Friday, March 20, 2015

Ulasan Filem Chappie : Pemanas Badan Sebelum Star Wars 7 vs The Avengers 2



Penulis seorang peminat filem sains fiksyen. Jadi, bila penulis tahu tentang filem Chappie, kisah mengenai robot yang macam budak-budak, pastilah penulis mahu menontonnya. Apatah lagi ianya adalah karya Neil Blomkamp, yang pernah mengarah filem District 9, sebuah filem sains fiksyen yang agak berbeza semasa ianya ditayangkan. 

Seperti mana filem District 9, filem ini mengambil Afrika Selatan sebagai  latar tempat. Perkara inilah yang membuatkan penulis kagum dengan Nail Blomkamp yang berani menggunakan tempat yang jarang digunakan sebagai latar untuk sesebuah filem. Kebiasaanya pembikin filem akan menggunakan bandar besar yang popular seperti New York, Los Angeles, London, Paris, Tokyo dan pelbagai lagi. Apatah lagi Johannesburg, salah satu bandar besar di Afrika Selatan, bukanlah sebuah bandar tumpuan pelancong dari seluruh dunia. Namun begitu, ianya sangat bersesuaian dengan tema filem. Kalau District 9 berkaitan dengan hubungan manusia-makhluk asing, refleksi kepada sejarah apartheid Afrika Selatan. Manakala dalam Chappie pula, bertemakan mengenai bagaimana manusia  melayan penjenayah dan kesan melampau penggunaan teknologi persenjataan yang canggih.

Penulis tidak pasti adakah bandar Johannesburg seteruk seperti yang digambarkan dalam filem. Mungkin tidak. Ianya hanyalah tambahan dramatik untuk menampakkan perlunya polis robot dalam filem ini. Chappie asalnya sebuah robot yang dibina semata-mata untuk melawan keganasan penjenayah yang semakin berleluasa di bandar Johannesburg. Apabila polis manusia sudah tidak mampu membendung jenayah. Ianya hampir sama dengan plot Robocop. Malah, penulis hampir pasti Neil Blomkamp pasti mendapat inspirasi daripada Robocop.

Namun, filem ini berbeza dari sudut pandang penceritaan. Kalau Robocop memfokuskan tentang masalah dalam polis, Chappie pula memberi ruang kepada penjenyah pula, bagaimana kalau penjenayah juga ada 'robot' mereka sendiri? Chappie menjadi berbeza daripada robot yang lain kerana dia menjadi bahan eksperimen pereka robot tersebut, Deon. Tanpa kebenaran CEO syarikat yang menghasilkan robot tersebut, Deon memuat turun aplikasi baru dalam Chappie. Aplikasi ini membuatkan robot hilang semua data yang sepatutnya ada dalam memori mereka, dan mereka akan belajar segala benda sejak dari mula, seperti bayi. Tetapi malangnya sewaktu Deon hendak mencuba eksperimen tersebut, dia diculik oleh sekumpulan penjenayah yang mahu mendapatkan rahsia polis robot daripada perekanya.

Penulis tidak pasti samada filem ini mahu menjadi komedi atau "thriller sci-fi" ala-ala Robocop yang banyak memaparkan babak-bakak 'horror'. Tetapi yang pastinya filem ini mendapat "rating" 18+. Ada waktu seolah-olah macam komedi, terutamanya apabila Chappie diajar perkara yang bukan-bukan oleh penjenayah. Chappie diajar cara bercakap, menembak dan berjalan seperti samseng. Saat itu seperti filem komedi. Oleh kerana Chappie ini memorinya kosong, ianya berkelakuan seperti budak-budak, naif dan percaya sehaja apa yang 'Mak' dan 'Ayah' nya mahu. Wallhal mereka mahu menggunakan Chappie untuk membuat aktiviti jenayah.

