem ini juga menunjukkan pertarungan antara 2 dinosaur yang sangat epik. Oleh itu ianya patut diberi pujian.

6. Kingsman : The Secret Service (Matthew Vaughn)
Juga filem nostalgia dan juga semacam parodi kepada filem James Bond. Ironinya, penulis sendiri tidak memasukkan filem James Bond yang ditayangkan pada tahun 2015 iaitu Spectre. Ini kerana bagi penulis mereka tidak menggunakan watak penjahat dalam filem itu dengan bagus, Malah organisasi Spectre itu juga tidaklah terlalu menakutkan. Berbeza dengan Kingsman, ianya adalah semacam filem "origin" kepada watak penyiasat seperti James Bond, sewaktu mereka masih muda remaja. Filem ini juga mempunyai plot jahat yang bersifat global dan sangat melampau, namun bertepatan dengan tema filem. Dan seperti biasa, Samuel L. Jackson memang pandai dalam melakonkan watak penjahat, lebih baik daripada mana-mana penjahat dalam filem James Bond sebenar.

5. Bridge of Spies (Steven Spielberg)
Seperti perang dingin, tiada peperangan yang ditunjukkan dalam filem ini. Malah aspek-aspek penyiasatan juga tidak ada. Filem ini lebih berfokuskan tentang perundingan. Dan menunjukkan bahawa dalam waktu konflik sekalipun namun sekiranya menghantar perunding yang tepat, perang dapat dielakkan. Seperti ulasan penulis dalam blog, dalam dunia yang semakin kacau dalam pelbagai keganasan dan ambang perang, Steven Spielberg mahu menunjukkan perundingan dalam keadaan aman masih lagi cara terbaik.

4. The Martian (Ridley Scott)
Filem ini adalah yang terbaik dalam genre sains fiksyen untuk beberapa tahun ini. Ianya banyak menunjukkan elemen saintifik yang mungkin masih belum dicapai, tetapi berkemungkinan terjadi dalam beberapa dekad akan datang, mungkin semasa penulis masih hidup. Ianya sangat optimistik dan juga selari dengan penemuan tanda-tanda wujudnya air di Planet Marikh. Filem yang akan mempengaruhi ramai kanak-kanak menjadi angkasawan.


3. Ip Man 3 (Wilson Yip)
Sekuel terbaru dalam siri filem Ip Man, dan juga berkemungkinan filem terakhir Donnie Yen dalam genre kungfu kerana beliau sudah berumur 51 tahun. Namun sekiranya anda sudah menonton filem ini, pastinya anda tidak perasan yang Ip Man sudah tua. Babak-babak perlawan sangat bagus dan mencemaskan. Motivasi karakter pun berkesan terutamanya dalam latar masa Hong Kong di bawah pentadbiran British dan semangat nasionalisme Cina. Ketiga-tiga filem Ip Man sebenarnya wajib ditonton dan menjadi kajian tentang sentimen orang Cina dalam menghadapi kolonialisme, dan kepentingan kungfu dalam mempertahankan identiti mereka.


2. The Walk (Robert Zemeckis)
Penulis menonton filem ini di panggung 3D. Ternyata tidak mengecewakan. Mungkin salah satu filem terbaik yang memanfaatkan teknologi 3D. Walaupun babak yang paling ditunggu adalah sewaktu watak utama akhirnya berjaya melintasi bangunan berkembar WTC di New York, namun jalan penceritaannya masih menarik terutamanya perkembangan karakter dalam menjelaskan mengapa beliau mahu melintasi bangunan tersebut hanya dengan menggunakan wayar besi. Yang lebih impresif, filem ini diinspirasi daripada kisah benar. Dan filem ini juga menghormati latar belakang WTC yang musnah semasa peristiwa 11 September.


1. Inside Out (Pete Docter, Ronnie del Carmen)
Diiktiraf antara filem Pixar terbaik. Filem ini mampu difahami dan dirasai oleh penonton pelbagai generasi. Ianya mengenai apa yang berlaku dalam kepala seorang remaja perempuan yang mengalami konflik apabila keluarganya berpindah dan tidak mampu menyesuaikan diri di tempat baru. Emosi yang digambarkan adalah Joy (Gembira), Sadness (Sedih), Anger (Marah), Disgust (Jijik) dan Fear (Takut). Filem ini juga berjaya memudahkan gambaran apakah sebenarnya yang berlaku dalam otak kita terutamanya bagaimana memori kita disimpan atau dilupakan. Selain itu, filem ini juga mampu menunjukkan bahawa emosi sedih bukanlah sesuatu yang buruk dan semakin kita dewasa, emosi kita semakin berkembang dan kompleks. Filem ini sangat bagus untuk ditonton oleh seluruh keluarga.

