Dalam 2 hari aku memulakan hidup baru dengan menikahi seorang perempuan. Ini adalah satu kehidupan yang akan berkekalan sepanjang hayat. Doakan aku. Sebab itu sebagai petanda perubahan, aku cuba update blog aku setiap minggu pada hari rabu. Topik yang aku tulis akan pelbagai, daripada ulasan buku, filem, perbandingan lagu, isu semasa dan perasaan sendiri. Sekiranya anda membaca blog aku, sila remind pada hari rabu setiap minggu. Blog aku ini akan aku jadikan permulaan langkah untuk aku menjadi penulis yang lebih serius.
Ada beberapa projek yang sedang aku usahakan. Antaranya adalah aku nak terbitkan e-book melalui Trans Horizon Media kompilasi ulasan filem dan buku. Ini kerana menurut Abang Yusni, untuk berjaya dalam industri e-book ini, kita kena bagi produk free untuk orang awam baca. Selepas dia dah suka tulisan kita, baru diorang sanggup bayar untuk beli e-book kita. Nasihat ini datang selepas e-book Periuk Nasi terbitan Oarong Idea kurang terjual. Ini expected sebab kami semua penulis masih baru. Abang Yusni yang dah terbitkan beberapa e-book pun masih lagi dalam peringkat menarik orang untuk beli material beliau. Walaupun begitu, selain daripada menulis, Abang Yusni banyak jadi penerbit sekarang. Selepas Periuk Nasi yang pertama berjaya dilancarkan Disember lepas, Oarong Idea sedang berkira-kira untuk menerbitkan Periuk Nasi 2.0 pula. Kami merancang untuk memanggil semula penulis lama disamping menambah penulis baru terutamanya daripada kalangan mereka yang masih belajar dan baru menjadi graduan. Penulis-penulis lama pula, semasa menulis tulisan untuk Periuk Nasi 1.0, kebanyakannya masih belajar. Sekarang mereka sudah bekerja, pasti ada perubahan pandangan.
Selain daripada Periuk Nasi, aku juga ada perancangan dengan Nazrin untuk membuat satu kompilasi tulisan anak-anak muda mengenai masa depan terutamanya pada tahun 2050. Mengapa tahun 2050? Ini diinspirasikan daripada propaganda kerajaa sendiri melalui agenda TN50. Daripada kita mengharapkan kerajaan memeta nasib kita, biarlah kita sendiri yang memetakan perjalanan dan destinasi kita. Untuk projek ini, sedang menunggu feedback Nazrin untuk mengumpul bakal-bakal penulis. Selepas siap kompilasi, kami ingat nak meminta Menteri Belia sendiri, Khairy Jamaluddin sebagai kata pengantar. Walaupun mengkritik beliau, tetapi kalau ada peluang guna nama dia untuk jual e-book pun bagus juga. Sewaktu nak terbitkan Periuk Nasi pun kami ada tanya abang Syed Munawwar untuk tulis kata pengantar, tetapi sebab lambat sangat siap menyebabkan kami rasa segan untuk follow up semula.
Perancangan seterusnya adalah untuk media terutamanya WAPTV.MY dan IDE TV. Aku dah buat kertas kerja cadangan. Antaranya adalah rancangan bual bicara Tumpuan Minggu Ini (TMI) dan POLITIKO, rancangan temuramah mengenai isu-isu politik dalam dan luar negara. Selain daripada itu, aku ada cadangkan program Wayang Rakyat (WARAK), sebuah program menonton filem dan kupasan selepas menonton. Kami melalui Oarong Idea dah buat program seumpanya iaitu Jagung Letup. Program yang sama tetapi branding yang berbeza. Jagung Letup yang pertama kami tonton filem The Breakfast Club. Yang kedua adalah Lawrence of Arabia. Yang ketiga pula kami buat di Anjung Rahmat, filem Malcolm X. Ini pun sebagai percubaan untuk tengok ada atau tidak bantahan menonton filem di Anjung Rahmat. Nasib baik tiada. Itu pun mungkin sebab filem Malcolm X yang dilihat lebih "Islamik". Anjung Rahmat juga akan dijadikan studio WAPTV.MY. Seperti perancangan di IDE, kami nak buat benda sama di Anjung, cuma perlukan masa untuk set-up program. Satu lagi walaupun dah ada kamera, tapi kami memerlukan orang untuk menyelaras rakaman terutamanya membuat facebook live. Dulu aku di ABIM semasa membuat ABIM Global Review, ada Aina, mudah sikit kerja.
Akhir sekali adalah aku nak siapkan cerpen thriller aku bertajuk Jatuhnya Stesen Sasakawa. Cerita ini dinspirasikan daripada filem Die Hard, cuma ianya berlaku di atas stesen angkasa lepas. Tujuan cerpen ini dibuat pun sebab Abang Yusni sedang mengumpul cerpen thriller untuk diterbitkan sebagai e-book. Percubaan menulis cerpen ini pada aku sangat mencabar kerana aku tak pernah habiskan tulisan fiksyen. Bagi aku, tulisan fiksyen sangat penting untuk mengasah kemahiran penulis. Sekiranya fiksyen itu hebat dan menginspirasikan, ianya dapat menggerakkan masyarakat dan negara.
No comments:
Post a Comment