Bulan Mac 2016 terdapat 3 filem animasi yang ditayangkan di Malaysia. Masing-masing cuba menarik kumpulan penonton kanak-kanak dan ibu bapa mereka. Disney membawa filem Zootopia, sebuah filem yang bertempat di dunia haiwan yang kehidupannya seperti manusia. Kungfu Panda 3 keluaran Dreamworks menyambung cerita Po yang menjumpai bapanya yang terpisah serta cabaran beliau mengajar kaum Panda dalam mempertahankan diri melawan musuh. Manakala syarikat penerbitan Malaysia, Animonsta membawa filem Boboiboy The Movie, sebuah filem yang asalnya daripada siri tv animasi yang banyak berkisar tentang Boboiboy serta rakan-rakannya melawan orang jahat yang cuba menimbulkan kekacauan di bandar kediaman mereka.
Mari kita bercakap tentang Zootopia dahulu. Filem ini boleh dikatakan antara filem Disney yang membawa tema yang agak berat iaitu isu perkauman, Dalam filem, prejudis berlaku antara kumpulan binatang pemangsa dan mangsa (predator dan non-predator) kerana kedua-dua spesis ini yang telah berbaik-baik sekian lama tiba-tiba spesis pemangsa mula menyerang non-predator. Ini kerana ada orang yang telah meracuni pemangsa dengan gas menyebabkan mereka menjadi ganas. Dua watak utama filem ini, seorang...bukan, seekor arnab dan seekor musang yang bergabung untuk mencari dalang di sebalik konspirasi tersebut.
Filem ini berjaya mengimbangi elemen "cuteness" sesebuah animasi, apatah lagi dengan watak haiwan di mana pastilah kanak-kanak akan tertarik untuk memiliki anak patung sebagai hadiah, dengan cerita dan juga elemen "real world" di mana prejudis dan perkauman terus berlaku. Saya teringat juga dengan filem Wall-E yang membawa tema environment dan kemusnahan Bumi kerana tangan manusia. Mungkin ada sesetengah kanak-kanak tidak faham lagi sekarang, namun mereka pasti akan memahaminya pada masa depan dan akan lebih "appreciate" filem Zootopia dan Wall-E. Namun kanak-kanak kini sangat bijak dan lebih cepat menangkap sesuatu perkara, berbanding dengan penulis sewaktu kecil dahulu. Ini satu contoh filem kanak-kanak yang bagus, bukan sekadar memberi hiburan, dan pada masa pengajarannya tidaklah terlalu "straight forward". Pengajarannya masih lagi terkait dengan plot dan motivasi watak-watak utama.
Mengenai Kungfu Panda 3 pula, ianya berjaya menjadi satu penamat?? kepada trilogi perjalanan hidup Po yang pada mulanya hanyalah menjadi pembantu ayahnya di kedai mee sehinggalah berjaya mencapai keadaan sekarang yang akhirnya menerima diri sendiri sebagai Dragon Warrior yang mempunyai tugas melindungi rakyat biasa. Saya tidak ingat ada watak animasi yang sebegini lengkap. Mungkin paling kurang kalau ada sequel pun, kerana hendak mencari pasangan untuk Po. Perjalanan kisah hidup Po seperti Luke Skywalker dalam filem Star Wars, bermula daripada anak peladang sehinggalah pahlawan Jedi yang berkuasa mengalahkan Emperor.
Walaupun ada yang mengatakan bahawa ketiga-tiga filem Kungfu Panda menggunakan plot yang sama, namun bagi penulis, watak Po sendiri sebagai watak utama sudah berbeza. Pada filem pertama, Po merasakan diri tidak layak dan hanyalah kebetulan Oogway memilih dia sebagai Dragon Warrior. Malah Po sangat mengharapkan skrol tersebut dapat menunjukkan rahsia mengalahkan penjahat, namun hakikatnya yang beliau lihat adalah cerminan kepada diri sendiri dan beliau perlu percaya kepada diri sendiri. Filem kedua pula beliau terlebih yakin kepada diri sendiri menyebabkan beliau kalah, malah takut menghadapi penjahat kerana penjahat tersebut telah membunuh keluarganya. Namun Po bangkit semula setelah mengingati memorinya bersama ibu kandungnya yang beliau pendam sekian lama. Filem ketiga pula Po lebih percayakan diri sendiri namun ayah angkatnya dan ayah kandungnya pula terlampau "overprotected", dan kurang mempercayai Po. Namun Po menunjukkan kemampuannya sebagai Dragon Warrior sehingga sanggup mengorbankan diri dan melawat penjahat di alam barzakh??? dan kembali semula ke dunia sebenar menjadi lebih kuat.
BoboiBoy The Movie serta siri TV sebenarnya hampir menyerupai anime Jepun seperti Kamen Rider dan Naruto. Walaupun sasarannya lebih kepada kanak-kanak berumur 10 tahun ke bawah, bukan remaja, namun ada tema-tema dan plot yang mungkin agak dewasa dan mereka yang lebih besaar dapat menghargainya. Dalam filem ini, BoboiBoy terpaksa menghadapi musuh daripada angkasa lepas yang mahu mendapatkan Ochobot. Kisahnya lebih kepada persahabatan antara BoboiBoy dan Ochobot, dan walaupun anda baru sahaja menonton cerita ini, anda juga dapat memahami motivasi dengan mudah. Daripada sudut kawan-kawan BoboiBoy, mereka seperti kawan-kawan Naruto yang membantu BoboiBoy, namun pada akhirnya BoboiBoy jugalah yang akan mengeluarkan jurus yang paling kuat dan mengalahkan musuh, samalah seperti Naruto, Luffy dan Goku. Tetapi penulis merasakan Yaya (watak perempuan) lebih kuat daripada BoboiBoy, malah dalam beberapa aksi, Yayalah yang menyelamatkan BoboiBoy. Mungkin perlu ada filem spin-off untuk Yaya.
Filem ini patut dipuji kerana berjaya membawa filem animasi Malaysia ke tahap yang seterusnya. Khabarnya filem ini akan menjadi batu loncatan untuk siri TV BoboiBoy pergi ke angkasa lepas pula. Dalam dunia sebenar, filem ini juga dapat ditayangkan di negara-negara lain serta memperkenalkan produk Malaysia ke luar. Penulis cuba membandingkan filem ini dan Ola Bola, di mana penulis memikirkan bahawa terlampau banyak marketing yang dibuat oleh Ola Bola, namun kutipan tiket lebih kurang BoboiBoy, malah filem BoboiBoy mampu pergi lebih jauh manakala Ola Bola pula hanya relevan di Malaysia sahaja, dan mungkin susah untuk tarik penonton luar. Apapun, sejak Polis Evo tahun lepas sehingga sekarang, banyak filem-filem Malaysia mencatat kutipan tiket yang memberangsangkan serta kualiti filemnya sangat bagus. Walaupun tetap ada filem yang buruk namun nampaknya filem yang bagus yang mendapat perhatian penonton Malaysia. Ini satu petanda bahawa penonton Malaysia sudah matang dan sepatutnya penerbit dan pengedar filem Malaysia membawakan filem yang lebih bagus untuk tahun 2016 ini.
No comments:
Post a Comment