Tuesday, December 22, 2015

Ulasan Filem Star Wars Episode 5 : The Empire Strikes Back


Filem ini bermula dengan Luke, Leia dan Han di planet Hoth, yang telah menjadi pangkalan baru Rebels. Walaupun mereka berjaya memusnahkan Death Star, tetapi ternyata Empire masih lagi kukuh dan Darth Vader selamat daripada kemusnahan Death Star kerana menjadi salah seorang juruterbang semasa Rebels menyerang mereka. Kita diperlihatkan bahawa Luke semakin mahir dalam menggunakan Force, apabila Luke ditangkap oleh Yeti Ais, dan digantung terbalik pula, namun Luke berjaya membunuh Yeti tersebut apabila Luke menarik lightsaber dengan tangannya hanya dengan menggunakan Force.

Tetapi, Empire berjaya juga mengesan Rebels dan mereka terpaksa meninggalkan planet tersebut sebelum datang lebih banyak Stormtroopers. Leia, Han, Chewbacca dan C-3P0 melarikan diri dengan menggunakan Millennium Falcon, Luke pula pergi ke planet Dagobah dengan R2-D2 apabila mendapat visi daripada Obi-Wan untuk menemui Mahaguru Jedi di sana. Sampainya di sana, Luke terkejut bahawa Mahaguru Jedi bernama Yoda bukanlah seperti yang disangkakan. Pada mulanya Luke meragui kemampuan Yoda kerana berbadan kecil, namun setelah ditunjukkan bahawa Yoda mampu menaikkan sebuah pesawat perang hanya dengan menggunakan Force, Luke mula belajar dengan lebih tekun. Namun, oleh kerana darah muda Luke yang sentiasa tidak sabar, sering kali Luke gagal melakukan apa yang Yoda suruh. Latihan Luke semakin kritikal apabila Luke berhalusinasi terjumpa Darth Vader, dan apabila memusnahkan topeng Darth Vader, ternampak muka Luke sendiri. Ini kerana terdapat keraguan di dalam diri Luke.

Pada masa yang sama, Millennium Falcon berjaya melarikan diri daripada pesawat Empire, walaupun terpaksa menyorok dalam salah satu gua asteroid. Han mendapat idea untuk mendapatkan pertolongan daripada Lando, kawannya yang sekarang menjadi pemerintah di Cloud City. Namun malangnya apabila mereka sampai, Darth Vader sudah menunggu di dalam bilik. Lando telah mengkhianati mereka. Luke walaupun berada jauh daripada kawan-kawannya, dapat merasakan bahaya dan mahu pergi menolong. Tetapi hasratnya dihalang Yoda, kerana latihannya masih lagi belum berakhir dan Luke masih lagi tidak menguasai Force yang sebenar. Yoda juga merasakan ianya satu perangkap daripada Darth Vader yang mempergunakan kawan-kawannya untuk mendapatkan Luke.

Luke tetap degil dan terus berlepas ke Cloud City. Manakala di sana, Han Solo dibekukan untuk dibawa sebagai pampasan untuk Bobba Fett, pemburu tawaran yang mengikuti Millennium Falcon dan mendedahkan maklumat kepada Empire. Luke sampai sahaja di Cloud City terus mencari kawan-kawannya tetapi bertemu Darth Vader. Tujuan Vader sebenar adalah untuk menangkap Luke supaya diserahkan kepada Emperor dan dijadikan sekutu kerana merasakan kekuatan Force dalam diri Luke. Mereka berdua mula bertarung lightsaber. Pada mulanya Vader memandang rendah kepada Luke dan melawannya dengan menggunakan satu tangah sahaja. Tetapi lama-kelamaan Luke menunjukkan prestasi yang baik dan memberi tentangan yang hebat terhadap Vader. Latihan dengan Yoda menampakkan hasil. Tetapi apabila didesak ke jalan buntu, Vader mengambil memotong tangan Luke yang memegang lightsaber. Pada masa inilah didedahkan siapakah identiti Vader yang sebenar. Luke yang sebenarnnya sudah merasakan perkara tersebut sejak awal lagi tetap tidak percaya dan merasakan inilah sebabnya Yoda melarang Luke datang. Vader pula mendedahkan pelan sebenar beliau yang mahukan Luke bersama-samanya untuk membunuh Emperor dan memerintah galaksi bersama-sama. Luke menolak dan terus melarikan diri. Luke berjaya diselamatkan oleh Leia dan Chewbacca yang berjaya melarikan diri daripada tahanan Stormtroopers dengan Millennium Falcon. Filem berakhir dengan ketidaktentuan di mana adakah Han Solo selamat dan bagaimanakah Luke mahu mengambil tindakan apabila mengetahui identiti sebenar Vader.

Begitulah sinopsis filem ini. Mengapakah penulis begitu rajin menulis sinopsis untuk filem ini walhal untuk Episode 4 penulis hanyalah memberi ulasan ringkas tentang pengalaman dan impak filem tersebut? Ini kerana filem ini berjaya menjadi filem yang lebih baik terutamanya dari sudut plot dan interaksi karakter. Filem ini adalah contoh sekuel filem yang baik, di mana penonton sudah pun mengetahui sikap dan personaliti karakter utama, dan boleh memfokuskan kepada plot sahaja. Berbeza juga dengan Episod 4, plot Episod 5 lebih mengikuti konsep sebab dan akibat, kerana kita faham mengapakah karakter mengambil tindakan tersebut, dan bukan kerana sekadar hendak menggerakkan plot cerita. Sebagai contoh, kita faham mengapa Luke mahu pergi berjumpa Yoda kerana mahukan jawapan dan pemahaman lebih mengenai Force. Selain itu kita juga faham mengapa mereka mahu melarikan diri kerana diserang Empire. Kita juga tahu mengapa mereka singgah di Cloud City kerana Han Solo tidak menyangka Lando akan mengkhianati beliau. 

