Sunday, November 2, 2014

MEMORI TURKI 2014 (2)

Hari Kedua (Ahad / 24 Mei 2014)

1) Sampai di Istanbul Sabiha Gokcen
Kami sampai di Istanbul pada waktu petang, sekitar pukul 6 waktu tempatan. Budin mengambil kami di Lapangan Terbang Sabiha Gokcen, lapangan terbang kedua di Istanbul selepas Lapangan Terbang Attarturk. Macam KLIA2. Selepas itu kami menaiki bas ke Kadikoy, sebuah hab bas berdekatan dengan Teluk Bosphorus, ianya mengambil masa selama 1 jam dari lapangan terbang. Dari situ, kami menaiki teksi hingga ke rumah pelajar Malaysia di Turki, berdekatan dengan Uskudar. Kami berehat di situ. Kami tidur awal kerana merasa letih selepas hampir sehari dalam perjalanan. Walaupun tempoh perjalanan dari Kuala Lumpur ke Doha hanya 5 jam. Dan kami transit di Doha pun tak sampai 2 jam. Kemudian naik Qatar Airways sekali lagi ke Istanbul dan perjalanan mengambil masa 2 jam. Namun oleh kerana masa di Turki lebih lambat maka kami merasakan sudah sehari berjalan.

2) Sarapan Pagi di Mozaik Cafe, Uskudar
Keesokan harinya kami bangun sambil menghidu hawa dingin pagi di Istanbul. Kawasan rumah itu adalah di sekitar apartment. Kami terpaksa mengangkat beg yang berat sehingga ke tingkat empat. Di bawahnya pula ada rumah kedai yang masih belum dibuka kerana masih lagi awal pagi. Walaupun Subuh di Istanbul awal, sekitar 4.30 pagi namun waktu kerja biasanya bermula pada pukul 8 atau 9 pagi.

Gambar dari bilik atas apartment, sunyi hening tanpa manusia

Bersarapan di Mozaik Cafe

Kami bersiap keluar dengan membawa beg sandang diisi dengan sedikit pakaian. Beg besar kami tinggalkan di rumah pelajar Malaysia sehingga keluarga kami sampai dari Kuala Lumpur. Kami bersarapan di Mozaik Cafe. Merasa buat pertama kali sarapan cara orang Turki atau dipanggil Kahvalti. Mereka biasanya akan menghidangkan roti berserta dengan pelbagai buah-buahan, bijian, mentega, coklat, jem dan keju. Istimewanya di Cafe ini adalah setiap kali roti habis, mereka akan tambah. Minuman pula kami dihidangkan dengan teh dalam cawan kecil ataupun 'cai'. Keju pula ada beberapa jenis namun kita orang Melayu mungkin tak dapat bezakan, hanya ada rasa masam sikit, manis sikit atau tak rasa apa-apa langsung.

Kemudian, selepas kenyang bersarapan, kami berjalan ke hentian bas. Di hentian bas inilah Arwah Ammar dilanggar oleh ambulans. Arwah dilanggar waktu baru turun dari bas dan hendak menuju ke rumah pelajar Malaysia yang kami tidur semalam. Apabila meneliti tempat tersebut memang hentian bas tersebut berada di persimpangan beberapa lampu isyarat dan beberapa kereta memang sangat laju. Al-Fatihah.

Berjalan ke hentian bas

 Persimpangan di mana Ambulans melanggar Arwah Ammar

3) Tren Bawah Laut Marmaray
Dari Uskudar, kami menaiki bas ke stesen Marmaray iaitu tren bawah laut yang merentas Teluk Bosphorus. Tren ini baru sahaja dilancarkan tahun lepas dan menyambungkan dua benua iaitu Eropah dan Asia. 
Dalam tren Marmaray bersama Budin

Kami turun di stesen Sirkeci, yang berada di kawasan Istanbul bahagian Eropah. Sebelum ini kami berada di Uskudar, iaitu di bahagian Asia. Inilah kali pertama penulis menjejak kaki di Eropah. Secara rasminya penulis sudah menjejak kaki di 4 benua. Pada waktu kecil penulis sudah pergi ke Amerika (walaupun memori hanya sedikit). Tahun 2004, penulis ke Mesir yang terletak di benua Afrika. 
 Mural di stesen Marmaray, stesen ini sangat dalam, rasanya kami mendaki eskalator berulang kali

4) Sultanahmet Square
Stesen Sirkeci berdekatan dengan stesen tramway yang bernama Sirkeci juga. Dari situ kami menaiki tramway untuk ke kawasan Fateh. Kami berpisah dengan Budin di situ kerana dia ada urusan lain. Tramway tersebut dibuat di tengah-tengah jalan, satu kaedah pengangkutan yang efektif di Istanbul. Akhirnya kami tiba di stesen Sultanahmet. Sekiranya hendak ke Muzium Hagia Sophia, Masjid Biru atau Sultanahmet Mosque dan Topkapi Palace, anda turun di stesen ini.