Tetapi filem ini banyak juga aksi tembak-menembak. Penuh dengan darah dan kata-kata kesat. Ditambah lagi dengan loghat Afrika Selatannya, kalau tiada sari kata di bawah mungkin sukar nak tangkap. Oleh sebab inilah penulis agak bingung untuk menilai filem ini. Ada waktu ianya sesuai menjadi filem keluarga, ada waktu ianya sesuai untuk orang dewasa sahaja. Pada pandangan penulis, oleh kerana nama Chappie itu sendiri sudah comel, maka sepatutnya fokus sahaja jalan penceritaan kepada Chappie dan 'keluarga palsu' nya. Kurangkan tema mengenai polis robot menentang penjenayah. Malah kadang-kadang plot sisi seperti Deon, pereka robot yang mahu mencipta robot yang lebih hebat daripada manusia, dirasakan tidak perlu. Apatah lagi ditambah dengan watak Hugh Jackman dan Sigourney Weaver, yang tidak kisahkan pun mengenai watak Chappie ini. Mereka hanya fikir tentang robot mana yang lebih sesuai untuk digunakan oleh polis. Yang boleh berfikir sendiri atau yang perlu dikawal oleh manusia.

Kalau penulis nak tonton filem mengenai robot yang lebih hebat daripada manusia, baik penulis tonton filem Terminator atau The Matrix. Sudah terbukti robot yang bijak bukan penyelesaian, malah perlu dikawal. Jadi motif Deon membuat aplikasi tersebut semacam tidak 'up to date' dengan perkembangan filem sains fiksyen sekarang. Apatah lagi, filem The Avengers 2 : Age of Ultron pun mungkin menggunakan tema yang sama.

Chappie berpotensi menjadi filem yang besar dan menarik dari sudut komedinya. Namun mungkin memang itulah hasrat pengarahnya, yang mahu menggabungkan humor dan 'action-thriller'. Memang Neil Blomkamp tidak fokus sangat tentang perkembangan watak, tetapi kepada tema robot, adakah ianya kawan atau musuh? Pengakhiran filem ini juga agak aneh, seolah-oleh filem "Transcendence", dimana memori manusia boleh dimuat turun ke dalam mesin, sama seperti Chappie yang boleh bertukar badan tetapi mengekalkan memori lama. Sekali lagi filem Chappie ini tidak fokus dan terlampau banyak tema yang cuba disumbatkan dalam durasi 2 jam. Yang pasti, tahun 2015 bukanlah tahun yang terbaik untuk memperkenalkan watak sains fiksyen baru kepada khalayak. Kemungkinan besar filem ini akan dilupakan. Kerana tahun ini adalah tahun pertembungan di antara The Avengers 2 dan Star Wars 7. Sementara filem tersebut keluar, penulis mungkin meluangkan masa menonton kembali semua filem Star Wars dan Marvel.

Thursday, March 12, 2015

Lagu Macam Sama (#2) Menunggu Karma (Nidji) vs Politik (Coldplay)

Post kali ini pula sekali terkait dengan Coldplay. Mungkin sebab penulis dengar banyak lagu Coldplay, termasuk yang kurang popular. Kali ini lagu dari artis Indonesia pula yang hampir sama. Cuba dengar dan buat perbandingan.


Menunggu Karma (2014) oleh Nidji

dan



Politik (2002) oleh Coldplay

Lagu Coldplay yang bunyinya hampir sama adalah Politik (ya, dengan K, bukan dengan C) daripada album mereka tahun 2002, A Rush of Blood to the Head. Manakala lagu Nidji, Menunggu Karma pula adalah OST dari filem Tenggelamnya kapal Van Der Wick. Lagu Politik bukanlah sangat lagu protes atau menyentuh tentang situasi politik waktu itu (walaupun kemarahan pada masa itu banyak tertumpu kepada penjajahan Amerika ke atas Afghanistan), tetapi lebih kepada menyuruh kita membuka mata dan cari dalam diri anda sendiri makna politik itu. Lagu Menunggu Karma juga tidaklah sampai karma itu kepada sang pembuat dosa, lebih kepada seorang lelaki yang menunggu cinta yang tidak hadir. (Lebih kurang novel dia, tetapi tak baca lagi, susah nak pastikan)