Selain itu dari sudut interaksi dialog, terdapat kata-kata dingin dan sinikal daripada Han dan Leia yang seolah-olah membenci tetapi saling menyukai. Kemudian antara Darth Vader dan Luke yang cuba merasionalkan tindakan masing-masing sambil berlawan lightsaber. Dan yang paling penting antara Luke dan Yoda, di mana pada masa inilah kita mempelajari lebih banyak tentang Force, dan kesilapan demi kesilapan Luke ditegur Yoda. Perbezaan paling ketara adalah pengakhiran filem ini yang tidak ketahuan, dibanding dengan Episod 4 yang berakhir dengan gembira, tetapi dalam filem ini, Luke kehilangan tangan, Han ditangkap dan Empire terus melebarkan kuasa.

Namun ada satu perkara yang penulis sedar kurang dalam filem ini. Kita dapat lihat Han dan Leia akhirnya mengakui cintanya, dan kita juga didedahkan dengan "plot twist" terbesar filem ini apabila mengetahui identiti sebenar Vader dan ini menyebakan dinamika karakter ini dengan Luke berubah, bukan sekadar musuh. Namun Luke sendiri sebenarnya kurang mengambil pelajaran dan akhirnya menjadi lebih rapuh keyakinannya daripada awal filem. Sekurang-kurangnya dalam Episod 4, Luke menggunakan Force yang diajar oleh Obi-Wan apabila melancarkan torpedo untuk memusnahkan Death Star. Namun dalam filem ini, walaupun Luke dapat memberi cabaran kepada Vader, namun akibat perasaan emosional yang membuak, menyebabkan Luke tidak dapat berlawan dengan baik dan akhirnya kalah.

Filem ini perlulah ditonton bersama-sama dengan Episod 4, barulah rasa puas hati. Namun sekiranya anda sangat menyayangi karakter dalam filem ini, mungkin anda risau dengan pengalaman yang mereka hadapi. Tetapi sekiranya anda mahukan plot cerita yang menarik dan berkesan, filem ini bagus untuk anda dan tidak jemu ditonton berulang kali.

Tuesday, December 15, 2015

Ulasan Filem Star Wars Episode 4 : A New Hope


Penulis menonton kembali filem ini bersama-sama Abe dengan tujuan untuk membuat video live reaction saluran Youtube penulis. Selain itu terus membuat video ulasan mengenai filem tersebut. Sepatutnya sebelum filem yang ketujuh ditayangkan, kami sudah selesai menonton kesemua 6 filem, tetapi nampaknya tidak sempat. 

Mahupun begitu, penulis sendiri sudah menonton filem ini 2 atau 3 kali manakala Abe pula hanya pernah sekali sahaja menonton filem ini, iaitu pada waktu kecil. Walaupun filem ini memang tidak dinafikan sangat popular namun tidak semestinya semua orang sudah menontonnya terutamanya generasi baru atau Gen Y. Mereka mungkin kenal Darth Vader, Lightsaber dan muzik tema Star Wars, namun berapa ramai yang betul-betul meneliti filem ini? Mengapa filem ini berjaya menarik begitu ramai peminat muda (pada zaman 70an) dan kekal menjadi obsesi mereka sehingga hari ini?

Seperti penulis sebut dalam ulasan Episod 1, filem Star Wars Episod 4,5 dan 6 mungkin tidaklah terlalu menarik pada pandangan penulis semasa menontonnya sewaktu kecil. Semasa penulis membesar pada tahun 1990an, terdapat banyak filem yang sudah terkehadapan teknologi perfilemannya seperti Jurassic Park, Terminator 2 dan The Matrix. Pastilah filem Star Wars yang lama nampak seperti "old timer" dan tak relevan. Malah generasi kami lebih tertarik dengan CGI dalam filem Star Wars yang baru, baik dalam sudut persekitaran, peperangan kapal angkasa serta perlawanan lightsaber yang jauh lebih rancak. Ditambah lagi pada awal tahun 2000an, muncul filem seperti The Lord of the Rings, Harry Potter, X-Men dan Spiderman yang lebih banyak menarik kanak-kanak dan remaja untuk meminatinya, berbanding Star Wars yang dianggap francais yang sudah letih.