Seperti biasa, kawasan ini adalah kawasan tumpuan pelancongan di Istanbul. Pertama kali penulis turun di situ hampir tidak percaya dapat menjejak kaki dan melihat sendiri sebuah kawasan yang mempunyai sejarahnya tersendiri, mungkin sudah mencecah 2000 tahun sejak zaman Byzantine lagi. Penulis terpegun dengan keindahan kawasan ini sambil diterangi cahaya matahari yang menyinar. Tak terik namun semakin menghampiri tengahari.
 Kawasan pelancongan di Istanbul iaitu Sultanahmet Square

5) Masjid Biru
Kami mengambil keputusan untuk pergi bersolat Zohor dahulu di Masjid Biru. Sampai di Masjid Biru kami mengambil wuduk di paip di sekitar masjid. Penulis tak pasti adakah paip dan sistem perpaipan ini adalah warisan sejak dahulu ataupun diubahsuaikan kemudian. Setelah berwuduk dengan air paip yang sangat sejuk, kami naik ke ruang legar masjid. Di Turki, hampir setiap masjid mempunyai reka bentuk yang sama, iaitu ruang legar yang besar di hadapan, kadang-kadang ianya lebih besar daripada ruang dalam masjid. Kami terkejut apabila nampak ada kaunter di pintu masjid. Sangka kami kaunter bayaran, rupanya hanyalah kaunter derma. Pengawal berteriak mengatakan waktu Zohor hampir masuk dan masjid ditutup sementara, namun apabila kami mengatakan kami orang Islam yang mahu bersolat juga, beliau membenarkan kami masuk. Pengawal itu bertanya kami dari mana? Kami menjawab "Malaysia". Beliau tersenyum. Mungkin sudah ramai orang Malaysia sudah sampai di Masjid ini.
Ruang Legar Masjid Biru

Kasut tidak diletakkan di luar tetapi diletakkan di dalam sebuah plastik yang mereka berikan dan kami sendiri akan membawa masuk dan diletakkan di rak kasut di dalam. Pertama sekali yang penulis terfikir apabila melihat ruangan dalaman masjid adalah rupanya ianya kecil sahaja. Kedua yang terlintas di hati adalah lampu besar yang tergantung di tengah-tengah. Walaupun kini ianya menggunakan mentol namun penulis dapat merasakan ianya mesti dinyalakan dengan lilin pada suatu masa yang lalu. Seperti mana di luar, rekabentuk dalaman setiap masjid di Turki juga tiada bezanya. Ciri unik dalam masjid Turki adalah ada ruang khas untuk tukang azan yang biasanya diletakkan di sebelah kanan masjid. Tak pasti pula mengapa bilal diletakkan di belakang sedikit dari imam. 

Kawasan dalam Masjid Biru dan ruang khas untuk bilal

Sedikit sejarah mengenai Masjid Biru atau lebih dikenali sebagai Masjid Sultanahmet. Ianya dibina dari tahun 1609 hingga 1616. Ianya diarahkan pembinaannya oleh Sultan Ahmed ke-1. Arkitek masjid ini adalah Mehmed Aga, anak murid kepada Mimar Sinan, arkitek terkenal Turki. Masjid ini terkenal kerana bahagian dalam dan luar masjid dibuat dengan jubin seramik dari Izmir. Walaupun begitu warna biru itu telahpun luntur dikikis masa. Jadi jangan terasa aneh pula memikirkan mana birunya Masjid Biru? Masjid ini juga bukanlah yang paling terbesar kerana Masjid Sulaymeniyye yang juga tak jauh dari Masjid Biru adalah lebih besar dan terletak di atas bukit. Namun begitu Masjid Biru sebenarnya terletak di tempat yang strategik kerana menghadap Laut Marmara dan berdekatan dengan Hagia Sophia yang juga pernah digunakan sebagai masjid dan Istana Topkapi, kediaman rasmi Sultan Turki.

