1) Sarapan dan Tembok Constantinople
Pagi itu kami bangun lambat sedikit kerana keletihan berjalan semalam. Kami mandi dan terus keluar bersarapan di luar. Kami bertanya kepada salah seorang pelajar Malaysia di madrasah tersebut bernama Hazwan di mana kedai yang bagus untuk bersarapan. Beliau sendiri menawarkan diri untuk membawa kami ke kedai kerana sebagai orang yang terdidik di madrasah Hayrat, mereka agak cerewet sedikit dalam soal makanan. Memang tak dinafikan hampir semua restoran di Turki dimiliki oleh orang Islam dan halal, namun mereka menilai makanan lebih dari itu. Mereka akan melihat siapa yang membekalkan bahan mentah seperti roti dan mee. Malah, jemaah Hayrat juga mempunyai jaringan perniagaan makanan yang agak besar di Turki. Jadi, kalau nak menghadiahkan mereka makanan, berhati-hati dan pastikan ianya dari sumber yang mereka betul-betul percaya.
Berjalan ke kedai untuk bersarapan di Zeytinburnu
Kami dibawa bersarapan ke sebuah kedai dan menikmati roti bersama sup dengan dihidangkan dengan secawan teh. Teh di Turki dihidangkan dalam cawan yang sangat kecil dan tidak diletakkan gula. Kita sendiri yang akan mencampurkan mengikut citarasa sendiri. Selepas bersarapan (tapi masih belum kenyang), kami dibawa ke hentian bas yang berdekatan sahaja dengan kedai tadi. Rakan kami bertanya kami mahu ke mana hari ini, kami menjawab kami mahu ke Panorama 1453, sebuah muzium yang menayangkan tentang penawanan Constantinople oleh Sultan Mehmet Al-Fateh pada 1453. Rakan kami menasihatkan kami untuk naik bas sehingga ke stesen tramway berdekatan dengan pusat bandar, kemudian dari stesen itu ke stesen tramway yang betul-betul terletak di sebelah Muzium Panorama 1453. Kami mengucapkan terima kasih dan berharap dapat jumpa lagi sebelum balik ke Malaysia, namun malangnya kami tak sempat bertemu lagi kemudian. Sewaktu kami dalam bas, penulis berasa teruja kerana dapat melihat tembok Constantinople secara lebih dekat. Kami baru sedar betapa besar dan panjangnya tembok ini Seperti yang sedia maklum, pusat bandar Istanbul yang lama berada di dalam kawasan yang dikelilingi tembok. Walaupun begitu ada tembok yang sudah terpecah dua kerana dibina sebuah jalan di tengah-tengah. Mungkin bahagian tembok ini sudah musnah sejak zaman Sultan Mehmet masuk ke dalam kota Constantinople.
Tembok yang terpecah dua dan di tengah-tengahnya dibina jalanraya
Kami sampai di stesen tramway di pusat bandar. Uniknya stesen tramway ini adalah ianya terletak di tengah-tengah jalanraya. Mungkin untuk memudahkan pembinaan, jadi tak perlu hendak dibina terowong atau landasan atas. Kemudian, kami menaiki tramway ke stesen Panorama. Di situ, sekali lagi kami melihat tembok dari jarak dekat dengan berkibar megahnya bendera Turki yang besar, Kami meminta seseorang untuk mengambil gambar kami dengan berlatarbelakangkan tembok. Selepas itu mengambil video dalam 1 minit untuk dijadikan dokumentari kelak.
2) Muzium Panorama 1453
Kami berjalan ke Muzium Panorama. Oleh kerana hari isnin, maka tak ramai yang datang melawat. Satu kelebihan melancong di Istanbul adalah anda boleh menyewa walkman audio dalam bahasa-bahasa utama dunia seperti Bahasa Inggeris, Perancis atau Mandarin. Walkman ini akan menerangkan tentang sesuatu objek atau gambar apabila anda menekan nombor yang berkaitan. Kami sudah perasan tentang fungsi walkman tersebut di Hagia Sophia tetapi waktu itu kami tak cukup duit. Kami mengambil keputusan untuk menyewa walkman di Panorama kerana merasakan ianya akan membantu pemahaman kami tentang peristiwa yang membawa kepada pembukaan Constantinople.
