Wednesday, January 27, 2016

Ulasan Filem Mat Moto : Membersihkan Imej Mamat Suka Motor


Saya pergi menonton filem Mat Moto dengan Hafiz Razali. Alhamdulillah dia belanja tiket dan popcorn menggunakan hadiah harijadinya kerana mendaftar sebagai ahli TGV Movies Club. Pada mulanya saya fikir filem ini hanyalah filem standard tentang rempit orang Melayu. Tak sangka pula filem ini mengutip kutipan tiket yang tinggi sehingga mencecah RM 1 juta, di mana ianya dianggap sebagai "sleeper hit" kerana tiada siapa yang menjangkakannya. Kemudian ianya diarahkan oleh Pekin Ibrahim dan Syafiq Yusof. 

Filem ini secara kasarnya seolah-olah seperti dokumentari tambah "road movie." Walaupun terdapat kisah dalam setiap karakter namun ianya hanya diterangkan di akhir filem. Kebanyakan filem ini pergi dari satu tempat ke tempat lain menunjukkan budaya mat moto. Motivasi karakter utama iaitu Pekin Ibrahim, seperti Goku yang mengumpul Dragon Ball pergi ke beberapa negeri dari Terengganu, Kelantan, Pulau Pinang dan Melaka untuk mengumpul topi keledar. Kenapa? Sebab ianya adalah hasrat kawannya sebelum dia meninggal. Pekin ditemani oleh watak perempuan yang rupanya seperti Dora the Explorer yang sudah dewasa. Topi keledar yang dikumpulnya bukan calang-calang, kerana ianya berharga ribuan ringgit setiap satu. 

Antara gimik filem ini ialah orang yang menjual topi keledar tersebut adalah pelakon yang pernah memainkan watak mat rempit dalam filem-filem Melayu yang terdahulu seperti Faizal Hussein dan Shaheizy Sam. Mereka ditunjukkan sebagai sudah bertaubat dan sekarang hanya memfokuskan kepada bermain motor untuk bersuka ria, bukan untuk berlumba dan berjudi. Namun yang kecewanya sepatutnya filem ini tidak menunjukkan dahulu nama pelakon-pelakon tersebut semasa awal filem supaya ianya menjadi kejutan kepada penonton. 

Saya tak pasti mengapa filem ini mendapat perhatian. Adakah mat moto sendiri yang datang ke panggung wayang menyokong filem ini? Mungkin betul kerana budaya mat moto ini memang seringkali disalah anggap dengan mat rempit. Filem ini dalam beberapa hal seperti dokumentari menerangkan tentang siapa mat moto dan apakah minat mereka. Di sini masyarakat perlu faham memang wujud kumpulan yang gilakan bidang permotoran, baik kereta atau motosikal. Mungkin ada yang menganggap mereka ini membazir namun ada daripada mereka yang menjadikannya sumber rezeki dan lebih penting ianya satu identiti mereka. Kalau kita boleh terima kumpulan yang sukakan buku atau yang sukakan sukan tertentu, di mana mereka sanggup berbelanja banyak untuk membeli buku atau berlatih sesuatu sukan, mengapa tidak mat moto?

Saya teringat semasa membaca buku Seth Godin bertajuk Tribes di mana ianya tentang kepentingan mencari mereka yang mempunyai minat yang sama. Anda mungkin lahir sebagai Melayu dan Islam, namun tidak semestinya anda mempunyai minat yang sama. Apatah lagi perpecahan yang besar dalam kalangan umat Islam, tidak hairanlah ada daripada kalangan mereka membentuk kumpulan kecil mengikut minat masing-masing. Kita juga perlu menerima realiti bahawa manusia bergerak daripada melihat identiti mereka berdasarkan kepada kaum atau negara semata-mata kepada berdasarkan minat atau kemahiran. Dan antara sub-budaya yang paling besar adalah dalam bidang permotoran. Begitu juga dalam konteks kemahiran. Mereka yang mahir dalam bidang "programming" biasanya mempunyai "tribes" mereka sendiri merentas kaum dan agama. Dan mereka juga salah satu komuniti terbesar di Silicon Valley. Malah sekiranya anda terlibat dalam sesuatu industri, adalah lebih baik untuk tinggal atau mempunyai pejabat berdekatan tempat yang mempunyai ramai orang yang terlibat dalam industri tersebut. Contohnya industri wain yang banyak tertumpu di California Utara. Bermula daripada peladang, pengilang sehingga jurujual, kebanyakannya bertempat di situ. Formula yang sama juga digunakan oleh Hollywood dalam bidang perfileman.

