Malcolm X adalah seorang tokoh aktivis hak asasi orang kulit hitam di Amerika Syarikat. Beliau juga adalah orang Islam Amerika yang paling terkenal dalam Dunia Islam. Beliau terlibat aktif dalam organisasi Nation of Islam dan menjadi penceramah terkenal menjelajah seluruh negara mengenai penindasan orang kulit putih terhadap orang kulit hitam di Amerika. Beliau dikenali sebagai seorang orator yang unik serta mampu menyampaikan ceramah yang membuatkan pendengarnya bersemangat. Walaupun beliau tidak pernah belajar di universiti, isi ceramahnya berjaya membuat pendengar berfikir dengan lebih mendalam tentang situasi hubungan kaum di Amerika.
Namun pada 21 Febuari 1965,
Malcolm X dibunuh di dalam sebuah dewan di New York semasa sedang berucap.
Beliau ditembak mati dengan senapang patah. Seorang suspek pembunuh ditangkap
diluar dewan. Manakala 2 orang lagi suspek ditangkap keeesokan harinya. Ketiga-tiga
suspek melalui perbicaraan dan akhirnya disabitkan kesalahan serta dihukum
penjara selama 20 tahun. Namun kira-kira 10 tahun kemudian, suspek yang
ditangkap di luar dewan, Talmadge Hayer membuat pengakuan bahawa 2 orang suspek
lain yang ditangkap sebenarnya tidak bersalah. Dia serta 4 orang lain yang
berkomplot membunuh Malcolm X. Maksudnya ada lagi 4 orang suspek pembunuh
Malcolm X yang sedang berleluasa. Dia berharap dua orang yang tidak bersalah
itu dilepaskan segera. Kes ini cuba dibuka semula oleh peguambela namun ditolak
oleh mahkamah.
Siri dokumentari Who Killed
Malcolm X yang sedang ditayangkan di Netflix adalah hasil siasatan seorang
wartawan bernama Abdul-Rahman Muhamad. Beliau telah mengikuti kes pembunuhan
Malcolm X begitu lama dan kecewa kenapa kerajaan Amerika Syarikat tidak serius
membuat siasatan. Beliau telah mengkaji rekod pihak polis New York sejak tahun
1965 dan berpendapat bahawa mereka telah melakukan siasatan sambil lewa. Malah
pihak polis New York tidak memberi perlindungan yang secukupnya kepada Malcolm
X walaupun mereka tahu Malcolm X menerima ancaman bunuh. Abdul-Rahman Muhamad
juga berjaya mengkaji fail kes FBI dan mendapati mereka mempunyai rekod yang
cukup untuk membuat siasatan lanjut mengenai siapa sebenarnya pembunuh Malcolm
X. Namun FBI tidak meneruskan siasatan dan cepat sahaja menutup kes tersebut.
Namun konspirator pembunuh
Malcolm X yang paling utama adalah Nation of Islam yang diketuai oleh Elijah
Muhamad. Elijah adalah guru spiritual kepada Malcolm X dan orang yang sama menarik
beliau masuk Islam. Namun akibat perbezaan pendekatan dan fitnah orang
sekeliling, menyebabkan hubungan Elijah Muhamad dan Malcom X menjadi retak. 3
orang suspek pembunuh termasuk Talmadge Hayer adalah ahli Nation of Islam.
Namun kepimpinan Nation of Islam menafikan organisasi mereka terlibat dengan
pembunuhan Malcolm X. Kenyataan rasmi mereka menggambarkan Malcolm X telah
dibunuh oleh mereka yang tidak berpuas hati dengan sikap dan ucapan Malcolm X
yang penuh kebencian.
Dokumentari 6 episod ini amat
unik kerana berjaya menemuramah ramai pengikut Nation of Islam yang mengenali
Malcolm X sejak tahun 1950-an. Disitu dapat dilihat hubungan kompleks antara
Malcolm X dan Nation of Islam. Bagi mereka Malcolm X tidak mengenang budi
dengan jasa Elijah Muhamad. Namun ada yang berpendapat bahawa peranan Malcolm X
yang membuat Nation of Islam menjadi sebuah organisasi nasional yang popular.
Dokumentari juga cuba menyiasat mengapa ramai yang tidak kisah tentang siapa
yang membunuh Malcolm X, walaupun ramai orang Amerika terutamanya orang kulit
hitam menjadikan Malcolm X sebagai idola. Bagi Abdul-Rahman Muhamad, ianya satu
ketidakadilan walaupun banyak bukti telah dijumpai bahawa suspek yang
dipenjarakan tidak bersalah.Kita sebagai umat Islam di Malaysia juga boleh
menonton dokumentari ini dan memahami peranan Nation of Islam dalam menyebarkan
islam kepada kalangan orang kulit hitam.