Monday, October 19, 2015

Pesanan Kepada Pendakwah Daripada Sheikh Mustafa Al-Bugha


Pada 8 Oktober yang lepas, ABIM dengan kerjasama Kolej Dar Al-Hikmah telah menganjurkan kuliah khas bersama Sheikh Mustafa Al-Bugha. Beliau adalah seorang ulama’ usul fiqh dan hadis berasal dari Syria. Begitu ramai peserta yang hadir terutamanya dari kalangan orang muda. Walaupun sheikh berucap dalam Bahasa Arab, tetapi pensyarah KDH membantu untuk menterjemahkan ucapan kepada Bahasa Melayu. Antara beberapa isi penting yang dicatatkan adalah kepentingan pendakwah memahami ilmu fiqh. Setiap pendakwah perlu mempunyai ilmu ini sebagai persediaan menghadapi orang ramai. Hakikatnya hal-hal fiqh yang selalu menjadi persoalan utama daripada orang awam apabila berjumpa dengan pendakwah. Tetapi tidak perlu semua orang menjadi tahap mujtahid, cukup sekadar menguasai perkara-perkara yang sudah dibincangkan oleh para ulama’. Sekiranya soalan tersebut tidak dapat dijawab, lebih baik bertanya dengan yang pakar.

Sheikh juga menyentuh tentang kepentingan melahirkan ulama’ dan pakar dalam bidang fiqh terutamanya dalam zaman masa kini yang semakin komples masalah kehidupan. Sepatutnya suasana persekitaran Malaysia yang cantik dan permai ini patut menjadi inspirasi dan pemangkin kepada umat Islam di Malaysia untuk menjadi ilmuwan. Anak-anak sheikh sendiri hampir kesemuanya telah mendapat ijazah PHD dan ini hasil galakan daripada ibu bapa sendiri. Berkenaan dengan wanita, sheikh menegur ramai wanita yang tidak berbincang dalam hal-hal ilmu, tetapi menyibukkan diri dengan hal-hal dapur dan rumahtangga sahaja. Bukan tidak boleh, tetapi perlu juga diagendakan majlis ilmu khusus untuk wanita, dan majlis ini juga perlu diiisi oleh ulama’ dari kalangan wanita juga. Apatah lagi dalam bidang fiqh, wanita mempunyai banyak masalah-masalah khas yang dialami oleh wanita sahaja dan tidak mampu difahami oleh orang lelaki.


Pendakwah juga perlu belajar dengan serius tentang sirah Nabi Muhammad SAW. Ini kerana Nabi dan para sahabat adalah contoh terbaik untuk berdakwah secara berhikmah. Dalam sirah Nabi kita belajar cara bagaimana Nabi berinteraksi dengan keluarganya, sahabatnya malah musuhnya. Dalam sepanjang dakwah Nabi, begitu ramai orang yang menyakitinya, tetapi Nabi tetap bersabar malah sentiasa mendoakan supaya orang yang menyakitinya menerima hidayah. Dalam satu peristiwa yang berlaku semasa Nabi sedang bersolat di masjid, seorang muallaf yang baru masuk Islam mengucap “Yarhamkallah” apabila mendengar orang bersin walaupun beliau sedang bersolat. Apabila selesai, ramai sahabat yang memarahi beliau, tetapi Nabi dengan tenang menegur dengan baik, dengan mengatakan walaupun mengucap “Yarhamkallah” itu satu sunnah Nabi, tetapi dalam solat tidak dibernarkan bercakap. Nabi juga tidak menyuruh muallaf tersebut mengulang semula solat. Ini satu contoh akhlak yang mulia dalam menghadapi orang yang masih baru belajar tentang Islam. Contoh lain pula adalah peristiwa Fathul Mekah. Nabi tidak mahu peristiwa tersebut dikenali dengan pertumpahan darah, dan memaafkan kaum kafir Quraisy yang dahulunya menyakiti umat Islam. Baginda mahukan Fathul Mekah diingati sebagai hari kasih sayang dan kemaafan. Sheikh juga menyebut bahawa Nabi memang ada menghukum sahabat yang berbuat salah, tetapi baginda bukan berbuat demikian kerana hendak membalas dendam namun melakukannya dengan  penuh berhikmah. Sheikh mengakhiri ucapan dengan mengucapkan terima kasih dan mengharap semoga ada pendakwah dari Malaysia yang berjaya mengubah nasib umat Islam masa kini.

No comments:

Post a Comment