Bahagian dalam lagu yang hampir sama adalah sewaktu pengakhiran iaitu semasa bahagian instrumental piano. Dalam lagu Politik, temponya agak perlahan dibandingkan dengan Menunggu Karma. Lagu Menunggu Karma lebih rancak, tetapi penulis merasakan lagu ini tiba-tiba habis, seolah-olah ada sambungan selepas bahagian piano itu. Walaupun lagu Politik dianggap
 perlahan dibanding lagu lain di dalam album, tetapi ianya lagu pemula yang baik dalam album. Walaupun begitu, di dalam album tersebut, ada lagu lain yang lebih popular seperti Clocks, The Scientist dan In My Place (rasanya ada lagu Indonesia yang macam sama dengan lagu ini).

Jadi apa pendapat anda? Adakah telinga anda mendengar seperti penulis mendengar?

Sunday, March 8, 2015

Lagu Macam Sama (#1) Assalamualaikum (Faizal Tahir) vs Charlie Brown (Coldplay)

Untuk post kali ini agak berbeza sedikit kerana kita akan bercakap tentang muzik. Penulis suka mendengar muzik. Bukan sekadar fokus kepada lirik tetapi kepada lagu dan irama yang mengiringinya juga.

Penulis dengar pelbagai jenis genre muzik. Baik dari Malaysia/Indonesia atau dari UK/US. Hindustan pun boleh layan kalau iramanya menyentuh kalbu. Sebab tu kalau iramanya bagus, kita tak perlu faham pun bahasanya untuk menikmati muzik tersebut.

Untuk siri Lagu Macam Sama ini, penulis akan buat perbandingan antara 2 lagu yang macam sama. Kebiasannya penulis akan buat perbandingan antara lagu Malaysia/Indonesia dengan US/UK atau negara-negara lain. Bukanlah nak kata diorang meniru, tetapi mungkin ada beberapa bunyi
instrumen yang sama. Kadang-kadang boleh jadi sebab dipengaruhi kerana amat meminati artis tersebut. Boleh jadi juga memang mereka menggunakan beberapa elemen dalam lagu tersebut dan sudah pun dapat kebenaran dari artis asal.

Untuk siri pertama ini, penulis hendak membandingkan antara 2 lagu ini:-


Assalamualaikum (2014) oleh Faizal Tahir

dan


Charlie Brown (2011) oleh Coldplay

Lagu Assalamualaikum adalah single terbaru dari Faizal Tahir. Mungkin sebagai pemula untuk album baru beliau. Ianya berkenaan tentang rasa tidak puas hati dengan media yang memaparkan perkara buruk tentang agama Islam dan hendak menyampaikan kepada orang ramai bahawa Islam membawa keamanan dan lafaz Assalamualaikum itulah penyebarnya. Lagu yang baik dan sangat menceriakan. Muzik video dia pun macam lagu All These Things That Ive Done (UK Version) dari The Killers dimana banyak orang mengikut Faizal Tahir di jalanraya (walaupun ada yang memakai kostum Stormtroopers dan Spiderman, mungkin diorang masuk Islam kot).

Lagu yang macam sama dengan lagu Faizal Tahir ini adalah lagu Charlie Brown oleh Coldplay. Diambil dari album Mylo Xyloto. Keseluruhan album ini sebenarnya mengisahkan tentang kisah cinta Xylo dan Myloto (tak tahulah orang mana, Iceland kot). Jadi lagu ini adalah salah satu lagu mengenai kisah cinta mereka dan bagaimana mereka menjalani kehidupan di dunia post-apokaliptik yang diperintah oleh diktator bernama Major Minus (mungkin bekas guru matematik yang menang pilihanraya).

Bagaimana? Apa pendapat pembaca? Bergantung kepada telinga yang mendengar. Penulis merasakan bahagian salah satu instrumen gitar itu yang sama. Walaupun begitu ini bukan lagu Coldplay pertama yang artis Malaysia/Indonesia mempunyai lagu yang hampir sama. Nantikan post berikutnya.