Masjid Sultanahmet atau Masjid Biru


6) Hagia Sophia
Selepas bersolat di Masjid Biru, kami pergi pula ke Muzium Hagia Sophia, yang saiznya jauh lebih besar dari Masjid Biru. Pertama kali dibina sebagai gereja pada zaman Byzantine, kemudian ditukar menjadi masjid pada zaman Uthmaniyyah dan akhirnya kini dijadikan muzium oleh Mustafa Kemal. Ini adalah salah satu khazanah orang Turki yang sudah terpelihara selama hampir 2000 tahun. Namun pelawat mesti membayar sebelum masuk ke dalam. 
Hagia Sophia tersergam di belakang

Ruang dalam Hagia Sophia sebenarnya sedang dalam pengubahsuaian, namun kami dapat merasakan ianya gabungan gereja dan juga masjid. Rekaan dalaman juga sangat berbeza dengan masjid. Namun kita dapat merasakan ianya masjid setelah melihat adanya mimbar dan juga tempat khas untuk bilal. Terdapat juga nama Allah dan Muhammad yang besar di bahagian hadapan masjid. Setelah Hagia Sophia diubah menjadi masjid, ukiran Jesus Christ, Mary dan malaikat-malaikat ditutup dengan jubin bercorak kaligrafi dan bunga namun setelah Hagia Sophia diubah menjadi muzium, jubin ini dikikis supaya menampakkan semula kesan-kesan gereja. 
 Kawasan dalam Hagia Sophia dipenuhi pelancong

 Gambar Mary dan Jesus Christ di antara nama Allah dan Muhammad, menunjukkan Turki sebagai tempat pertembungan dua tamadun, Byzantine dan Uthmaniyyah

Pandangan dari tingkat dua, kelihatan tempat bilal yang ditambah kemudian sewaktu Hagia Sophia menjadi masjid
7) Makan Aiskrim
Disebelah muzium terdapat makam sultan-sultan terdahulu. Ianya terbuka untuk semua. Sebelum masuk ke makam. Kami melihat ada penjual aiskrim. Aiskrim ini sangat berbeza kerana ianya berwarna-warni dan nampak seperti pepejal dan bukan berkrim. Selepas melihat-lihat makam kami pergi ke sebuah gerai dan membeli aiskrim dan kebab kerana merasa sangat lapar dan tidak makan sejak sarapan di Uskudar. Sewaktu membeli aiskrim, penjual aiskrim itu mengacah-acah kami. Sakit hati juga tetapi penulis tahu ianya satu kebiasaan yang dibuat untuk menarik hati pelancong. Di sekitar kawasan itu juga terdapat sebuah tiang yang dahulunya menjadi petanda kepada penjelajah yang mahu ke Kota Rome atau kota-kota lain di Eropah. Kini ianya ada sebuah lantai yang menunjukkan jarak antara Istanbul dan kota-kota besar di dunia. Jarak antara Istanbul dan Kuala Lumpur adalah 11300 KM.

Al-Fatihah kepada Sultan Turki terdahulu serta keluarganya

 Penjual aiskrim sedang menunjukkan kemahirannya

Anda menguasai Constantinople (Istanbul), anda menguasai dunia

8) Cemberlitas
Selepas selesai bersiar di sekitar Sultanahmet Square, kami menaiki tramway ke stesean Cemberlitas. Di sini terdapat sebuah tiang yang dinamakan sebagai Burnt Column. Ianya didirikan sempena memperingati pengisytiharan Contantinople (atau waktu itu dikenali sebagai Byzantium) sebagai ibu negara Empayar Rom pada tahun 330. Pada mulanya kami mahu ke Grand Bazaar dengan melalui salah satu pintu namun ianya telah ditutup kerana sudah pun pukul 5 petang. Kami hanya singgah di sebuah masjid kecil bernama Nurosmaniyye Mosque, berdekatan dengan salah satu pintu Kapalicarsi (Grand Bazaar) dan juga makam pembesar-pembesar Uthmaniyyah. Kami juga bersiar-siar di sekitar rumah kedai yang kebanyakan sudah tutup. Sambil itu penulis sendiri singgah membeli sebuah peta Istanbul supaya mudah menjadi rujukan. Satu lagi jangan terkejut sekiranya anda akan menemui banyak pengemis yang mengatakan mereka dari Syria. Tak tahu betul atau tidak. Kalau percaya kita bagi sedekah, tapi biasanya mereka akan mintak lebih walaupun kita sudah bagi 2 Lira.