Rekabentuk muzium ini berbentuk bulat. Setiap peristiwa yang membawa kepada jatuhnya Constantinople diceritakan satu persatu melalui gambar. Rupa-rupanya penerangan dalam setiap gambar ditulis dalam Bahasa Turki. Nasib baik kami menyewa walkman. Kalau tidak, kami tak faham dan hanya boleh melihat gambar. Setiap gambar itu mengikut kronologi dan akhirnya kami naik ke tingkat dua. Di tingkat inilah yang menjadikan muzium ini unik. Dengan berbentuk seperti planetarium, orang Turki menggambarkan semula peristiwa mereka menawan Constantinople melalui lukisan di dinding. Di samping itu, mereka juga membuat replika meriam dan peralatan perang di bahagian bawah. Malah, mereka sanggup berbuat lebih dengan menambah bunyi-bunyian perang supaya pengunjung berasa seolah-olah berada di dalam perang tersebut. Oleh kerana muzium berbentuk bulat, maka kami seolah-olah berada di antara tembok dengan tentea Sultan Mehmet.
Sultan Muhammad di atas kuda putih bersama panglima-panglima
Replika peralatan perang
Gambar panorama tembok yang sedang dibom oleh tentera Turki
Replika muzium dalam skala kecil
3) Grand Bazaar dan Makan Tengahari
Selesai mengagumi suasana muzium, kami kembali ke tingkat bawah pula. Di bawah, mereka meletakkan perisai dan jubah perang yang digunakan oleh tentera Turki. Kemudian, kami keluar dari muzium dan singgah sebentar di kedai cenderamat. Di sini agak mahal namun kami beli juga sedikit supaya ada kenang-kenangan. Penulis membeli sebuah buku kecil yang menceritakan tentang sultan-sultan Turki sejak dari Orhan Ghazi sehingga Sultan yang terakhir, Sultan Muhammad ke-IV. Di luar, oleh kerana hari sudah kepanasan maka kami menikmati aiskrim sebentar. Kelihatan pengunjung mula datang terutamanya budak-budak sekolah. Selepas itu, kami menaiki tramway semula dan menghala ke arah Stesen Beyazit. Di situ terletak Grand Bazaar atau dalam Bahasa Turki disebut Kapalicarsi. Ianya adalah salah satu pasar tertutup yang terbesar dan tertua di dunia. Walaupun begitu, kedainya semuanya sudah baru, berhawa dingin dan rekabentuknya dalaman seolah-olah seperti pusat membeli-belah. Namun kita dapat lihat sendiri tiang-tiang yang sudah lama dibina dan tempat-tempat wuduk yang masih lagi boleh digunakan. Dahulu, dalam Grand Bazaar ini sahaja sudah ada berpuluh masjid. Namun sekarang hanya tinggal sedikit kerana sudah banyak masjid yang lebih besar dibina di sekitar. Malah, Masjid Sulaymaniye yang terbesar di Istanbul itu pun sebenarnya sangat dekat dengan kawasan itu. Grand Bazaar ini telah dibina sejak orang Turki menguasai Constantinople.
Selepas bersiar-siar dalam Grand Bazaar (tapi tak beli apa-apa pun, simpan duit), kami terasa lapar. Oleh kerana kawasan bazaar sangat besar, kami masuk dari pintu lain, dan kami keluar melalui pintu lain. Kami hanya ikut sahaja petunjuk yang tertulis Cikis, bermaksud keluar. Kami akhirnya keluar juga setelah berpusing beberapa kali dalam keadaan yang tidak pasti. Di pintu itu tertulis Mahmutpasa Kapisi. Mungkin salah satu pintu bazaar yang dinamakan sempena salah seorang pembesar Uthmaniyyah. Kami singgah sebentar di salah sebuah restoran berdekatan pintu tersebut kerana tertarik dengan salah sebuah makanan. Kata Solah, dia hendak merasa semua jenis makanan Turki. Masuk ke dalam, rupa-rupanya restoran itu dua tingkat dan ada tingkat bawah tanah. Tak pasti apa yang kami makan, namun rasa sedap sebab makan dengan sos tomato dan mayonis Turki.
Suasana dalam Grand Bazaar seperti shopping mall
Paip wuduk masih lagi terpelihara walaupun sudah tiada masjid
Restoran bawah tanah
Selesai menikmati makan tengahari, kami mula mencari masjid untuk solat zohor dan asar. Rancangannya, kami mahu ke arah stesan Eminonu untuk destinasi kami seterusnya. Namun, kami bercadang untuk bercadang untuk jalan kaki sahaja kerana kawasan Grand Bazaar itu sebenarnya dekat sahaja. Dengan berpandukan kepada peta sahaja, kami bergerak mennuruni bukit kerana kawasan Fatih ini berbukit-bukit dan stesen Eminonu berdekatan dengan Spice Bazaar dan Galata Bridge. Semasa dalam perjalanan, susah sebenarnya untuk memahami peta, jadi kami agak ragu-ragi dengan jalan yang kami ambil. Hanya menurut sahaja jalan yang paling ramai dilalui orang. Setelah penat berjalan, akhirnya kami ambil keputusan untuk singgah sebuah masjid kecil yang terletak di antara rumah kedai. Ianya dinamakan masjid juga walaupun saiznya seperti surau biasa kalau di Malaysia. Kebiasannya masjid di Istanbul ini akan ditulis tarikh pembinaan di atas pintu, dan melihat kepada tarikh yang tertulis di masjid kecil tersebut, memang sudah agak lama.