Namun setelah meningkat dewasa dan matang dalam menonton filem, penulis lebih menghayati filem Star Wars Epidode 4 ini. Ternyata perkembangan karakter dalam filem ini lebih baik, termasuk interaksi antara karakter yang membuatkan setiap karakter lebih menarik. Perkara ini mungkin boleh kita bagi kredit kepada penulis skrip yang menulis dialog yang baik. Kemudian tentulah pujian juga diberikan kepada George Lucas yang berjaya mencipta dunia fantasi yang tidak pernah dilihat sebelum, Populariti Star Wars bukan sahaja membuatkan Hollywood mula melihat filem sains fiksyen dan fantasi mampu mengumpul duit yang banyak, namun pengkritik filem juga mula melihat teknologi komputer dalam filem juga mampu membantu membuat filem yang mempengaruhi masyarakat, bukan sekadar bergantung kepada lakonan dan skrip semata-mata,

Penulis mungkin tidak akan mengulas dari sudut plot kerana kemungkinan besar semua pembaca sudah pun menontonnya (mungkin berkali-kali). Tetapi walaupun begitu penulis masih lagi belum menonton filem Akira Kurosawa bertajuk The Hidden Fortress, yang dikatakan menjadi inspirasi filem Star Wars. Penulis fikir mungkin sekiranya kita mahu bincang lebih tentang filem Star Wars ini, perlulah kita membincangkan tentang pengaruh-pengaruh lain yang membentuk filem ini, selain pengaruh filem ini juga kepada industri perfileman seperti penjualan mainan serta kaedah pemasaran. Dengan memahami perkara ini dapatlah kita buat kesimpulan bahawa jangan pandang rendah terhadap kuasa filem, dan perlunya diambil serius kesannya terhadap masyarakat terutamanya kanak-kanak. Begitu ramai kanak-kanak yang menonton filem Star Wars yang pertama ini dan akhirnya terinspirasi menjadi pembikin dan pengarah filem. Filem yang baik melahirkan pembikin filem yang baik, manakala filem yang teruk juga melahirkan pembikin filem yang teruk. 

Wednesday, December 2, 2015

Ulasan Filem Star Wars Episode 1 : The Phantom Menace


Sebagai persediaan sebelum Star Wars Episod 7 ditayangkan, penulis mengambil insiatif menonton semula semua 6 filem Star Wars yang ditayangkan sebelum ini, Penulis bermula dengan Episod 1 : The Phantom Menace. Filem ini ditayangkan pada tahun 1999, 16 tahun selepas Episode 6 : The Return of Jedi ditayangkan. Oleh kerana sudah lama peminat tidak mendapat filem baru, maka filem ini sangat ditunggu-tunggu oleh peminat. Malangnya ia dikritik hebat oleh peminat dan pengkritik, walaupun masih lagi mendapat kutipan tiket yang tinggi. Ianya dianggap sebagai filem Star Wars paling buruk dalam siri filemnya.

Penulis berusia 11 tahun semasa filem ini ditayangkan. Memang tidak dinafikan penulis suka filem ini, walaupun mungkin kurang memahaminya. Salah satu kritikan terhebat terhadap filem ini adalah penggunaan berlebihan kesan khas skrin hijau. Malah ini menyebabkan salah sorang pelakon filem ini, Liam Neeson merasa tertekan berlakon dalam filem ini kerana beliau langsung tak boleh membayangkan apa yang berlaku dan langsung tiada karakter lain dihadapannya kecuali manusia. Ini menyebabkan dia tidak boleh berlakon dengan baik. Ini berbeza dengan filem Star Wars yang menggunakan kesan praktikal. 

Bagi penulis, tiada masalah penggunaan kesan khas, malah filem Star Wars ini yang mengilhamkan banyak filem lain yang menggunakan kesan khas. Namun sekiranya kesan khas tersebut menyebabkan pelakon tidak fokus, maka tidak sepatutnya perkara itu berlaku. Mungkin cara penulis menonton filem sudah berbeza, dan mula memahami mengapa peminat lama Star Wars membenci filem ini. Ini kerana semasa kecil, penulis ada menonton filem-filem Star Wars yang lama. Tetapi oleh kerana pada masa itu terdapat filem yang lebih hebat dari sudut kesan khasnya seperti The Matrix dan Lord of the Rings menyebabkan penulis merasakan filem yang dulu tidak relevan.

Daripada sudut perkembangan plot dan karakter, hanya watak Obi Wan sahaja yang akhirnya berubah, daripada skeptik dengan Anakin Skywalker, malah cemburukannya kerana menyebabkan gurunya Qui Gon, berhenti mengajarnya untuk memfokuskan pengajaran kepada Anakin, kepada bertekad untuk menjadikan Anakin seorang pahlawan Jedi untuk menghormati gurunya yang mati di tangan Darth Maul.

Babak yang paling disukai peminat adalah babak pertarungan antara Dath Maul dengan Qui Gon dan Obi Wan. Sekiranya anda ada menonton video Youtube di saluran Belated Media, youtuber tersebut membuat ulasan dan cadangan bagaimana membaiki Episod 1 ini. Antara yang penting adalah memberi fokus kepada hubungan guru - murid iaitu Qui Gon dan Obi Wan. Namun oleh kerana George Lucas sibuk hendak memperkenalkan watak Anakin, dan menghabiskan masa dengan perlumbaan pod, menyebabkan perkembangan karakter kurang berlaku.