Bersiar-siar sekitar Cemberlitas dan Burnt Column


9) Tembok Constantinople dan Zeytinburnu
Setelah letih seharian mengembara, kami bergerak untuk pulang. Namun kami tidak pulang ke rumah pelajar Malaysia di Uskudar. Malam ini kami akan tidur di madrasah Hayrat Vakfi di Zeytinburnu. Untuk pergi ke sana, kami menaiki tramway kembali ke Sirkeci, kemudian menaiki tren Marmaray ke sebuah stesen bernama Kazlicesme. Di situ kami akan naik bas sehingga ke Zeytinburnu. Tiba sahaja di stesen Kazlicesme, penulis berasa terkejut kerana terlihat Tembok Constantinople yang terbentang panjang. Tak perasan rupanya kawasan Fateh, iaitu 'Oldtown Istanbul' rupanya dikelilingi suatu tembok. Inilah tembok yang telah menjadi benteng pertahanan Byzantine selama seribu tahun sehinggalah diruntuhkan oleh Tentera Al-Fateh pada tahun 1453. Penulis menyimpan azam untuk melihat dengan lebih dekat tembok itu, malah mencari kawasan tembok dimana Sultan Muhammad Al-Fateh pertama kali masuk ke Constantinople. Budin mengambil kami di hentian bas dan kemudian kami ke Madrasah Hayrat Zeytinburnu yang terletak juga di kawasan rumah kedai. Malam itu kami dihidangkan makan malam yang ringkas iaitu spaghetti tidak berkuah, hanya berlaukkan kubis, tomato dan sos. Kami habiskan juga kerana lapar. Kebetulan malam itu juga adalah Hari Asyura, jadi kami berkenalan dengan penghuni madrasah itu dan terlibat dalam menghabiskan 30 Juzuk Al-Quran. Setiap satu juzuk diberi kepada 2 orang untuk dihabiskan. Sepatutnya selepas itu ada sebuah tazkirah namun kami balik ke bilik untuk tidur kerana letih serta kami tahu tazkirah itu akan diberikan dalam bahasa Turki.
 Kawasan makam pembesar Uthmaniyyah

 Menunggu tren Marmaray untuk ke Kazlicesme

 Kelihatan Tembok Contantinople gah di belakang


Madrasah Hayrat di Zeytinburnu

Jumpa lagi di Hari Kedua di Istanbul!

Saturday, November 1, 2014

MEMORI TURKI 2014 (1)

Hari Pertama (Sabtu / 24 Mei 2014)

Kami pergi dengan Qatar Airways. Bertolak pada awal pagi. Pintu dibuka lambat. Malah juruterbang dan pramugari juga masuk lambat sementara menunggu kapal terbang dipersiapkan. Hanya saya dan Solah sahaja yang bertolak dahulu. Yang lain akan sampai pada hari rabu (28 Mei)

Menunggu untuk check in barang

Selfie bersama Atiah dan Solah

Bergambar sebelum masuk ke balai perlepasan

Kapal terbang Qatar Airways yang akan kami naiki ke Doha, Qatar

Jumpa di Istanbul keesokan harinya!!

Monday, October 13, 2014

Hidup Bung Karno!! : Ulasan Filem Soekarno


Sebuah filem sejarah memang sukar untuk dibuat. Ia kena mencari keseimbangan antara fakta sebenar dan tambahan dramatik. Kalau sebuah filem sejarah itu terlampau padat dengan fakta dan semua watak dalam sejarah itu hendak dipaparkan, lebih baik anda buat dokumentari. Namun sekiranya sangat longgar dan terlampau banyak tokok tambah, maka ianya akan menyinggung ramai pihak kerana yang dipaparkan adalah orang sebenar, malah mungkin ada orang yang masih hidup yang boleh menceritakan tentang perkara sebenar yang berlaku.

Namun manusia adalah makhluk pelupa. Sejauh mana ingatan seseorang manusia itu boleh diharapkan? Sebab itu sejarah perlu ditulis. Ada yang menulis dari sudut akademik, menilai sesuatu peristiwa atau tindakan orang yang terlibat dan sejauh mana tindakan mereka memberi kesan kepada sejarah sesebuah organisasi atau negara. Ada pula yang menulis autobiografi, hasil dari pengalaman mereka berinteraksi dengan orang di sekeliling sewaktu peristiwa tersebut berlaku. Walaupun begitu biasanya autobiografi sangat emosional dan bias pada pandangan penulis semata-mata. Tetapi itulah sejarah, satu peristiwa mungkin ada beberapa intrepetasi bergantung kepada orang yang menulis. Dari situ lahir kata-kata "Sejarah ditulis oleh orang yang menang."

Sejarah kelahiran negara Indonesia memang sebuah peristiwa yang berwarna-warni. Ada pelbagai tokoh, pergerakan dan ideologi dalam proses membentuk negara Indonesia. Mahupun begitu majoriti setuju peranan seorang tokoh yang akhirnya menjadi Presiden Republik Indonesia yang pertama iaitu Soekarno atau lebih mesra dipanggil rakyatnya sebagai Bung Karno. Proklasmasi kemerdekaan yang diucapkan beliau pada tanggal 17 Ogos tahun 1945 menjadi titik awal kemerdekaan Indonesia dari cengkaman penjajah Belanda dan Jepun.