Berbalik kepada soal filem Mat Moto ini, apa yang ironinya adalah penerbit filem ini adalah Skop Production kepunyaan Yusof Haslam yang banyak menerbitkan filem mengenai mat rempit. Hakikatnya merekalah yang banyak memaparkan budaya negatif mat moto ini. Adakah filem ini semacam satu pernyataan maaf kepada mat moto? Tak pasti pula. Apapun filem ini mungkin kurang menarik sekiranya anda mahukan banyak aksi perlumbaan, namun sekiranya anda adalah salah seorang daripada mat moto yang sering disalah fahami, pasti anda berasa bangga dengan kewujudan filem ini.


Thursday, January 21, 2016

Lagu Macam Sama (#3) Obses (Akim & The Majistret) vs Hysteria (Muse)

Sempena demam AJL ke - 30 yang bakal menjelang, mari kita sambung siri Lagu Macam Sama pula. Penulis terperasan sebuah lagu daripada band Malaysia, Akim & The Masjistret bertajuk Obses macam pernah dengar. Cuba anda dengar.


Bagaimana? Ada perasan macam lagu siapa? Kalau anda minat kepada band Muse terutamanya lagu-lagu mereka pada awal tahun 2000an. Tentu anda perasan muzik yang lebih kurang sama dengan lagu Muse bertajuk Hysteria. Cuba anda bandingkan.


Bagaimana? Adakah anda setuju dengan pendapat penulis? Malah komen di Youtube juga semacam bersetuju bahawa lagu Obses ini sangat dipengaruhi oleh Muse. Penulis melihat bahawa Akim & The Majistret antara kumpulan yang lebih kepada "band-centric," terutamanya dalam suasana muzik yang kurang genre rock yang popular. Dari sudut lirik pun semacam ada persamaan. Namun Akim lebih merujuk kepada obsesnya kepada seseorang namun Muse tidak pasti pula histeria kan apa. 

Lagu Akim ini baru sahaja dikeluarkan tahun lepasa manakalah lagu Muses adalah daripada album mereka Absolution pada tahun 2003. Penulis teringat lagi dengan lagu-lagu Muse yang popular sewaktu penulis bersekolah menengah, merekalah antara kumpulan hard rock yang paling popular pada waktu itu. Sekiranya Akim dan ahli bandnya lebih kurang umur penulis, pastilah mereka sangat terpengaruh. Namun lagu ini hampir sama, tak tahulah samada label Muse perasan ataupun tidak. Apapun Akim tercalon ke AJL 30 dengan lagu Potret dan ini sudah beberapa tahun beliau tercalon ke peringkat akhir. Beliau antara kumpulan rock yang berjaya masuk di samping Bunkface dan Faizal Tahir.

Wednesday, January 20, 2016

Ulasan Filem Bajirao Mastani : Epik Cinta Dalam Waktu Konflik


Dalam akhir tahun 2015, sebuah filem Bollywood yang bertajuk Bajirao Mastani ditayangkan di pawagam Malaysia. Filem ini bertemakan cinta dan berlatar belakangkan India semasa abad ke – 18. Watak utama dalam filem ini adalah Bajirao, seorang Perdana Menteri dalam Empayar Maratha, isterinya Kashibai dan isteri kedua yang juga orang Islam, Mastani. Filem ini bermula dengan perlantikan Bajirao sebagai Perdana Menteri dan berjanji akan menawan Delhi daripada kerajaan Mughal. Kemudian mereka memperluaskan kuasa Maratha dengan menawan kawasan-kawasan berhampiran sehinggalah mereka diminta bantuan daripada Bundelkhand yang sedang dikepung oleh puteri Raja sendiri Mastani. Mula-mula Bajirao tidak mahu kerana mengganggu kempen perangnya, namun setelah melihat kecekalan Mastani, Bajirao akhirnya bersetuju untuk membebaskan Bundelkhand. Setelah berjaya, kota tersebut membuat perayaan besar-besaran untuk Bajirao dan Bajirao juga telah jatuh hati dengan Mastani. Bajirao menghadiahkan Mastani sebuah pedang kecil, dan bagi budaya Bundelkhand, ianya dianggap sebagai satu perminangan untuk berkahwin. Mastani menerimanya tetapi malangnya Bajirao sudah pun berkahwin dan lebih merumitkan Bajirao adalah Hindu manakala Mastani adalah orang Islam.