4) Galata Tower dan Funicular
Kami meneruskan perjalanan selepas bersolat. Akhirnya tiba juga di Spice Bazaar. Saiznya tidaklah sebesar Grand Bazaar kerana kami dapat lihat pintu yang satu lagi di sebelah sana. Namun di sinilah segala rempah dari seluruh Turki, malah mungkin seluruh dunia dijual. Kami tak beli apa-apa di sini, cuma menghidu bau sahaja yang bermacam-macam. Keluar sahaja dari Spice Bazaar, tersergam indah Masjid Eminonu di sebelah kanan, menghadap Golden Horn. Di situ kami hanya masuk ke dalam kawasan perkarangan dan melihat-lihat. Di sekitar kawasan masjid, ada banyak burung merpati dan ramai pengunjung yang memberi makan. Sebelum mengambil tramway, dari jauh, kami melihat tertegak Galata Tower di seberang. Tramway yang kami ambil di Eminonu merentasi Galata Bridge.
Sampai di seberang, sekali lagi kami melihat peta. Merancang mahu ke naik ke Galata Tower. Sangkanya ada kereta kabel namun tak jumpa pula. Akhirnya kami mendaki sahaja kawasan yang berbukit tersebut sehingga sampai ke Galata Tower. Di sepanjang jalan, kami melihat banyak kedai-kedai menjual lukisan. Tercungap-cungap juga bila sudah sampai di Galata Tower. Di situ kelihatan ramai budak-budak muda yang sedang melepak. Kami sangka percuma menaiki Galata Tower, rupa-rupanya berbayar. Demi menyimpan duit, kami tak jadi naik. Selepas berehat sambil minum air bergas, kami bercadang untuk ke Taksim Square. Kalau melihat dari peta, seakan dekat sahaja dengan Galata Tower. Namun, kami takut kami tersesat lagi. Akhirnya kami bercadang untuk turun semula ke kawasan bawah bukit dan mencari kereta kabel.
Masjid kecil yang mungkin digunakan oleh pedagang zaman dahulu untuk bersolat
Spice Bazaar yang penuh dengan pengunjung
Pemandangan Galata Tower dari Eminonu
Tak dapat naik, bergambar pun cukup
Pelukis dan jurugambar jalanan
Sebelum turun, kami singgah di restoran berdekatan dengan Galata Tower untuk menikmati hidangan minum petang. Tak pasti pula jenis makanan tapi rasanya seperti pizza kerana banyak keju di atas roti. Kami turun semula dengan lajunnya ke kawasan bernama Karakoy. Setelah berpusing sekitar kawasan itu, baru kami perasan rupa-rupanya ada kereta kabel di bawah tanah sebuah bangunan. Kereta kabel atau disebut Funicular ini telah beroperasi sejak 1875. Dan masih lagi dianggap penting untuk penduduk Istanbul pergi ke kawasan Istanbul moden. Satu perkara yang penulis perasan sewaktu berjalan di sekitar bandar adalah betapa setiap tempat di Istanbul berhubungan dengan sistem pengangkutan awam. Baik samada tramway, tren bawah tanah atau bas. Walaupun kebanyakan papan tanda dalam Bahasa Turki, namun mudah difahami dengan simbol-simbol dan peta panduan. Istanbul adalah bandar terbaik untuk dilawati oleh peneroka dan Bag Packer. Bagaimana dengan Kuala Lumpur pula? Biarlah pelancong sahaja yang menjawab soalan itu.