Ada yang menganggap tidak signifikan dalam siri filem Star Wars, dan ramai yang mencadangkan supaya ditinggalkan sahaja. Momen lain yang penting pun hanyalah kita tahu bagaimana Senator Palpatine (kemudian menjadi Emperor) naik ke pangkat Chancellor. Selain itu, filem ini juga dikritik kerana terlampau banyak mesyuarat Jedi Council dan Senate Republic, dan sebab peperangan adalah kerana perjanjian perdagangan. Walaupun ianya memang berlaku dalam dunia sebenar, tetapi peminat Star Wars menonton filem ini bukan kerana politik, tetapi kerana fantasi dan jalan cerita mudah kebaikan lawan kejatahan.

Friday, November 27, 2015

Ulasan Filem The Bridge of Spies : Peguam Juga Hero


Perang Dingn adalah sebuah perang saraf antara Amerika Syarikat dan Soviet Union. Ianya sangat ditakuti oleh masyarakat dunia terutamanya pada tahun 1960an dan 1970an kerana kedua-duanya mempunyai kuasa nuklear. Sekiranya mereka terlibat dalam perang, kesannya akan merasai seluruh dunia. Walaupun kuasa besar ini tidak berperang secara terus, tetapi mereka terlibat dalam perang proksi, dengan membekalkan senjata, wang dan perisiskan kepada negara atau pihak yang terlibat. Semuanya demi memastikan sokongan negara-negara yang berdekatan atau mempunyai kepentingan. Contohnya apabila Soviet Union menakluk Afghanistan, Amerika Syarikat memberi bantuan senjata kepada Taliban. Dalam Perang Korea pula, Soviet Union dan China membantu Korea Utara, dan Amerika Syarikat pula membantu Korea Selatan.

Kejatuhan Blok Komunis pada tahun 1991 menyebabkan sesetengah ahli akademik dan ahli politik mengisytiharkan "a new world order" di mana Amerika Syarikat menjadi satu-satunya polis dunia. 20 tahun kemudian, pengaruh ekonomi US semakin berkurang dengan "bangkitnya naga" China. China mula menguasai kuasa ekonomi dan perdagangan dunia. China juga mahukan pengaruh yang lebih di rantau Asia Timur, Asia Tenggara dan Afrika serta melakukan pelbagai pelabaruan dan bantuan untuk memastikan negara-negara di rantau ini mesra China. Ini menyebabkan US yang sering sibuk dengan negara-negara Arab mula mengalihkan perhatian mereka ke Asia Tenggra, yang dianggap sebagai rantau penting abad ini dan menjadi medan persaingan kuasa-kuasa besar.

Mungkin dengan latar belakang inilah Steven Spielberg membikin filem The Bridge of Spies. Filem ini berkisar pada tahun 1960an, di mana watak Tom Hanks, menjadi peguam kepada perisik Soviet di Amerika dan mahu menukarkannya dengan seorang juruterbang Amerika Syarikat yang ditahan di Soviet, juga kerana melakukan operasi perisikan. Urusan pertukaran tersebut dilakukan di sempada Berlin yang memisahkan Jerman Timur dan kawasan Berlin yang dikuasai NATO. Filem ini boleh dikategorikan dalam genre spy-thriller, tetapi tiada sangat babak aksi yang mungkin kita anggap akan ada dalam filem mengenai perisikan. Oleh kerana hero filem ini adalah peguam, tindakan beliau juga seperti peguam lain dengan menggunakan hujah dan dokumen yang betul dalam melaksanakan misi.

Mungkin babak penting dalam filem ini adalah hubungan dan dialog antara Tom Hanks dan anak guamnya. Semasa dibicarakan di mahkamah Amerika, hakim mahu menjatuhkan hukuman mati, namun Tom Hanks berhujah bahawa tindakan tersebut bercanggah dengan hak asasi manusia yang diperjuangkan oleh US. Tom Hanks mencadangkan supaya perisik tersebut dipenjaraa sahaja, kerana kemungkinan perisik tersebut akan berguna kepada Amerika. Dan ternyata jangkaan beliau betul apabila sebuah pesawat perisikan US ditembak jatuh. Tom Hanks juga dilihat menghormati perisik Soviet tersebut kerana semasa dalam tahanan, langsung beliau tidak mendedahkan sebarang maklumat mengenai Soviet, ini kerana beliau mempunyai maruah dan tidak akan mendedahkan rahsia yang boleh membahayakan negara, Kerana inilah Tom Hanks berasa bertanggungjawab untuk menghantar beliau pulang ke kampung halamannya, di samping boleh menyelamatkan juruterbang US. Tindakan Tom Hanks ini menyebabkan beliau dibenci oleh masyarakat umum yang menganggap perisik tersebut patut dihukum mati. Tetapi apabila beliau berjaya menyelamatkan juruterbang tersebut, beliau kembali dihormati oleh orang ramai. Walaupun dalam filem ini, watak Tom Hanks dilihat sebagai orang biasa yang tidak tahu selok belok perisikan, namun dalam dunia sebenar, James Donovan (watak Tom Hanks) pernah berkhidmat dalam Office of the Strategic Services (organisasi yang kemudian menjadi CIA) semasa Perang Dunia Ke-2. Oleh itu Donovan sebenarnya mempunyai pengalaman dalam perisikan dan hal ehwal ketenteraan.