Filem ini tepat bila menggunakan Soekarno sebagai watak penting dalam perjuangan kemerdekaan Indonesia. Walaupun memang tak patut sekiranya kita anggap bahawa hanya Soekarno yang memperjuangkan kemerdekaan, ada pula yang bertanya bagaimana dengan tokoh lain? Disini ditunjukkan pula rakan-rakan sepejuangan Soekarno seperti Hatta, Subardjo, Sjahrir dan lain-lain. Seperti yang disebut pada awal tadi, ini perjuangan kemerdekaan Indonesia dari sudut pandang Soekarno.

Tidak dinafikan kisah-kisah cinta Soekarno mungkin agak 'distracting'. Perkara ini juga yang membuat penulis sendiri ada masalah dengan filem arahan Shuhaimi Baba iaitu Hati Malaya 1957 dan Tanda Putera. Memang tujuannya untuk menunjukkan sisi-sisi kemanusiaan Soekarno, namun akhirnya kita akan bertanya, sejauh mana semua pengalaman hidup sewaktu Soekarno membesar menjadi inspirasi kepada beliau untuk bengkit melawan Belanda? Sisi ini yang kurang dikupas dalam filem ini. Walaupun pada awalnya ditunjukkan Soekarno dihalau dari rumah orang Belanda kerana mahu keluar dengan seorang anak Belanda, tetapi itu hanya 'superficial' sahaja. Takkanlah kerana itu sahaja Soekarno terus bangkit menentang Belanda?

Memang betul apabila filem ini dikritik hebat kerana terlampau fokus kepada nilai-nilai komersial. Penulis fikir filem ini boleh pergi jauh sekiranya dimasukkan juga perbincangan serius daripada Soekarno mengenai rakyat dan negara. Bukankah Soekarno juga belajar daripada tokoh besar seperti Tjokroaminoto? Mana idea-idea nasionalisme dan Islamis beliau? Bagaimana pula akhirnya Soekarno terpengaruh dengan Marxist dan Sosialisme? Bagaimana beliau menggagaskan idea perjuangan rakyat Marhaen apabila berinteraksi dengan rakyat bawah? Sebenarnya ada ruang untuk babak penting ini dimasukkan di dalam filem ini melalui dialog beliau dengan Hatta dan Sjahrir. Penulis merasakan filem ini paling menarik sewaktu ketiga-tiga tokoh ini bertengkar dan berbalah pendapat. Dialog antara Soekarno dan Hatta di dalam kereta selepas perjumpaan dengan Jeneral Jepun memang adalah sebuah pengakuan bahawa harapan pendiri awal Republik Indonesia masih lagi belum tercapai. Mereka sudah melaksanakan sebaik mungkin untuk memulakan langkah, namun bergantung kepada generasi masa hadapan untuk mengisi kemerdekaan.

Kelemahan terbesar filem ini adalah mungkin tidak mendasarkan ia pada sebuah buku atau biografi. Pasti sudah banyak tulisan dan kajian mengenai Soekarno telah dibuat, baik memuji, mengkritik atau sekadar catatan. Banyak filem 'historical' Hollywood adalah hasil adaptasi buku kerana mereka tahu amat sukar untuk membuat lakon layar filem sejarah tanpa ada kajian terlebih dahulu. Jadi dengan usaha mengadaptasi, maka penulis buku tersebut yang akan mengisi dan mengawal peristiwa-peristiwa manakah yang penting yang perlu difokuskan.

Berkaitan dengan kualiti lakonan, Ario Bayu, Lukman Sardi dan Tanta Ginting berjaya memainkan watak mereka dengan baik. Pidato Soekarno berjaya dipaparkan dengan bersemangat. Penulis sendiri apabila mendengar pidato tersebut seperti mahu sahaja bangkit dari kerusi panggung dan berteriak Hidup Bung Karno! Manakala usaha filem ini untuk menggambarkan suasana Indonesia zaman 1940an patut dipuji. Penulis sangat teruja dengan babak pada awal filem di mana Soekarno ditahan oleh Belanda selepas berpidato mendesak kemerdekaan Indonesia namun dihalang orang ramai.