Inilah dia permulaan konflik filem ini apabila Mastani tiba ke ibu kota Maratha untuk bersama Bajirao, tetapi tidak diterima oleh ibu Bajirao kerana mengganggap tiada poligami dalam budaya dan agama mereka. Malah sami Hindu pun berasa marah dengan Bajirao kerana melakukan dosa apabila berkahwin tanpa ritual Hindu dan isteri keduanya pula adalah orang Islam. Bajirao juga dipinggirkan oleh keluarga dan rakan kerana percintaannya dengan Mastani. Isterinya yang pertama, Kashibai juga sangat sedih dengan tindakan suaminya itu. Kerana terlampau risaukan Mastani, Bajirao yang bersungguh mahu menawan Delhi juga menangguhkan hasratnya kerana takutkan akan ada cubaan membunuh Mastani. Filem berakhir dengan Bajirao dan Mastani meninggal dunia dan meninggalkan seorang anak.

Menonton filem ini pada mulanya merasakan akan menonton filem epik perang terutamanya antara Empayar Maratha dan Mughal. Namun apabila plot filem di ibu kota Maratha, ianya menjadi filem cinta dan konflik keluarga. Jadi sekiranya anda mahukan filem perang, filem ini mungkin bukan pilihan. Namun begitu, filem ini bersungguh-sungguh dalam memaparkan perwatakan dan persekitaran pada abad ke – 18. Tidak pasti adakah mereka membina set baru atau menggunakan binaan sebenar seperti yang dilihat semasa di Bundelkhand dan kediaman Bajirao di Pune. Babak perangnya walaupun sebentar sahaja tetapi tidaklah mengecewakan. Babak tersebut sangat penting kerana di situlah Bajirao terhutang budi kepada Mastani apabila menyelamatkannya daripada Mastani.

Penonton juga perlulah diingatkan filem ini bukanlah betul-betul mengikutkan fakta sejarah yang sebenar. Seawal filem ini lagi sudah ada pengumuman bahawa ada beberapa plot yang ditambah dan mereka juga tidak berhasrat untuk mengguris hati mana-mana pihak. Walaupun filem ini hanyalah untuk 18 tahun ke atas, namun masih terdapat beberapa babak yang dipotong. Penulis merasakan bahawa babak yang dipotong adalah mengenai permusuhan antara Islam dan Hindu. Penulis berasa kecewa mengapa babak-babak tersebut dipotong kerana penulis memikirkan bahawa filem ini hanya akan ditonton oleh orang dewasa yang faham situasi sejarah pada waktu itu. Pemotongan semacam itu dirasakan mengganggu filem epik sejarah seperti ini. Kalau begitu, sukar rakyat Malaysia belajar sesuatu yang penting daripada sejarah, samada yang baik ataupun buruk. Perlulah diingat bahawa sehingga sekarang, masih berlaku permusuhan antara penganut Hindu dan Islam di beberapa tempat di India. Dengan memahami konteks sejarah, kita dapat menghargai mengapa kisah percintaan antara Bajirao dan Mastani ini sangat penting dalam naratif sejarah India.

Oleh kerana itu, penulis mungkin memahami mengapa filem ini memfokuskan kisah cinta antara dua watak utama tersebut. Ini kerana walaupun sejarah India dipenuhi dengan perang antara kota, tamadun dan agama, namun watak-watak dalam sejarah bukan semua begitu. Kisah ini sebenarnya diinspirasi daripada tulisan Mastani sendiri. Oleh itu, tidak semua kisah-kisah sejarah yang ditulis oleh orang istana dapat menggambarkan keseluruhan masyarakat pada waktu itu. Kita sendiri sebagai watak dalam kehidupan masa kini juga sangat penting menulis kisah hidup kita sendiri dan pemerhatian kita terhadap masyarakat sekitar dan suasana negara. Pada masa hadapan, pengkaji sejarah bukan sekadar akan melihat rekod rasmi kerajaan, namun akan membaca bagaimana perasaan dan interaksi antara watak-watak dalam sejarah.

