Dalam teori politik, sesebuah
negara hanya boleh berfungsi sekiranya kerajaan dapat menjamin keselamatan
rakyatnya. Sebab itulah kerajaan menubuhkan polis dan tentera serta memastikan
mereka mempunyai dana dan peralatan yang cukup untuk menjalankan tugas. Di
dalam konteks Malaysia, polis dan tentera mempunyai kad pengenalan tersendiri.
Ianya sebagai bukti mereka bukan penjawat awam biasa. Sekiranya kerajaan gagal
menjaga keselamatan, rakyat mungkin terpaksa mengangkat senjata sendiri, atau berisiko
tercetusnya perang saudara dengan pemberontak yang merasakan mereka boleh
menguasai negara sekiranya mengalahkan tentera kerajaan.
Ada juga beberapa buah negara
seperti Singapura dan Korea Selatan yang membuat kerahan tenaga ke atas seluruh
rakyat. Belia yang berumur sekitar awal 20-an diwajibkan menjalani latihan
tentera, malah berkhidmat sehingga beberapa tahun sebagai tentera dan menetap
di berek. Ianya sebagai persiapan untuk melawan mana-mana negara lain yang cuba
menyerang negara. Dalam konteks Singapura, oleh kerana negaranya kecil, maka
semua rakyat patut bersiap-sedia mengangkat senjata. Manakala dalam konteks
Korea Selatan pula mereka melakukan kerahan tenaga kerana negara mereka masih
lagi secara rasmi berperang dengan Korea Utara. Malaysia pernah mempunyai
program Khidmat Negara, namun ianya tidak banyak bersifat ketenteraan, namun
lebih memfokuskan kepada pembinaan jati diri dan perpaduan antara kaum.
Dunia sekarang sedang berperang
dengan Covid-19, sebuah musuh yang tidak dapat dikesan dengan mata kasar. Ianya
juga tidak rasional dan menjangkiti semua orang, tidak kira status ataupun
warna kulit. Ianya tidak dapat dibeli dan kita tidak boleh meminta Covid-19
melakukan gencatan senjata, semata-mata kerana hendak merawat orang yang sakit
ataupun mereka yang terputus bekalan. Walaupun banyak negara yang terlibat
dengan perang Covid-19 telah mengerahkan tentera, mereka hanya terlibat dengan
kawalan keselamatan dan pergerakan. Tidak ada satu peluru pun yang ditembak
untuk membunuh Covid-19. Tugas membunuh Covid-19 terletak pada tangan doktor
dan petugas kesihatan di wad kecemasan klinik dan hospital. Mereka terpaksa
memakai pakaian PPE yang berat untuk melawan musuh ini. Jika tidak, mereka
mungkin akan dijangkiti. Covid-19 juga langsung tidak berehat, menyebabkan
pihak kesihatan juga tidak boleh berehat, 24 jam berperang dan bertukar-tukar
syif dengan sumber manusia yang terhad. Mereka digelar sebagai frontliner,
kerana kalau mereka kalah, seluruh penyakit Covid-19 akan tersebar dan
menyerang manusia.
Keterlibatan doktor bukan perkara
baru di dalam perang. Perang pada zaman dahulu menggunakan wanita sebagai
doktor untuk menyembuhkan mereka yang tercedera. Di dalam Perang Crimea pada
tahun 1850-an, Florence Nightingale, seorang jururawat British sanggup meredah
medan perang untuk menyelamatkan tentera yang cedera. Ini mengurangkan jumlah
tentera yang mati kerana kecederaan. Pertubuhan Bulan Sabit Merah pula
ditubuhkan selepas perang di Itali pada tahun 1860-an. Mereka berazam untuk
memastikan semua tentera yang cedera mendapat rawatan, tidak kira tentera
tersebut daripada pihak kawan atau lawan. Di dalam buku Lawrence Freedman
bertajuk The Future of War, salah satu inovasi tentera Amerika Syarikat adalah
memastikan setiap unit tentera mempunyai doktor untuk merawat kecederaan dengan
segera. Malah tentera Amerika juga dengan cepat cuba membawa mereka yang
tercedera balik ke pangkalan. Ini mengurangkan kematian serta tentera yang
cedera boleh sembuh dengan cepat dan kembali bertugas dengan segera.
Tetapi bagaimana pula dengan
perang Covid-19? Doktor dan jururawat yang sepatutnya menjadi staf sokongan,
terpaksa menjadi barisan hadapan, manakala tentera yang sebelum ini berlatih
dan bersiap siaga untuk peperangan, menjadi staf sokongan pula. Ternyata cara
negara membuat polisi pertahanan perlu berubah selepas musuh Covid-19 dapat
dikalahkan. Kementerian Kesihatan perlu mempunyai mentaliti peperangan
sekiranya pandemik global berlaku lagi. Setiap pengarah Hospital perlu
bertindak sebagai jeneral di medan perang. Doktor dan petugas kesihatan perlu
diberi kad pengenalan khas untuk membolehkan mereka cepat bergerak. Belanjawan
Kementerian Kesihatan perlu ditingkatkan, terutamanya pembelian fasiliti dan
peralatan. Penyelidikan mengenai kesihatan perlu diutamakan. Dari sudut
pendidikan pula, setiap pelajar perlu diajar asas perubatan supaya bersedia
dengan segala kemungkinan.
Pihak keselamatan seperti
tentera, polis, bomba dan maritim mempunyai tugas besar dalam pandemik global.
Mereka perlu mengawal faktor yang paling penting dalam perang iaitu manusia.
Dalam hal ini, psikologi manusia perlu difahami. Manusia adalah makhluk sosial
yang memerlukan perhubungan sesama manusia. Dengan teknologi sekarang, kita ada
media sosial untuk meneruskan perhubungan dengan manusia lain. Namun hubungan
dalam maya tidak cukup dan lambat-laun manusia akan mula mencari benda yang
sebenar. Hatta introvert dan anti-sosial yang kronik pun akan cuba mencari
sebab untuk keluar dalam suasana perintah berkurung. Di sini tugas pihak
keselamatan untuk memastikan bekalan makanan cukup serta interaksi manusia
tetap wujud walaupun dengan penjarakkan sosial. Bagaimana kesihatan mental
rakyat yang terkurung? Kalau polis dan tentera tidak mampu, mungkin pada masa
hadapan, kerajaan perlu memecahkan Kementerian Kesihatan kepada dua, Kesihatan
Fizikal dan Kesihatan Mental.