Akhir sekali, Hanung berjaya membuat filem sejarah Indonesia yang sederhana. Jangan pandang rendah dengan filem seperti ini walaupun mungkin banyak perkara tidak difilemkan. Ianya akan jadi satu rujukan oleh generasi muda pada masa depan. Zaman ini adalah zaman membaca adalah satu hobi masa lapang, namun menonton video, filem dan mendengar muzik menjadi satu kemestian. Orang lebih berminat dengan gambar dan suara daripada tulisan dan kata-kata. Kita sebagai rakyat Malaysia kena berusaha membikin sebuah filem sejarah yang betul-betul bagus filem tersebut menjadi rujukan masyarakat dunia sekiranya mahu tahu tentang Malaysia.

Monday, August 18, 2014

Perjalanan Terakhir Seorang Rakan - Abu Qassim dalam kenangan





Hanya selepas 12 jam air mata ini mengalir
Bukan kerana menangisi pemergian arwah
Kerana aku tahu beliau ditempatkan bersama orang beriman
Namun aku menangisi dosa-dosa ku sendiri
Apabila melihat kain putih menutup jasad yang sudah tidak bernyawa
Realiti kematian masuk ke dalam hati
Tak tahu bagaimana nasib apabila dijemput ilahi

Wednesday, August 13, 2014

Umat Islam Perlu Pemimpin Seperti Erdogan



Recep Tayyib Erdogan kini adalah ikon umat Islam seluruh dunia. Beliau yang baru sahaja menang Pilihanraya Presiden Turki mengukuhkan lagi sokongan rakyat Turki terhadap kepimpinan beliau. Ianya bukan jalan mudah setelah mengalami beberapa protes dan cubaan untuk menjatuhkan kredibiliti beliau pada tahun 2013. Beliau tetap popular walaupun pernah menutup media sosial untuk beberapa ketika untuk mengelakkan rahsia negara tersebar di internet. Kredibiliti beliau bertambah apabila berjaya mengakali kelompok “Ergenekon” dalam tentera yang sentiasa mencuba merampas kuasa dari kerajaan demokratik. Kini, tentera Turki yang seringkali campur tangan dalam urusan politik kerana menganggap mereka sebagai pelindung Kemalisme sudahpun tunduk atas kuasa rakyat. Rakyat, bukan jeneral, yang menentukan siapa pemimpin mereka. Kalau rakyat mahu Erdogan dan AKP, maka itulah yang mereka akan undi. Cabaran Erdogan paling besar adalah apabila sekutu kuat beliau, Fethullah Gulen mula merancang menjatuhkan beliau melalui ‘tangan-tangan’ halus dalam kerajaan AKP. Namun usaha itu gagal kerana Erdogan berjaya menghidu kelompok-kelompok ini dan menyingkirkan mereka dari kerajaan sebelum membawa mudarat yang lebih besar. 

Bukan senang menjadi pemimpin, apatah lagi memimpin sebuah negara yang mempunyai legasi empayar yang kuat dan gagah seperti Turki. Setelah Empayar Uthmaniyyah dipecah-pecahkan menjadi negara-negara kecil, orang Turki mula memikirkan siapa sebenarnya yang dimaksudkan dengan orang Turki. Sebelum ini, Turki memang sangat dekat dengan Islam. Dengan itu datang pemimpin bernama Mustafa Kemal yang memimpin orang Turki menghalau kuasa asing dari bumi Turki dan akhirnya membina negara untuk Turki. Namun Turki ini sangat asing dengan Islam, malah pada beberapa ketika memusuhi pula Islam. Tetapi dalam masa juga sangat curiga dengan Barat kerana masih terpalit memori kalah perang dengan beberapa kuasa Barat. Pada masa itu pula umat Islam masih lagi mencari siapa pemimpin mereka yang terbaik dalam zaman tiadanya khalifah.

Semasa umat Islam masih lagi melihat dunia Arab sebagai tempat lahir pemimpin umat Islam, datang pejuang di Turki dalam bentuk Badiuzzaman Said Nursi dan Necmettin Erbakan. Said Nursi yang pada awalnya memasuki politik akhirnya tersingkir kerana terlalu lantang mengkritik pemerintah. Akhirnya, dalam buangan, beliau fokus kepada pembinaan jiwa pejuang-pejuang Islam. Pentingnya memahamai pesan-pesan Al-Quran sebelum keluar berjihad dalam bidang masing-masing. Sehingga kini, pesan-pesan beliau diabadikan dalam Risalah An-Nur dan terus menjadi bekalan kepada pejuang Islam seluruh dunia. Lain pula Necmettin Erbakan, beliau yang pada mulanya menjadi Professor Kejuruteraan akhirnya membina nama melalui politik. Namun, bukan mudah untuk menjadi pemimpin yang betul-betul dipandang tinggi dalam suasana politik Turki yang penuh kekacauan. Apatah lagi sekiranya parti yang anda pimpin terang-terang membawa mesej Islam, dalam suasana pemerintahan Turki yang dikuasai oleh idea Kemalisme. Strategi beliau bijak dengan membangun dahulu kuasa niaga penyokong-penyokong beliau di kawasan Anatolia. Ternyata pengaruh Ankara dan Kemalisme kurang berkesan di kawasan pedalaman Anatolia. Melalui kuasa perniagaan, akhirnya syarikat-syarikat yang berpangkalan di kawasan yang digelar Harimau Anatolia ini yang membantu pemimpin-pemimpin yang berjiwa Islam untuk pergi lebih jauh. Seperti Said Nursi, Erbakan kurang bernasib baik dalam mengubah Turki ke arah yang diimpikan beliau. Beberapa kali beliau diharamkan dari menyertai pilihanraya, malah walaupun sudah berjaya menjadi Perdana Menteri, digulingkan pula oleh tentera Turki.