Dalam suasana sekarang di mana orang Amerika dan Eropah takut Russia kembali cuba menguasai Eropah dan Asia Tengah, terutamanya di bawah pimpinan Putin, menyebabkan banyak filem Hollywood cuba memaparkan orang Russia dalam karakter yang baik dan rasional. Oleh itu, formula orang jahat Hollywood yang biasanya memaparkan orang Russia sebagai orang jahat, mungkin tidak relevan lagi. Ini kerana Hollywood juga sudah kurang memaparkan orang Arab dan China sebagai orang jahat. Malah kebanyakan orang jahat dalam filem Hollywood sekarang adalah orang kaya dan berkuasa yang korup manakala orang baik pula adalah orang kebanyakan yang cuba menjatuhkan kuasa korup tersebut.

Boleh jadi sentimen Spielberg sekarang, yang melihat bahawa dalam kemuncak permusuhan pun akan muncul orang yang rasional yang cuba menyelesaikan dengan cara damai. Dunia kini masuk ke dalam era perang dingin baru. Sempadan yang dibuat pada awal abad ke-20 semakin runtuh, nasionalisme meningkat dalam sesetengah negara di Eropah, tetapi hanya mementingkan majoriti dan meminggirkan minoriti dan imigran. Mungkin dunia memerlukan pemimpin yang bijak, seperti peguam Donovan, yang menggunakan hujah untuk menangani konflik antarabangsa, bukan sekadar berjuang dengan senjata untuk kepentingan negara sendiri sahaja.

Monday, November 23, 2015

Ulasan Filem The Martian : Iklan NASA untuk Angkasawan Masa Depan



Filem The Martian arahan Ridley Scott pasti akan dibandingkan dengan filem Gravity (2013) dan Interstellar (2014). Penulis berasa gembira kerana kebangkitan filem sains fiksyen angkasa lepas dalam beberapa tahun ini. Bagi penulis, filem The Martian memang sangat menyeronokkan. Oleh kerana NASA sendiri memberi bantuan dan nasihat teknikal dalam filem ini, pastilah ianya mempunyai logik bagaimana pengembaraan angkasa lepas berlaku. Walaupun kemungkinan teknologi yang ditunjukkan belum lagi wujud, saya yakin mereka sudah membuat penyelidikan dan sekiranya mempunyai masa, wang dan tenaga yang cukup, pasti teknologi tersebut dapat dicipta. Inilah penulis fikir satu kekuatan besar filem ini yang membezakannya daripada filem Gravity dan Interstellar. Dalam Gravity ianya lebih kepada survival angkasawan dalam menghadapi bencana, Interstellar pula cuba menjawab persoalan sekiranya Bumi sudah tidak boleh didiami oleh manusia, ke mana nasib manusia selepas ini? Adakah wujud planet lain yang serupa Bumi? Atau adakah cara lain manusia boleh hidup di angkasa lepas?

Penulis cukup yakin akan ramai kanak-kanak yang menonton filem The Martian akan berminat untuk masuk dalam program angkasawan atau jurutera roket di NASA. Malah itulah yang berlaku kepada watak Matt Damon di akhir filem ini, di mana beliau menjadi tenaga pengajar di NASA hasil pengalaman beliau di Planet Marikh selama lebih kurang 2 tahun. Inilah dia kuasa filem menjadi inspirasi kepada anak muda untuk menyambung karier mereka. Kadang-kadang kita tidak perlu pun segala ujian personaliti atau sesi bersama kaunselor, yang penting filem apakah yang kita tonton sewaktu kita membesar. Penulis sendiri memang terpengaruh dengan pelbagai jenis filem. Ada yang hanya melalaikan, tetapi banyak juga memberi saya semangat dan inspirasi. 

Menyentuh hal ini, memang satu perkara yang menyedihkan dalam tayangan pawagam di Malaysia adalah kualiti filem yang ditayangkan. Penulis fikir itulah sebabnya kenapa menonton wayang masih lagi dianggap membuang masa dan "lagha." Ini kerana filem yang ditayangkan banyak yang tidak berkualiti, dan didominasi filem Hollywood. Mana filem-filem dari Perancis, British dan Jerman? Bagaimana pula dengan filem dari negara jiran kita sendiri seperti Indonesia, Thailand dan Filipina yang dianggap sebagai kebangkitan generasi filem yang baru. Masalah sebenar adalah pengedar filem di Malaysia tidak yakin yang filem sebegini tidak laku di Malaysia. Yang mereka nak hanyalah filem yang Hollywood yang dianggap sudah pasti meraih keuntungan. Walhal tidak semua filem Hollywood yang akhirnya untung, malah ada sesetengah filem yang datang dari Hollywood rugi di tempat mereka sendiri.