Tuesday, January 5, 2016

Ulasan Filem Jagat : Lingkaran Ganas Kehidupan


Untuk tahun 2016 penulis membuat azam baru iaitu menonton filem tempatan sebanyak mungkin. Ini menggantikan "kafarah" langsung tak tengok filem tempatan tahun lepas. Penulis juga memikirkan mahu menonton filem-filem dari negara lain seperti Bollywood dan Cina daripada menonton filem Hollywood kerana penulis berfikir bahawa Hollywood telah kehilangan idea (contoh filem Star Wars yang baru hanyalah "recycle" filem terdahulu). Selain itu tak banyak filem Hollywood yang bagus masuk panggung di Malaysia, kalau anda hendak tengok pun sama ada tunggu ditayangkan di Astro ataupun "download" secara haram. Sebab itulah penulis baru sahaja menonton filem Birdman, filem yang memenangi anugerah filem terbaik Oscars Disember lalu. Sebab itulah ada beberapa segmen masyarakat terutamanya orang Islam yang menolak menonton wayang, kerana filem yang sampai di Malaysia bukanlah filem yang bagus, malah sesetengahnya "offensive." Hanya apabila Astro menayangkan filem yang bagus terutamaya di HBO atau dengan "download" (secara haram), barulah orang Islam terbuka mindanya dengan filem-filem yang bagus. Satu lagi penulis juga kecewa kerana kurang filem Indonesia ditayangkan di Malaysia. Kali terakhir penulis menonton filem Sukarno di KLCC, itupun ramai penonton daripada kalangan orang Indonesia. Syarikat "film distributor" dan pemilik panggung wayang di Malaysia perlu diyakinkan bahawa filem Indonesia punya tarikan di sini dan perlu diperbanyakkan tayangannya daripada terlalu fokuskan kepada filem Hollywood yang kebanyakannya tak laku pun di Amerika sendiri.

Baik, berbalik kepada filem Jagat yang penulis hendak ulas. Filem ini adalah filem tempatan berbahasa Tamil. Latar belakang filem ini adalah di kawasan pekan di Hulu Perak pada awal tahun 1990an. Penulis faham mengapa filem ini memilih suasana masyarakat di pinggiran, dengan menunjukkan kehidupan orang India yang semacam terpisah dengan majoriti orang India di Malaysia, namun penulis tak pasti mengapa latar tahun 1990an dipilih. Penulis pasti bahawa watak yang ditunjukkan masih lagi wujud sehingga sekarang, ianya bukanlah sekadar satu sejarah tetapi masih lagi realiti. Namun mungkin pengarah filem sengaja hendak membuang mana-mana babak mengenai teknologi baru dan hanya memfokuskan tentang interaksi watak-watak ini dalam zaman pra-internet. Boleh juga filem ini diinspirasikan daripada kisah benar namun tidak spesifik kepada mana-mana individu.

Watak utama filem ini adalah Apoi dan pakciknya, Mexico (mungkin sekali "nickname"). Kita ditunjukkan dengan watak Apoi yang mempunyai bakat seni di sekolah tetapi gurunya hanya menyuruhnya fokus kepada subjek yang akan diuji semasa UPSR. Apoi juga sering dimarah oleh ayahnya kerana kurang cemerlang dalam akademiknya. Menarik melihat watak Apoi ini adalah walaupun sering dimarah tetapi masih lagi optimis dalam kehidupannya. Apoi malah pernah bertanya kepada pakciknya, kenapa tidak boleh belajar dengan menonton televisyen sahaja? Kerana pada awal filem kita melihat Apoi menonton filem aksi Tamil. Mungkin inilah sebabnya filem ini memilih latar belakang 1990an, kerana pada masa itu adalah kemuncak zaman industri Malaysia dan cemerlang dalam peperiksaan adalah segala-galanya dan mana-mana kaedah baru dalam pedagogi pembelajaran akan ditolak. Berbeza zaman sekarang di mana rakyat Malaysia dalam proses mempelajari kaedah pendidikan terbaik untuk kanak-kanak, dan meningkatnya populariti pendidikan swasta dan alternatif.

