1) Grand Bazaar dan Istanbul University
Kami memulakan pengembaraan kami dengan check out daripada hotel dan pergi mencari kedai untuk bersarapan. Oleh kerana sudah pukul 10 lebih maka kami terus mencari tempat yang boleh kami makan berat terus. Berdekatan dengan stesen tramway Cemberlitas, terdapat sebuah restoran. Masih kosong lagi. Mungkin baru buka. Oleh kerana kami berhasrat untuk mencari makanan Turki yang lain daripada lain setiap hari maka kami pilih restoran ini. Harganya agak mahal sikit, namun di bahagian luar di belakang ada ruang yang sangat cantik. Dengan berbumbungkan atap kayu dan zink, kita dapat merasakan pancaran cahaya matahari, namun tak merasakan bahangnya. Dan di sekitar ruang itu dihiasi pokok-pokok yang menjalar. Suasanya seolah-olah makan di hutan walaupun restoran itu di tengah kotaraya yang sibuk.
Di hadapan pagar Istanbul University
Melihat-lihat buku di Old Book Bazaar
Selesai makan 'brunch' (gabungan breakfast dan lunch), kami menaiki tramway ke stesen Beyazit. Stesen ini adalah stesen hab bas, di mana dari sini, banyak bas yang akan pergi ke banyak tempat di sekitar Istanbul. Selain itu, stesen ini juga berdekatan dengan Capalicarsi (Grand Bazaar), Istanbul University dan Masjid Sulaymaniye, masjid terbesar di Istanbul. Semalam kami sudah pun singgah di Grand Bazaar, tetapi Grand Bazaar ini mempunyai banyak pintu dan pelbagai bahagian. Hari ini kami ke bahagian yang menjual pakaian, beg dan buku. Kami masuk dahulu di sebuah tempat di Grand Bazaar bernama Old Book Bazaar. Tak pasti selama mana buku yang dijual di Bazaar ini. Seperti yang dijangka, buku yang dijual banyak dalam Bahasa Turki. Namun tidaklah lama sangat rasanya buku yang dijual di sini. Kebanyakannya buku moden. Malah banyak buku teks univesiti, mungkin kerana dekat dengan Istanbul University. Di sini penulis membeli kad pos yang mempunyai gambar-gambar Istanbul lama dan juga buku Tales of Nesrettin Hoja, seorang watak dongeng dalam masyarakat Turki, semacam Pak Pandir.
Di sebelah Old Book Bazaar, terdapat lorong yang dipenuhi gerai menjual baju dan beg. Solah cuba juga untuk membelinya tetapi rasanya terlalu mahal dan mungkin boleh cari di tempat lain. Namun, apa yang menarik perhatian kami di sini adalah penjual air. Mereka menjual air delima atau oren. Rasanya masam-masam manis namun memang penyegar dahaga yang sangat efektif terutamanya apabila sudah penat berjalan dan berada di bawah terik matahari. Keunikan penjual air ini adalah mereka membawa tong air mereka di belakang seperti 'rocket bagpack'. Daripada tong itu, disambung sebuah paip dimana di situ air akan mengalir keluar dan masuk ke dalam cawan seperti mengisi minyak dalam kereta. Malah, penjual air itu akan membuat pelbagai gaya sewaktu menuang air tersebut ke dalam cawan.
Penjual air dengan 'rocket backpack'nya
Kami meneruskan perjalanan. Mula-mulanya kami merancang hendak ke Masjid Sulaymaniyye untuk solat Zohor. Namun kami takut perjalanan terlampau jauh dan kami juga sudah merancang untuk ke Topkapi Palace, bekas Istana Sultan Uthmaniyyah yang ditukar menjadi muzium. Kami berjalan semula ke arah tramway. Sedang berjalan, Solah singgah ke sebuah kedai untuk mencuba makanan baru. Tak pasti nama makanan itu, tapi yang pasti ada keju di atasnya. Mula-mula Solah minta sedikit sahaja, tetapi oleh kerana salah faham bahasa, pekedai itu memberi banyak pula. Rasanya kami makan sedikit demi sedikit sehingga malam. Di hadapan pintu pagar Istanbul University, terdapat ruang legar untuk pelajar dan pelawat lalu lalang. Kami melihat di situ ada orang yang membuat perniagaan memberi makan burung merpati. Bayar kepada mereka dan mereka akan beri anda roti untuk diberi kepada burung. Terdapat juga pemuzik sedang bermain biola kepada orang lalu lalang dan menyanyikan lagu dalam Bahasa Turki. Pagar universiti berwarna putih dan sangat unik. Dari luar seolah-olah seperti tembok markas tentera. Sayangnya orang luar tidak dibenarkan masuk. Kami juga sempat singgah ke Masjid Beyazit, betul-betul di hadapan pintu pagar universiti. Namun kecantikan masjid kurang terserlah kerana sedang dalam penambahbaikan.