Balik ke filem The Martian, walaupun filem ini agak panjang, hampir 2 jam lebih namun oleh kerana disusun dengan menarik, penonton tidak merasa bosan. Lakonan dalam filem pun tidaklah terlampau terlebih-lebih dan penonton boleh merasai perasaan karakter kerana ianya dilakonkan seperti manusia biasa. Tetapi mungkin watak Matt Damon agak tidak realistik kerana sekiranya seseorang terperangkap dalam sebuah planet selama beberapa tahun, pastilah ianya akan menjadi gila, walaupun orang yang terperangkap itu saintis genius. Dalam aspek yang lain pula, kita dapat melihat bahawa proses pelancaran roket ke angkasa lepas memang sangat rumit dan memerlukan kerjasama beberapa jabatan. Antara kumpulan yang menyerlah adalah jurutera yang bertungkus lumus cuba berkomunikasi dengan Matt Damon di Planet Marikh serta merangka cara bagaimana Matt Damon boleh melancarkan roket yang sudah ada di Planet Marikh dan berjumpa dengan kapal angkasa yang berpatah balik untuk mengambilnya di situ.

Filem ini patut ditonton bersama-sama keluarga. Diharapkan akan ada anak Malaysia yang bercita-cita untuk mencipta roket sendiri dan membina kapa angkasa untuk manusia hidup di planet-planet. Hanya dengan impian sebeginilah kita dapat melupakan perkara remeh temeh yang memecahbelahkan rakyat Malaysia sendiri. Jangan pandang rendah dengan sains fiksyen, kerana generasi yang terpengaruh dengan filem seperti Star Wars dan Star Trek inilah yang akhirnya mencipta teknologi baharu yang meningkatkan lagi kualiti hidup manusia.

Thursday, November 19, 2015

Pendidikan Seimbang Penyelamat Daripada Ekstremisme

Dunia sekali lagi dikejutkan dengan serangan di Paris. Ianya berlaku selepas 10 bulan serangan di Charlie Hebdo pada awal tahun 2015. Serangan kali ini lebih teruk kerana pengganas menyerang dengan pengebom berani mati di kawasan tumpuan yang ramai seperti dewan konsert dan restoran berbanding semasa Januari lalu yang menyerang pejabat majalah Charlie Hebdo yang diketahui telah menghina beberapa agama termasuk agama Islam dengan melukis gambar Nabi Muhammad. Ini menyebabkan beberapa ekstermis cuba bertindak balas dan membalas dendam. Namun serangan terbaru ini seolah-olah seperti satu pernyataan kepada dunia bahawa mereka masih berbahaya dan mampu melancarkan serangan walaupun di tempat yang mempunyai kawalan keselamatan yang ketat.


ISIS dengan segera mengaku merancang pembunuhan tersebut. Dunia pun segera mengecam tindakan tersebut. Ada yang berjanji akan memperhebatkan lagi serangan ke atas kawasan ISIS seperti Raqqa. Ada pula yang menggesa supaya difahami orang yang sanggup melibatkan diri dengan ISIS dan cuba sedaya upaya mencegah mana-mana pihak terutamanya belia menyertai ISIS. Selain itu terdapat pandangan bahawa penyerang bukan ISIS, malah bukan Islam pun dan menganggap semua ini satu percubaan zionis Israel yang memburukkan lagi umat Islam. Ini kerana parlimen Perancis baru sahaja mengundi untuk mengiktiraf negara Palestin dan ini membuatkan Israel marah. Sekiranya kita mengambil hujah bahawa ISIS yang melancarkan serangan tersebut, kita perlu sedar bahawa semua tindakan tersebut berlaku kerana perang di Syria yang tidak berkesudahan. Ditambah dengan isu pelarian di Eropah, perang di Syria perlu tamat dengan segera. Malah Sidang Kemuncak G20 di Turki juga menjadikan Syria sebagai agenda utama. Tetapi sejauh mana persetujuan daripada semua pihak berjaya dicapai masih lagi dalam kekaburan.


