Sejujurnya saya mula tertarik dengan filem Star Wars setelah menonton Episod 2 : Attack of the Clones di Astro. Pada waktu itu sedang ditayangkan maraton filem Star Wars sebelum tayangan Episod 3. Pelik sekali mengapa selalu saya tertarik dengan siri kedua sesebuah siri filem. Saya mula menonton filem Lod of the Ring selepas menonton The Two Towers dan juga masuk ke dalam dunia Harry Potter selepas menonton The Chamber of Secrets. Ini sebelum saya baca buku Harry Potter.
Hampir sedekad kemudian, setelah kefahaman saya tentang perfileman bertambah serta membaca banyak ulasan tentang filem-filem Star Wars, barulah saya mengetahui bahawa Episod 2 dianggap sebagai paling teruk. Ianya lebih teruk daripada Episod 1. Walaupun Episod 1 terdapat karakter Jar Jar Binks, antara yang paling dibenci oleh peminat Star Wars, namun sekurang-kurangnya ianya terdapat babak perlawanan antara Darth Maul, Qui-Gon Jin dan Obi Wan Kenobi serta diiringi dengan muzik yang epik.
Mari kita bercakap tentang perkara yang baik dulu. Tentu sekali babak yang paling diingati adalah perlawanan antara Yoda dan Count Dooku. Rupanya baru saya tahu yang ramai peminat Star Wars tidak sukakan babak ini kerana menganggap karakter Yoda tidak sesuai terbang dan melompat. Bagi mereka Yoda sendiri sudah sangat kuat dan hanya perlu menggunakan 'Force' tanpa perlu menggunakan 'lightsaber'. Namun bagi saya babak ini sangat berkesan sebagai penamat filem kerana ianya menunjukkan bahawa 'The Dark Side' semakin kuat, seiring dengan babak perlawanan pada akhir Episod 1. Selain itu, perlu diingat bahawa Yoda adalah guru kepada Count Dooku. Walaupun Yoda berjaya mengatasi kekuatan Count Dooku, namun ianya mengambil masa juga dan nampak Yoda semakin lemah. Nampaknya siri Star Wars sering menggunakan tema murid yang menderhakai kepada guru. Ianya sudah nampak sejak Episod 4 lagi di mana Obi Wan melawan Darth Vader (dahulunya anak muridnya, Anakin Skywalker). Dalam babak perlawanan ini juga, tangan Anakin dipotong oleh Count Dooku, sama dengan babak Darth Vader memotong tangan Luke dalam Episod 5.
Ada 2 perkara yang membuatkan filem ini dianggap buruk. Pertama adalah kisah cinta antara Anakin dan Amidala. Ada yang berpandangan bahawa kisah cinta ini tidak perlu dan mengganggu penceritaan. Bagi saya kisah cinta ini perlu kerana ianya menjadi motivasi kepada Anakin pada masa akan datang. Namun apa yang menyebabkan ianya tidak menjadi adalah 'chemistry' antara pelakn Hayden Christiansen dan Natalie Portman. Lakonan Hayden sebagai Anakin agak kaku dan dialog cintanya agak aneh dan 'creepy'. Ini menyebabkan peminat menganggap bahawa George Lucas tidak pandai menulis dialog dan sepatutnya menyerahkan tugas penulisan skrip kepada orang lain. Perkara kedua pula adalah terdapat dua plot cerita yang bergerak selari iaitu Obi Wan yang mencari klu tentang Clone Army dan Anakin yang melindungi Amidala. Pemisahan plot ini menyebabkan filem menjadi tidak fokus dan penonton tidak merasa hubungan karakter antara Obi Wan dan Anakin. Hubungan ini sangat penting kerana ianya akan mencapai kemuncak pada Episod 3. Walaupun begitu mereka tetap berjumpa semula di Planet Geonosis.
Walaupun filem ini gagal dari sudut perkembangan karakter dan plot, namun ianya memperbaiki perkara yang dibenci oleh peminat seperti pembuangan karakter Jar Jar Binks. Namun watak kanak-kanak Anakin yang menjengkelkan diganti dengan watak Anakin dewasa yang nampak terlalu angkuh dan kaku. Filem ini juga diselamatkan dengan lakonan mantap Christopher Lee sebagai Count Dooku. Count Dooku sebenarnya 'villain' Star Wars yang lebih menarik daripada Darth Maul dan Emperor Palpatine kerana beliau adalah bekas Jedi yang melihat The Dark Side menjanjikan lebih kuasa. Selain itu, filem ini juga menunjukkan bagaimana Clone Wars berlaku di antara Republic dan Separatist serta bagaimana Stormtroopers dilahirkan. Ramai juga peminat-peminat muda Star Wars yang meminati filem ini kerana ianya menunjukkan bagaimana seorang pemerintah mempergunakan ketakutan terhadap musuh untuk memperbanykkan kuasa tentera. Perlu diingat filem ini ditayangkan selepas peristiwa 9/11 dan perang Afghanistan dan pertembungan antara kuasa baik dan jahat sangat kabur. Ini berbeza dengan Star Wars pada tahun 70an dan 80an di mana masih lagi terdapat persaingan kuasa antara Amerika Syarikat dan Soviet Union. Bolehlah dikatakan prequel berjaya menggunakan tema perang pada waktu tersebut tetapi gagal dalam teknik penceritaan filem.
No comments:
Post a Comment