2) Eminonu, Aqueduct dan Masjid Al-Fatih
Kami pergi ke Sultanahmet Square kerana Topkapi Palace terletak betul-betul di sebelah Hagia Sophia. Malangnya apabila kami sampai, 2 orang pengawal dengan anjing sedang mengawal pintu masuk. Rupa-rupanya Topkapi Palace tutup setiap hari selasa untuk penyelenggaraan. Kami kecewa dan rasanya seolah-olah membuang masa. Memikirkan hari masih panjang, kami membuat keputusan untuk ke Masjid Al-Fatih, masjid yang dibina sejurus selepas Sultan Mehmet Al-Fatih menawan Constantinople. Disitu juga terletak makam baginda. Kami menelefon Budin, menanyakan cara bagaimana ke masjid tersebut. Kata Budin, pergi ke Eminonu dan di situ banyak bas yang akan lalu di hadapan Masjid Al-Fatih. Oleh kerana Topkapi Palace itu sendiri sudah terletak sangat jauh dari stesen Sultanahmet, malah kena mendaki pula, jadi kami mengambil keputusan untuk pergi ke stesen Eminonu melalui stesen Gulhane yang lebih dekat. Kami melalui lorong yang mempunyai banyak rumah seperti rekabentuk Eropah. Rasanya kebanyakan rumah tersebut sudah dijadikan pejabat atau homestay. Ada juga yang dijadikan restoran atau bar.
Pemandangan kawasan hadapan sebelum pintu masuk Topkapi Palace
Perjalanan menuju Gulhane
Eminonu adalah hab bas dan juga pelabuhan feri. Eminonu terletak di Istanbul bahagian Eropah. Dengan menaiki feri ini, anda boleh pergi ke Karakoy yang terletak di seberang Golden Horn atau Uskudar yang terletak di bahagian Asia dengan merentasi Teluk Bosphorus. Di sini, kami hanya melihat-lihat sekitar dan mengambil gambar dan seterusnya terus mencari-cari bas yang perlu dinaiki. Nasib baik tidak sukar mencari bas. Setelah bas bergerak ke destinasi seterusnya, kami mula melihat sekitar Istanbul dari pandangan dalam bas. Kami terperasan binaan Valens Aqueduct. Binaan ini asalnya menjadi sistem pengaliran air keluar dan masuk kota Constantinople. Tapi kini hanya tinggal sebahagian sahaja yang selamat hingga ke hari ini. Sebuah jalanraya yang besar dibina melalui Aqueduct ini.