Sejarah ringkas yang diceritakan berikut sangat penting kerana Erdogan bukan turun dari langit secara tiba-tiba. Kelahiran pemimpin seperti Erdogan dan rakan-rakan beliau sekarang yang mengubah Turki menjadi negara yang dihormati adalah hasil dari satu proses yang panjang. Pelbagai eksperimen politik dilakukan. Ada yang berjaya, ada yang gagal. Namun semuanya menjadi pelajaran berguna untuk generasi masa depan. Islam di Turki juga berjaya diselamatkan melalui pendidikan berterusan kepada anak muda. Kini, umat Islam di seluruh dunia pula bertumpu di Turki dan menyambung pelajaran mereka di sana dalam pelbagai bidang terutamanya sains sosial. Period yang berlaku di Turki sekarang disebut-sebut ahli akademik sebagai Neo-Ottomanisme. Menyanjung nostalgia mereka sebagai kuasa besar sewaktu zaman Uthmaniyyah namun menghargai penat lelah mereka membina bangsa Turki sewaktu dikelilingi oleh kuasa Barat dan Timur seperti Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Soviet Union. 

Dalam suasana umat Islam yang semakin menyedihkan, Erdogan memberi satu model kepimpinan alternatif yang menyegarkan. Walaupun pernah terlibat dalam parti Islam, namun parti AKP pimpinan beliau bukanlah sangat membawa idealogi negara Islam yang menjadi perdebatan di Timur Tengah. Fokus pentadbiran beliau adalah membangunkan ekonomi dahulu, kemudian barulah menunjukkan pengaruh beliau di peringkat antarabangsa. Beliau juga dikritik kerana menghormati Mustafa Kemal Attarturk yang dianggap menghancurkan Uthmaniyyah. Beliau tahu isu ini sangat sensitif bagi orang Turki. Penyelesaiannya beliau memperkenalkan semula Sultan Muhammad Al-Fateh sebagai tokoh yang perlu diikuti baik orang Turki dan juga umat Islam seluruh dunia. Tokoh sejarah ini sangat signifikan kerana beliaulah yang memimpin tentera kerajaan Uthmaniyyah menawan Constantinople (kini Istanbul) dan akhirnya membawa kepada terbubarnya Imperaturia Rumawi. Erdogan mahu umat Islam mencontohi Al-Fateh, dari sekadar menjadi sultan di kawasan tempatan seperti Anatolia, akhirnya mengubah bangsanya menjadi bangsa yang disegani di mata antarabangsa.

Rakyat Malaysia sangat menghargai kepimpinan Erdogan dalam dunia Islam yang penuh dengan pemimpin palsu dan lemah. Moga setiap negara umat Islam dikurniakan kumpulan pemimpin yang bijak dan mempunyai visi yang besar, bukan sekadar untuk rakyat negaranya sahaja, namun untuk umat Islam seluruh dunia. Mari sama-sama kita laungkan motto Biz Bir Ummati” (Kita Satu Ummah) dan pastikan ianya bergema di seluruh pelusuk dunia.

Saturday, August 2, 2014

Subuh Planet Kera - Ulasan Filem Dawn of the Planet of the Apes


Filem pertama dari reboot francais Planet of the Apes tidak disangka sangat menyegarkan. Rise of the Planet of the Apes berjaya memeparkan filem Sci-Fi bermutu tinggi dengan persoalan antara tanggungjawab manusia ke atas haiwan dengan penentangan haiwan terhadap tirani manusia. Ditambah pula dengan lakonan hebat Andy Serkis sebagai Caesar, sang beruk yang berevolusi setelah ibunya disuntik virus.