Satu sisi penting yang perlu diberi perhatian adalah mengenai latar belakang pengebom berani mati dan penyerang tersebut. Kemungkinan besar mereka adalah warga Perancis sendiri yang terpengaruh dengan propaganda ISIS. Sekiranya benar maka perlulah perubahan layanan kepada Muslim Perancis sendiri. Umum mengetahui dalam 10 tahun ini kelompok ekstremis yang menolak pendatang semakin meningkat di Eropah. Mereka mula menguasai posisi-posisi penting dalam kerajaan sehingga ianya mengancam kestabilan Kesatuan Eropah sendiri kerana kebanyakan daripada mereka juga sangat bersifat nasionalistik dan menolak agenda serantau. Terpalit sekali adalah golongan migran yang sudah tinggal di negara-negara Eropah sejak seratus tahun lalu. Ada rakyat Perancis sendiri merupakan kumpulan pendatang berasal daripada negara-negara jajahan Perancis di Amerika dan Afrika. Kini yang menetap di Perancis adalah generasi ketiga atau keempat dan mereka sudah diasimilasi dalam masyarakat dengan bercakap Bahasa Perancis dan bersekolah di sekolah awam. Namun malangnya ramai daripada remaja dan belia ini tercicir daripada sekolah dan tiada peluang pekerjaan yang baik. Di sinilah pentingnya peranan NGO dan agensi kerajaan dalam memastikan mereka mendapat ilmu dan kemahiran secukupnya dalam menghadapi hidup di masa hadapan. Ditambah pula dengan masalah keluarga, mereka perlu dipertemukan dengan kumpulan yang betul sebagai sistem sokongan supaya tidak terjebak dengan jenayah. Kebanyakan belia yang terpengaruh dengan ISIS kebanyakannya punya sejarah hidup yang buruk dan mengharap penglibatan mereka dalam ISIS adalah satu jalan pantas ke syurga.


Tetapi bagaimana pula hendak melawan naratif ISIS? Propaganda mereka sangat efektif dalam mempengaruhi kumpulan “the angry young man” dalam kalangan Muslim yang kecewa dengan sistem dan pemimpin umat Islam yang hanya mengikut telunjuk Barat. Mereka juga tidak lagi percaya kepada ilmuwan Islam kerana kebanyakan daripada ilmuwan hanyalah duduk di kerusi empuk di menara gading, dan takut untuk menegur pemerintah supaya tidak kehilangan kuasa. Oleh itu mereka melihat agenda ISIS ini lebih efektif dan cepat dalam melahirkan “negara Islam.” Walaupun begitu ramai yang sedar semuanya hanyalah utopia sahaja apabila mereka sampai di kawasan ISIS, tetapi mereka tidak boleh melarikan diri dan kalau tertangkap akan dihukum bunuh. Perlu juga diingat walaupun ISIS disertai oleh ramai pendatang daripada pelbagai negara, di mana menurut jangkaan UN mencecah 6,000 orang, tetapi kepimpinan tertinggi mereka banyak daripada AL-Qaeda dan juga bekas tentera daripada zaman Saddam Hussin. Oleh itu tidak hairanlah mereka mempunyai sistem komunikasi yang berkesan dan tahu bagaimana menggunakan propaganda untuk menakut-nakutkan rakyat di bawah taklukan mereka, di samping menarik ramai belia bersimpati dengan ISIS.


Menurut Prof Alex P. Schimdt semasa Syarahan Counter-Terrorisme anjuran GMM di KLCC pada 27 Oktober 2015, kita memerlukan naratif alternatif, bukan setakat counter-narrative melawan ISIS. Ini kerana kebanyakan penyokong ISIS enggan mendengar mana-mana hujah daripada ilmuwan lain dan hanya mendengar pandangan pemimpin dan ulama’ mereka sahaja. Kebanyakan program yang dibuat hanyalah berceramah kepada belia, dan bukannya cuba memahami hasrat mereka yang sebenar. Kemudian terdapat perbezaan di antara apa yang dijanjikan untuk dibuat dan pelaksanaan yang sebenar. Ini menyebabkan belia hilang kepercayaan dengan pihak berkuasa dan mencari alternatif lain. Prof Alex juga menyebut tentang beberapa faktor penarikan dan perlunya kita membuat pelan tindakan untuk mencegah perkara tersebut berlaku daripada berterusan cuba melawan ISIS tetapi gagal mencabut masalah daripada akarnya. Antaranya adalah peminggiran daripada masyarakat umum seperti pelarian atau bekas penjenayah dan krisis identiti diri kerana hilangnya erti hidup.


Dalam hari yang sama juga ABIM dengan kerjasama GMM menganjurkan Persidangan Meja Bulat Jihad dan Ekstremisme dan Tan Sri Prof Kamal Hasan adalah pengucaptama. Selain itu terdapat ulasan daripada Marwan Bukhari, penyelidik IDE dan Nur Hadiza Addeen, pensyarah UMS yang mengkaji tentang ekstremisme di Asia Tenggara. Pada pandangan Prof Kamal Hasan, pentingnya melahirkan generasi Muslim yang seimbang atau wasatiyyah. Inilah elemen penting yang sering dipinggirkan terutamanya dalam pendidikan belia Islam. Dan dalam pendidikan wasatiyyah tersebut, perlulah diingatkan supaya satu perkara tidak melebihi perkara yang lain. Sebab mengapa belia Islam kini menghadapi krisis identiti adalah kerana mereka keliru dengan keadaan dunia yang berbeza apabila masuk ke dalam alam pekerjaan, tetapi semasa di bangku sekolah dan univeristi diajarkan perkara berbeza. Kontradiksi begini yang perlu dielakkan dan harapan yang tinggi diletakkan kepada pendidik, baik yang rasmi ataupun ibu bapa sendiri mengajarkan nilai Islam yang betul kepada anak-anak.