Pada 12 November 2015, ABIM bersama-sama
Akademi Kajian Ketamadunan menganjurkan sebuah kuliah khas bertajuk Bekalan
Penyelamat Buat Dai’e oleh Dr Sheikh Rejab Dieb. Walaupun sheikh sempat
bertandang ke Kolej, namun kerana masalah kesihatan sheikh menyerahkan
tanggungjawab memberi tazkirah kepada anak muridnya, Sheikh Mahmud Shahadah.
Sheikh Mahmud memulakan kuliah dengan berasa berbahagia dapat melawat kolej dan
mendoakan yang terbaik untuknya. Kemudian beliau menyebut tentang seorang
pelajar perlu mengenal kekuatan dirinya dahulu daripada bergantung kepada orang
lain untuk menilai. Tugas utama penuntut ilmu adalah menyambung risalah Nabi,
dan tugas Nabi pula adalah berdakwah dan menyebarkan wahyu Allah kepada seluruh
manusia. Disinilah juga termasuk tugas dai’e. Dan sheikh memberitahu bahawa
tidak semua penuntut ilmu akhirnya menjadi dai’e.
Seperti mana ulama’ lain, sheikh
juga mengingatkan dai’e untuk sentiasa menguasai sirah terutamanya sirah
Rasulullah SAW. Daripada penguasaan sirah itulah kita dapat mendekatkan diri
kepada Allah swt. Inilah satu aspek yang sering dilupakan oleh para dai’e yang
sibuk berdakwah kepada masyarakat tetapi tidak menjaga hubungannya dengan Yang
Maha Esa. Sheikh memberi perumpamaan seperti lampu mentol yang bercahaya
menerangi dewan, bagaimana lampu ini dapat menerangi kalau tidak mendapat kuasa
daripada elektrik? Begitulah juga para dai’e seperti mentol lampu yang perlu
kepada hubungan dengan Allah supaya dapat terus menerangi masyarakat. Apa yang
lebih teruk adalah sekiranya dai’e tersebut tidak terus berhubung rapat dengan
Allah, sudah tentu dai’e tersebut sukar berhubung dengan manusia. Walhal tugas
dakwah yang paling mencabar adalah berkomunikasi dan berhubung baik dengan
pelbagai jenis manusia, bukan sekadar menjadi ‘keyboard warrior’ di hadapan komputer.
Antara kesilapan dai’e yang
terbesar dilakukan pada masa ini adalah hanya sibuk bercakap tentang sheikh,
masjid atau organisasi mereka, bukan tentang intipati Islam yang sebenar.
Sheikh menyebut Islam berkembang pesat di Barat, tetapi usaha dakwah sering
terbantut kerana terlampu banyak mazhab, ideologi dan organisasi yang bersaing sesame
sendiri. Sheikh merasakan sekiranya semua umat Islam bersatu di Barat, maka
seluruh Barat boleh diislamkan selama setahun. Gejala ini berkaitan dengan
sifat yang penting yang perlu ada dalam diri para dai’e iaitu ikhlas. Sahabat
Rasulullah SAW walaupun serba kekurangan tetapi berjaya menyebarkan dakwah
Islamiah ke seluruh dunia kerana sifat ikhlas.
Sheikh juga menyebut satu
penyakit yang sering berlaku bagi para dai’e adalah sentiasa ingin menjadi
hakim, walhak tugas dai’e sebenarnya seperti seornag doktor, sentiasa ingin
merawat. Doktor yang baik menyayangi pesakit, dan bermusuh kepada penyakit dan
cuba sedaya upaya membuang penyakit tersebut dari diri pesakit. Seseorang yang
berbuat maksiat dosanya dengan Allah, kenapa pula sorang pendakwah dengan cepat
menghukum? Nabi Ibrahim sendiri pernah mendoakan supaya pelaku maksiat mati,
tetapi kemudian ditegur Allah. Allah menjawab bahawa itu bukan tugas Nabi
kerana tugasnya yang sebenar adalah menyebarkan wahyu Allah. Ini kerana pelaku
maksiat juga hamba Allah dan sekiranya mereka bertaubat, nescaya Allah akan
mengampuni mereka. Sekiranya hati kita terlampau keras dan tidak mahu
bertoleransi dengan pelbagai dosa yang dilakukan oleh mad’u kita, pastila
mereka akan lari daripada kita dan dakwah kita tak lebih sekadar syok sendiri.
Lebih teruk lagi pendakwah sendiri merasakan takkan berbuat dosa dan itu
penyakit yang berbahaya.
Mengenai hidayah pula, sheikh
memberi perumpamaan ianya seperti hidangan makanan, ada yang mengambil masa 5
minit sahaja untuk disiapkan, tetapi ada pula yang mengambil masa berjam-jam.
Begitulah juga seperti hidayah Allah. Seorang dai’e perlu bersabar dan
berterusan menyebarkan dakwah, bukan tergila-gilakan KPI dan cuba meletakkan
pula garis masa untuk seseorang berubah. Dan apabila mad’u itu tidak berubah
dalam masa yang ditetapkan, ditinggalkan begitu sahaja tanpa didikan lanjut.
Sheikh meminta kita mengingati semula sirah Nabi, di mana sahabat sendiri bukan
semua dengan cepat menerima Islam. Abu Bakar As-Siddiq apabila menerima sahaja
risalah Islam daripada Rasulullah SAW, terus sahaja mengucap syahadah. Ali bin
Abi Talib pula memerlukan masa sehari, kerana pulang dahulu untuk bertanya
dengan bapanya dahulu. Umar Al-Khattab memeluk Islam selepas 3 tahun, apabila
mendengar adiknya membaca AL-Quran. Khalid Al-Walid, sahabat yang terkenal
handal dalam peperangan, memeluk Islam selepas 20 tahun, iaitu sebelum
pembukaan kota Mekkah. Abu Sufyan pula memeluk Islam selepas kota Mekah
dikuasai umat Islam, dan beliau antara sahabat yang sering didoakan Nabi supaya
memeluk Islam. Semua sahabat yang disebut adalah berjasa besar kepada sejarah
umat Islam dan dirahmati di sisi Allah swt. Dan walaupun di kalangan mereka mengambil
masa untuk menerima Islam, itu tidak merendahkan martabat mereka kerana yang
penting adalah bagaimana kita menghabiskan hidup kita. Seorang pendakwah jangan
pandang rendah kepada mad’u, kerana kita tidak tahu pengakhiran kisah hidup
kita. Sentiasalah berdoa supaya kita kekal dalam jalan dakwah yang diberkati
ini.
No comments:
Post a Comment