Funicular itu hanya ada 2 stesen sahaja. Stesen pertama Karakoy dan berakhir di Beyoglu. Di Beyoglu, kami mahu tambah nilai kad pengangkutan awam. Di Istanbul, murah sahaja pengangkutan awam sekiranya menggunakan kad atau Akbil. Dan untuk menambah nilai, boleh sahaja menggunakan mesin. Namun oleh kerana kami tak faham Bahasa Turki dan tak tahu nak tekan butang apa, maka duit yang kami nak tambah nilai ditelan begitu sahaja. Rasa kecewa, kami berjalan ke arah metro atau stesen tren bawah tanah Sishane. Sebenarnya, pada hari itu, penulis sudah berjanji dengan pimpinan Young UNIW atau Union of NGOs of the Islamic World untuk berjumpa di pejabat mereka di Edirnekapi dan berbincang tentang kerjasama antara rakyat Malaysia dan Turki. Jadi, oleh kerana masa sudah lambat, rancangan untuk ke Taksim ditangguhkan. Kami terus sahaja ke stesen Sisli-Medicikoy yang akan menghubungkan kami ke Edirnekapi.
5) Sisli dan Metro Bus
Kawasan Sisli ini lebih moden berbanding kawasan Fatih, Eminonu atau Karakoy. Keluar sahaja stesen sudah nampak jalanraya besar. Kalau sebelum ini hanya nampak jalan berbatu bata sahaja. Di situ kami beli sahaja kad baru di Kiosk, takut duit kami ditelan lagi. Kami mencari-cari di mana stesen perhubungan. Nasib baik ada kaunter pertanyaan. Kami bertanya dalam Bahasa Inggeris, " How to go to Edirnekapi?". Petugas pelancongan itu menjawab, " Walk about 500 m and to the left and you will see Metro Bus station on the left". Mendengar sahaja perkataan Metro Bus, kami tertanya-tanya sama ada ianya tren bawah tanah atau bas. Sampai sahaja di stesen, kami melihat ianya sebuah hab bas yang pergi ke merata tempat di Istanbul. Semacam Pasar Seni. Kami mencari-cari bas yang tertulis Edirnekapi. Kami tak pasti nombor berapa tetapi rasanya banyak bas yang pergi ke situ. Kami jalan depan sikit baru kami perasan sebuah stesen seperti tramway namun ianya untuk Metro Bus.
Metro Bus ini semacam hibrid tren dan bas. Ianya bas yang panjang (bas digabung dua, macam bas di lapangan terbang), namun ianya bergerak di atas jalan khas untuk mereka sahaja. Masuk sahaja kami ke stesen itu baru kami perasan yang waktu itu adalah waktu orang balik bekerja. Jadi penduduk kota beratur panjang menunggu bas. Mula-mula terfikir juga hendak keluar balik dan menaiki teksi sahaja. Namun memikirkan sudah masuk dan Budin memesan bahawa lebih baik jangan teksi, kami teruskan sahaja menunggu bas. Nasib baik bas bertali arus datang. Jadi tak tunggu lama sangat. Cuma bersesak juga untuk masuk ke dalam bas. Macam naik tren KTM. Oleh kerana Metro Bus seperti tren, maka naik sahaja mana-mana bas, ianya akan berhenti juga di destinasi. Metro Bus ini merentasi Jambatan Golden Horn kerana Edirnekapi terletak di seberang, masih lagi dalam kawasan Fatih cuma jauh sikit, sebenarnya kalau kami tak ke Galata Tower maka dekat sahaja dengan Eminonu.
Funicular, antara tren bawah tanah yang tertua di Eropah
Kawasan Sisli yang lebih moden dan dikelilingi oleh pusat membeli belah
Kata seorang rakan Turki, anda telah melihat sisi gelap Istanbul sekiranya anda menaiki Metro Bus
6) Golden Horn dan Edirnekapi
Jambatan Golden Horn lebih besar daripada Galata Bridge. Kedua-duanya merentasi Golden Horn, sebuah teluk yang berada di persimpangan Selat Bosphorus dan Laut Marmara. Sekiranya anda melihat peta, Selat Bosphorus menyambungkan antara Laut Hitam dan Lautan Meditteranean. Kerana selat inilah, Istanbul menjadi rebutan banyak tamadun kerana menyambungkan Eropah Timur seperti Rusia ke dunia luar, baik di benua Eropah, Asia atau Afrika. Namun Golden Horn inilah yang menjadi salah satu sebab mengapa Constantinople sukar untuk ditawan, selain daripada mempunyai tembok yang kukuh. Sekiranya anda ingat sejarah, setelah Sultan Mehmet Al-Fateh berjaya memindahkan kapal perang melalui jalan darat Galata ke Golden Horn, barulah pertahanan Constantinople mula goyah kerana tidak dapat menahan serangan dari 2 sudut. Sebelum ini, kapal perang Turki tak dapat masuk ke Golden Horn kerana dihalang oleh rantai besi panjang dan besar.
