Penulis menonton filem terbaru Christopher Nolan iaitu Interstellar sebanyak 2 kali. Sebab utama mengapa penulis berbuat begitu adalah kerana penulis agak terganggu dengan resolusi filem ini. Nolan adalah seorang karyawan filem yang bijak menamatkan filemnya. Penonton pastinya akan tertanya-tanya tentang apakah yang akan terjadi terhadap nasib karakter dalam filem. Dan akhirnya kita semua memikirkan tentang apakah yang sebenarnya cuba diceritakan dalam filem tersebut. Dalam Memento, kita memikirkan tentang betapa mudahnya kita dimanipulasi oleh memori yang terakam dalam gambar. The Prestige pula bermain dengan pengklonan dan juga seseorang yang sanggup berlakon sepanjang hidupnya kerana minat. Siri filem Batman atau The Dark Knight Trilogy mengisahkan tentang betapa berpengaruhnya simbol dalam menjadi inspirasi kepada orang ramai. Dan pada tahun 2010 kita dibawa ke dunia mimpi Nolan, dan pengakhiran filem ini adalah salah satu isu yang paling hangat diperdebatkan. Adakah Cobb masih bermimpi?
Nolan suka bermain dengan sains fiksyen. Tetapi dalam masa yang sama tidak pergi terlalu terperinci dalam teori saintifik. Namun dalam masa yang sama, pertukaran dialog antara watak selalu digunakan oleh Nolan sebagai kaedah untuk menceritakan tentang beberapa perkara yang perlu difahami oleh penonton. Perkara ini penting kerana ianya membantu kita dalam memahami cerita keseluruhan.Dalam Interstellar, Nolan bermain dengan fizik. Daripada bidang astronomi, persoalan graviti, masa dan akhirnya yang paling konteoversi, cinta. Ya. Nolan cuba memberi hujah saintifik tentang cinta. Perkara inilah yang mungkin menyebabkan ramai yang mengkritik filem ini.
Filem ini memang mempunyai kesan visual yang sangat baik. Ianya adalah elemen penting kerana filem ini mengenai pengembaraan angkasa lepas. Kalau tiada kesan khas yang baik, maka penonton tak akan ambil serius dengan persoalan-persoalan saintifik. Namun, sekiranya anda sudah menonton filem 'Gravity' tahun lepas, mungkin anda akan kurang teruja. Memang penulis sudah menjangka, 'Gravity' akan menjadi tanda aras bagi filem angkasa lepas pada masa akan datang. Namun 'Gravity' bukan filem fiksyen sains. Ianya lebih kepada filem Bencana-Aksi. Disini kelebihan Interstellar kerana ianya adalah fiksyen sains. Banyak teknologi yang dipaparkan masih belum wujud seperti robot berbentul segi empat tetapi mudah untuk berpusing, semacam 'rubik's cube' dan kapal angkasa yang berputar untuk menjana graviti tiruan di angkasa lepas.
Ada juga beberapa babak yang sangat mencemaskan dan diolah oleh Nolan dengan baik. Pertama adalah sewaktu mereka turun ke Planet Laut. Penulis memikirkan memang sangat unik (dan juga menakutkan) ada sebuah planet yang hanya terdiri dari laut sahaja. Malah mempunyai ombak yang setinggi gunung. Apa yang lebih mengejutkan adalah perubahan masa. Satu jam di planet sama dengan 7 tahun di angkasa. Di sini Nolan mula masuk dalam persoalan mengenai masa. Betapa ianya sangat relatif dan sukar untuk diukur. Malah kalau ikut logik akal, rasanya perbezaan masa antara pengembara di kapal angkasa dan masa di Planet Bumi pasti lebih jauh. Kemudian, babak kedua yang mencemaskan adalah apabila kapal angkasa Endurance (yang berputar) meletup apabila Dr Mann (dilakonkan oleh Matt Damon) cuba membuka pintu kapal walaupun belum 'docking' dengan baik. Ditambah dengan runut bunyi organ Hans Zimmer, babak apabila Cooper cuba juga untuk 'docking' kapal shuttle kepada Endurance dalam keadaan berputar memang unik. Seolah-olah menonton Fast and Furious atau Mission Impossible di angkasa.
Seperti yang dibincang sebelum ini, memang sukar hendak buat filem tentang masa. Filem yang terbaik dan dibuat dengan sedikit humor namun ada logik saintifiknya adalah Back to the Future. Selain itu, banyak filem yang terlampau berserabut dan sukar untuk difahami kecuali sekiranya ditonton betul-betul. Dalam filem ini, kerana Cooper mengembara ke sudut angkasa jauh dari Bumi, maka penuaan beliau berlaku perlahan. Manakala anak-anak Cooper di Bumi sudah membesar dan apabila Cooper kembali ke Bumi, mereka sudahpun lebih tua. Tak cukup dengan itu, Christopher Nolan juga cuba bercakap tentang cinta. Kata salah seorang watak, "Mengapa kita mencintai seseorang yang sudah mati? Adakah itu bukti cinta sebenarnya dimensi lebih tinggi yang manusia masih belum fahami?"
Watak penting dalam filem ini adalah Cooper dan anak perempuannya, Dr Cooper juga, iaitu saintis yang akhirnya berjaya menyelesaikan masalah umat manusia di mana mereka boleh membuat koloni di angkasa. Mengenai persoalan kemarau di Bumi, Nolan kurang memberi penekanan dalam hal ini. Yang mahu ditekankan mengenai kedatangan 'kiamat' ini adalah kehilangan impian manusia untuk terus mengembara dan hanya mahu mengekalkan kehidupan sedia ada. Inilah sebenarnya hasrat Nolan. Mahu membikin sebuah filem sains fiksyen yang menjadi inspirasi anak muda untuk masuk dalam bidang penerokaan angkasa lepas. Memang tidak dinafikan manusia sudah kurang berminat dengan angkasa lepas. Malah apa gunanya memikirkan tentang perkara jauh yang sukar dicapai apabila banyak lagi masalah di Bumi yang tidak selesai.
No comments:
Post a Comment