Penulis adalah peminat siri televisyen dan filem Star Trek. Penulis mula tertarik dengan Star Trek sejak daripada sekolah rendah lagi di mana stesen TV3 waktu itu menayangkan siri The Next Generations, di mana kapal angkasa Enterprise waktu itu dikepalai oleh Kapten Jean-Luc Picard lakonan Patrick Stewart (kemudian terkenal dengan lakonan sebagai Professor X dalam siri filem X-Men). Penulis teringat lagi siri TV ini sangat berbeza dengan siri TV lain yang ditayangkan pada waktu itu. Penulis tak ingat hari apa siri ini ditayangkan namun biasanya pada malam hari biasa. Pada waktu itu, susah untuk penulis untuk menonton televisyen pada waktu malam hari sekolah. Biasanya kami akan dipaksa untuk membuat kerja sekolah. Namun apabila Star Trek ditayangkan, mama membenarkan untuk tonton. Mungkin kerana idea dan cerita yang ditayangkan dalam siri ini sesuai untuk mengembangkan imaginasi kanak-kanak.
Siri TV ini membantu penulis berminat dengan sains terutamanya sains fiksyen. Inilah sumbangan terbesar sains fiksyen kepada masyarakat iaitu memecah tembok imaginasi kanak-kanak. Walaupun sering kali sainsa fiksyen dianggap mengarut, namun banyak imaginasi dalam Star Trek akhirnya menjadi kenyataan. Contohnya telefon bimbit yang kita pegang sekarang. Dalam siri Star Trek sejak 1960-an lagi sudah ditunjukkan teknologi tersebut seperti "communicator.", yang menunjukkan karakter bercakap dengan alat kecil di tangan mereka. Hasil usaha peminat Star Trek yang menonton siri tersebut dan terpengaruh dengannya sejak kecil, akhirnya fantasi menjadi realiti. Ramai jurutera dan "innovator" datang daripada mereka yang minat sains fiksyen. Oleh itu jangan pandang rendah kesan filem dan televisyen terhadap kanak-kanak. Filem dan siri TV yang bagus boleh merubah masyarakat.
Berbalik kepada filem yang penulis mahu tulis mengenainya iaitu Star Trek Beyond. Filem ini adalah siri ketiga daripada siri Star Trek "reboot" yang dimulai sejak 2009. Siri filem ini memaparkan Kapten James Kirk sejak daripada sebelum menyertai Starfleet dan bagaimana beliau menjadi kapten Enterprise. Namun begitu siri ini berbeza dengan siri Star Trek awal yang dilakonkan oleh William Shatner dan Leonard Nimoy di mana mereka mengambil pendekatan menukar timeline di mana terdapat watak jahat yang telah mengembara masa dan akhinya mengubah sejarah. Oleh itu siri filem yang terbaru ini tidak perlu mengikut siri filem yang lama sepenuhnya. Itu yang berlaku pada tahun 2009. Untuk filem terbaru ini, Enterprise telah mengembara selama 3 tahun dan Kapten Kirk, lakonan Chris Pine nampak sudah keletihan dan mula mempersoalkan objektif usaha mereka. Namun apabila cuba melaksanakan sebuah misi penyelamatan di planet terpencil, mereka diserang secara tiba-tiba menyebabkan Enterprise terhempas dan krew kapap terpisah. Filem ini menceritakan mengenai bagaimana mereka bersatu kembali dan kemudian mengalahkan watak jahat yang cuba memusnahkan Starfleet.
Penulis telah menonton semua filem Star Trek. Bagi penulis filem Star Trek yang terbaru ini boleh dikategorikan sebagai antara 5 terbaik. Ianya juga lebih baik kalau dibandingkan Star Trek 2009 dan Into Darkness. Ada banyak sebab penulis menganggap begitu. Pertama watak Kapten Kirk yang dilakonkan oleh Chris Pine mencapai tahap kematangan. Sebelum ini kita lihat watak ini sangat semberono dan tidak berfikir panjang. Walaupun begitu ianya kena dengan watak Kapten Kirk sejak dulu yang terkenal dengan bertindak dahulu, berfikir kemudian. Sebab itu ada watak Spock yang menjadi pengimbang. Bezanya Chris Pine dengan William Shatner adalah kita dapat melihat perkembangan watak tersebut. Daripada anak muda di Akademi sehinggalah kini menjadi seorang kapten kapal yang lebih matang dan rasional.
Satu lagi perkara yang menarik mengenai filem ini adalah suasana di Yorktown, sebuah pusat pelabuhan Starfleet yang berbentuk sfera. Dari jauh ianya macam Death Star, namun ia sebenarnya kelihatan seperti bebola kaca yang lutsinar di mana kita dapat melihat suasana bandar dalamnya. Ianya satu perkara yang baru dalam siri Star Trek. Memang ini satu tujuan terpenting filem sains fiksyen, iaitu mencipta satu benda yang imaginatif. Inilah salah satu sebabnya mengapa dalam beberapa dekad ini filem sains fiksyen kurang popular kerana kebanyakan teknologi telah mencapai tahap tinggi dan masyarakat seperti sudah tidak menerima rekaan dan ciptaan yang tidak masuk akal. Namun dengan teknologi visual yang semakin canggih dalam filem, banyak benda-benda baru dapat dicipta dalam medium filem menyebabkan berlaku kebangkitan filem-filem sains fiksyen.
Penulis berharap pembikin filem Star Trek yang seterusnya akan lebih berani bereksperimen dengan kepelbagaian cerita apatah lagi sekarang berlaku pertembungan dengan filem-filem Star Wars yang baru. Memang walaupun Star Trek tidak akan mengutip tiket setinggi Star Wars, namun objektif mereka patutnya membikin filem yang mencabar minda manusia tetapi dalam masa yang sama menggunakan latar angkasa untuk mencipta aksi dan babak yang menarik untuk tontonan ramai.
No comments:
Post a Comment