Kapal digunakan sebagai dapur untuk memasak di Eminonu
Aqueduct dari kejauhan
Berdekatan dengan Aqueduct, kami ternampak bas melalui sebuah taman. Kami mengambil keputusan untuk turun di sini. Sebabnya pertama kami tak tahu hentian mana kami patut turun. Kedua, kami sengaja mahu melihat kawasan sekitar taman ini. Dengan berjalan beberapa ratus meter dari taman ini, kami sampai ke Masjid Al-Fatih. Sebenarnya, di hadapan Masjid Al-Fatih sedang dibina sebuah kompleks, rasanya sebuah madrasah, jadi kalau kami tak turun awal dari bas, mungkin kami tak perasan Masjid tersebut. Saiz masjid tersebut agak besar juga, mungkin menyamai saiz Masjid Sultanahmet. Disini kami menunaikan solat zohor dan asar secara jamak qasar. Setelah bersolat, kami terlelap mata sebentar. Selesai berehat, kami keluar untuk melihat Makam Sultan Mehmet Al-Fatih. Pesan Tuan Haji Azam, kalau anda sudah sampai ke Istanbul, ada dua masjid yang anda kena ziarah. Pertama ialah Masjid Eyub Sultan kerana di situ ada makam Abu Ayyub Al-Ansari, sahabat Nabi SAW. Kedua ialah masjid ini. Apabila kami sampai, sudah terlihat ramai pelawat yang duduk sedang membaca ayat-ayat suci Al-Quran di sekitar makam. Kami juga menghadiahkan Al-Fatihah kepada baginda sultan, dalam hati memikirkan betapa bertuahnya baginda yang dipilih oleh Allah untuk mengetuai sebaik-baik tentera dalam misi menawan Constantinople. Sabda Nabi ternyata makbul. Kami juga perasan budak-budak sekolah yang melalui makam ini juga menghadiahkan Al-Fatihah. Orang Turki baik tua dan muda masih lagi mengenang dan berterima kasih atas jasa Sultan Mehmet. Moga-moga akan lahir dari kalangan orang Melayu pemimpin semacam begini.
Makam Sultan Mehmet Al-Fatih
Penulis bergambar di hadapan makam, sederhana sahaja, namun namanya disebut-sebut sehingga hari ini
3) Di atas Feri
Selesai menziarahi makam, kami menaiki bas semula dan bergerak kembali ke arah Eminonu. Rancangan kami malam ini adalah untuk tidur di Madrasah Pelajar Malaysia di Uskudar. Untuk ke sana, kami mesti menaiki feri dari Eminonu. Feri ini murah sahaja, tak jauh beza dengan menaiki Marmaray atau tren bawah tanah. Jarak antara pelabuhan Eminonu dan Uskudar tidak jauh beza dengan feri yang kita ada di Pulau Pinang. Walaupun Istanbul ini agak popular dengan perkhidmatan 'cruise' merentasi Teluk Bosphorus, namun feri ini sahaja sudah cukup untuk anda menikmati kecantikan Teluk Bosphorus. Ini kerana kawasan yang cantik untuk dilihat di Istanbul adalah kawasan Sultanahmet. Dari Teluk Bosphorus, anda boleh lihat Topkapi Palace, Hagia Sophia dan Masjid Biru. Di seberang Golden Horn pula, tersergam Galata Tower di tengah-tengah kota lama Galata yang berbentuk seperti bukit. Dalam feri ini juga anda boleh menikmati roti bakar diapit di tengah-tengahnya daging dengan chai (teh). Tak pasti apa namanya. Sepanjang perjalanan, penulis dapat lihat kesibukan Teluk Bosphorus dengan kapal-kapal dagang lalu lalang. Mendekati stesen Kadikoy, kami melihat sebuah stesen keretapi lama bernama Haydarpasa. Dahulunya, stesen inilah yang menyambungkan Istanbul dengan Baghdad dan Hejaz (kini Arab Saudi).
Galata Bridge dari feri
Bersenang-lenang di atas feri sambil menghirup bau Laut Marmara
Budin sudahpun menunggi kami di pelabuhan. Kami bersama-sama naik ke atas bas menuju ke kawasan Uskudar. Dalam perjalanan, kami ternampak pagar pintu Marmara Universiti, tempat di mana Budin (dan juga arwah Ammar) belajar. Namun, seperti Istanbul University, pelawat luar tidak dibenarkan masuk. Akhirnya kami sampai ke rumah pelajar Malaysia. Di situ kami bersama-sama dengan pelajar Malaysia makan nasi di dalam talam. Tak ingat lauk apa namun mengingatkan kami dengan makanan Malaysia. Malam itu selepas makan malam, kami hanya berehat sambil 'online', Penulis sendiri menghabiskan masa membaca buku mengenai Turki. Insyaallah esok keluarga kami akan sampai dari Kuala Lumpur
Jumpa lagi di hari kelima!
No comments:
Post a Comment