Filem sekuel ini ternyata lebih berani. Daripada menyambung kisah antara Caesar dan bekas tuannya lakonan James Franco, filem ini terus forward ke hadapan dengan menceritakan tentang virus yang menyebabkan beruk berevolusi juga menyebabkan manusia juga terkena jangkitan dan ramai yang mati. Akhirnya hanya ada beberapa kelompok manusia sahaja yang terselamat kerana imunisasi. Manakala kelompok beruk yang bebas dari kurungan sewaktu filem pertama akhirnya berjaya membina penempatan berdekatan hutan San Francisco. Bukan itu sahaja, hasil evolusi mereka dapat berkomunikasi dan berfikir dalam bahasa manusia, walaupun kebanyakan masanya hanya bertutur dalam bahasa isyarat beruk. Malah mereka membuat peraturan dalam kehidupan komuniti mereka iaitu Beruk Tidak Membunuh Beruk.

Filem ini ternyata memuaskan nafsu penyokong evolusi darwin iaitu beruk juga boleh berevolusi. Walaupun mereka juga semacam mengakui bahawa akhirnya beruk itu juga tidak ada beza perangainya dengan manusia. Namun tema utama filem ini bukanlah sangat mengenai evolusi, namun mengenai perbezaan idealogi di antara yang idealistik dan pesimis. Dalam komuniti masing-masing, ada pihak yang berpendapat beruk dan manusia boleh bekerjasama dengan harmoni, dan ada pula yang mahu memastikan pihak lain hancur dan kawasan itu milik dia sahaja.


Penulis fikir francais Apes yang baru ini bakal menjadi salah satu trilogi terhebat. Di zaman di mana sekuel dan remake menjadi satu kebiasaan, ini kali pertama dalam masa yang lama penulis tak sabar menunggu sambungan filem ini. Apa sahaja boleh terjadi. Malah penulis sendiri sangka watak utama akan mati namun akhirnya diselamatkan. Yang penting filem ketiga bakal menjadi perang besar antara beruk dan manusia. Siapa yang akan mewarisi planet Bumi ini?

Saturday, July 12, 2014

Aku Nak Robot Lawan Robot - Ulasan Filem Transformers 4


Kita tak sepatutnya mengharap lebih apabila menonton filem Transformers. Sejak daripada filem yang pertama, penulis tak pernah terlepas menonton siri filem ini di pawagam. Seperti biasa, ianya mengecewakan. Namun apabila mereka mahu membuat 'reboot' filem ini dengan watak manusia yang baru, kita sangka ada perubahan yang besar. Namun hasilnya tetap sama. Penulis fikir ini disebabkan ianya tetap diarahkan dan ditulis oleh orang yang sama, iaitu Michael Bay.

Walaupun yang keempat ini punya plot yang lebih mudah difahami, namun masalah terbesar bagi filem Transformers adalah 'sub-plot' manusianya. Orang datang menonton filem Transformers bukan mahu tengok drama swasta Shia Lebouf dengan Megan Fox atau Mark Wahlberg dan anaknya, namun kita nak tengok perang antara Autobots dan Decepticons. Sepatutnya Michael Bay sudah faham perkara ini selepas 4 filem tapi beliau masih mahukan drama manusia ini. Katanya mahukan penonton ada watak yang boleh dikaitkan dengan mereka dalam filem, tapi hakikatnya watak manusia sangat tipikal malah membosankan, robot lebih menarik dan meyakinkan. 

Penulis fikir Michael Bay sepatutnya belajar daripada pembikin filem Real Steel lakonan Hugh Jackman. Itu baru filem robot yang menarik selain daripada mempunyai drama manusia yang mantap. Walaupun kita tahu plot filem hanyalah ulangan filem Rocky, namun babak pertarungan antara robot yang menjadi klimaks dalam filem ini. Malah pertarungan antara robot berakhir juga dengan resolusi drama antara manusia. Ini filem robot yang kita mahu.

Kalaupun Tranformers hanyalah filem yang berfokus antara robot dengan robot pun kami tak kisah kerana itupun yang kita mahu. Tetapi dalam filem keempat ini makin kurang pula malah terlampau banyak babak kereta  kejar mengejar. Ini seolah-olah meniru filem Fast and Furious. Malah ada beberapa ketika babak kereta itu yang difokuskan manakala Optimus Prime bertarung dengan robot jahat hanya menjadi latar belakang. Ini sangat mengecewakan.

Transformers perlu menggaji penerbit dan pengarah yang baru. Hairan sekali bagaimana Steven Spielberg masih lagi menjadi penerbit filem ini. Penulis fikir mereka berdua belum betul-betul memahami apa yang peminat mahukan dalam filem Transformers. Kalau boleh buang sahaja watak manusia kerana mereka langsung tak membantu dalam menjadikan filem ini menarik.