Berbalik ke masa kini, kami sampai juga ke stesen Edirnekapi. Stesen itu juga adalah stesen pertukaran untuk ke tramway. Tak pasti pergi kemana. Di situ kami naik teksi dan menunjukkan alamat pejabat UNIW. Dalam 15 minit juga teksi membawa kami. Tetapi pemandu teksi itu hanya menurunkan kami ke kawasan perumahan. Kami sangka pejabat UNIW itu di rumah kedai. Kami berjalan sekitar kawasan perumahan tersebut dan mencari-cari sekiranya ada logo UNIW. Tak jumpa. Bateri telefon bimbit pula sudah malap. Kami cuba telefon buat kali terkahir. Pemuda yang kami hubungi itu mengatakan kami di mana, kami katakan kami hanya nampak ada sebuah teman permainan dan kedai roti. Pemuda itu meminta kami berjalan lagi ke depan. Kami jalan lebih kurang 100 meter dan ternampak sebuah rumah di tepi kawasan perkuburan. Di situ pemuda itu melambai-lambai. Rupanya pejabat UNIW ini dahulunya sebuah zawiyah tarikat yang telah diubah suai. Ianya 2 tingkat dan agak luas juga untuk menjadi pejabat. Cuma agak menakutkan mungkin pada waktu malam kerana bersebelahan dengan perkuburan.
Kami berbincang hampir 2 jam juga di UNIW bersama dengan Presiden Young UNIW, Fatih Cosan dan Naib Presiden, Chigr. Chigr lebih fasih berbahasa Inggeris dibanding dengan Fatih. Beliau faham cuma lambat sikit bila nak bercakap. Jadi Chigr jadi semacam penterjemah kami juga. Sambil berbincang kami dihidangkan teh dan biskut. Menghampiri senja, kami meminta diri. Kami bertanya di mana tren terdekat ataupun teksi yang boleh kami naik di sekitar tempat situ. Chigr menawarkan diri untuk menemani kami. Kami mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan Young UNIW. Kemungkinan akan berjumpa lagi pada 30 Januari 2015 untuk International Youth Gathering ke-12 di Kuala Lumpur, Malaysia. Kami mengikuti Chigr. Rupa-rupanya stesen Edirnekapi yang kami turun tadi dekat sahaja dengan pejabat UNIW. Jadi, tak perlu naik teksi. Dari stesen itu kami naik bas ke Eminonu ditemani oleh Chigr. Di dalam bas kami menyambung perbincangan di samping beliau menunjuk kawasan sekitar Istanbul yang belum kami lawati. Kebetulan kami melalui Masjid Sultan Mehmet Al-Fatih. Salah satu destinasi kami esok hari.
7) Hostel Cemberlitas
Kami berpisah dengan Chigr di stesen Eminonu. Kami menaiki tramway ke stesen Cemberlitas. Sebenarnya kami hendak mencari hotel. Walaupun boleh sahaja balik ke madrasah Hayrat di Zeytinburnu, namun kami ingat lebih baik kami mencari tempat khas yang lebih peribadi untuk berehat. Malah rasanya sukar juga untuk mengambil bas pada waktu malam. Malang sekali, banyak bilik hotel di sekitar Cemberlitas sangat mahal. Kami akhirnya mengambil keputusan untuk menyewa hostel. Namun satu bilik dalam hostel itu ada 3 katil berkembar. Bermakna kami kena berkongsi juga. Satu lagi kebimbangan adalah oleh kerana Istanbul ini memang kebaratan sedikit, ada hostel yang membenarkan lelaki dan perempuan tidur satu bilik. Kami meminta supaya kami masuk dalam bilik hostel yang semua lelaki. Ada. Jadi kami bersetuju untuk menyewa bilik. Naik sahaja ke bilik, hanya ada seorang sahaja yang baru menyewa salah satu katil dalam bilik itu. Lega hati. Jadi ruang agak luas untuk kami berdua. Namun, ada kesukaran sikit sebab bilik air di luar dan satu tingkat itu bercampur bilik yang lelaki dan perempuan. Alhamdulillah kami dapat berehat dan mandi dengan aman kerana waktu itu tak ramai yang menyewa. Jadi suasana agak sunyi. Ataupun mungkin kebanyakan penyewa banyak yang keluar waktu malam. Kami pula terus tidur setelah seharian berjalan dengan beg sandang di belakang yang penuh dengan baju dan laptop.
Edirnekapi, pintu pertama yang ditembusi oleh Sultan Mehmet, tapi tak pasti di mana tempat sebenarnya
Bersama Chigr di pejabat UNIW
Jumpa lagi Hari Keempat!
.
No comments:
Post a Comment