Watak pakciknya pula bermula dengan melihat beliau tidak bekerja namun akhirnya terjebak dalam dunia gengster. Walaupun kawan-kawan gengsternya adalah orang India namun ketua mereka adalah orang Cina. Satu babak menarik adalah di mana mereka menyembah Tuhan Cina dan berbai'ah dengan darah sebagai tanda "brotherhood." Walaupun begitu gengster mereka tidaklah sampai berbunuhan dan Mexico pun masih lagi ada kebaikan kerana menolak tawaran mengedar dadah. Sekurang-kurangnya mereka ada "limitation." Mexico juga adalah gengster yang berani di mana mencabar sesiapa yang tidak puas hati supaya melawan satu lawan satu dan jangan melibatkan kawan-kawan lain. Namun Mexico hampir masuk penjara kerana dituduh membunuh dan peristiwa tersebut betul-betul memberi kesan kepada cara beliau menjalani kehidupan.

Filem ini lebih kepada "character studies" dan bukanlah sangat bergantung kepada plot. Filem ini patut dipuji terutamanya dengan sinematografi, lakonan mantap dan berkesan serta runut bunyi yang moden tetapi dalam masa yang sama terdapat elemen tradisional India. Filem ini boleh sahaja menjadi drama Tamil TV2 sempena Hari Deepavali, tetapi mereka bijak dalam memanfaatkan kelebihan filem. Antara pelakon yang menyerlah dalam filem ini adalah ayah kepada Apoi, kerana wataknya bukanlah stereotaip ayah yang pemarah, tetapi beliau juga mempunyai pandangan kritikal kepada situasi kehidupan masyarakat India pada masa itu yang terpinggir, dan pentingnya pendidikan sebagai jalan keluar. Sebab itulah beliau sangat marah kepada anaknya yang tak serius dalam belajar. Filem ini dikategorikan sebagai 18 tahun ke atas. Mungkin kerana babak minum arak yang sangat banyak. Filem ini memaparkan 2 streotaip masyarakat India iaitu gengsterisme dan alkoholisme. Walaupu begitu penonton filem mungkin tak pasti adakah watak-watak ini berjaya keluar dalam lingkaran ganas kehidupan mereka. Babak terakhir filem ini adalah Mexico menghulurkan sebatang rokok kepada anak saudaranya, Apoi. Sama seperti poster filem ini yang kontroversial iaitu Apoi memegang rokok. Dan akhirnya berakhir dengan "wide shot" tempat pembuangan sampah


Friday, January 1, 2016

10 Filem Terbaik Yang Saya Tonton Tahun 2015

Tahun 2015 melabuhkan tirainya. Musim anugerah filem semakin menghampiri. Oleh itu penulis memikirkan apakah filem yang penulis tonton sepanjang tahun 2015 yang terbaik? Senarai ini hanya terhad kepada apa yang penulis tonton di pawagam, dan kebanyakannya adalah filem Hollywood. Tidak tahulah kenapa penulis kurang menonton filem Malaysia. Bukanlah sebab prejudis dengan filem tempatan. Penulis juga memilih apa yang penulis fikirkan terbaik, walaupun begitu penulis sedar ada lebih banyak filem yang lebih baik yang penulis tidak berkesempatan untuk menontonnya sepanjang tahun ini. Ada juga filem yang penulis suka tetapi pengkritik filem professional tidak suka. Sekali lagi itu bergantung kepada "taste" masing-masing.

10. The Good Dinosaur (Peter Sohn)
Ini satu contoh filem yang ramai berbeza pendapat. Ramai yang memuji tentang kecantikan CGI-nya. Namun ramai pula yang mengkritik tentang karakternya yang aneh dan plot filemnya yang biasa. Ada yang sampai mengatakan bahawa inilah pengakhiran Pixar. Namun bagi penulis, filem ini tetap menarik untuk ditonton terutamanya pengembaraan watak utama dinosaur hijau dan kanak-kanak purba mencari semula jalan pulang. 

9. Star Wars : The Force Awakens (J.J. Abrams)
Filem ini telah mengumpul 1.3 Billion USD untuk kutipan tiket. Ianya adalah filem yang mengutip jumlah jualan tiket tertinggi untuk tahun 2015 dan antara yang tertinggi dalam sejarah filem. Namun bagi penulis ianya terdapat beberapa kekurangan yang ketara terutamanya kerana hanya mengitar semula plot daripada filemnya yang pertama, Episode 4 : A New Hope. Namun begitu ianya bagus dalam memperkenalkan watak dan konflik yang baru. Ini mungkin kerana tekanan kepada penerbit filem yang mahu memuaskan hati peminat lama tetapi dalam masa yang menarik peminat yang baru. Filem ini dilihat sebagai persiapan untuk sekuelnya, yang diharapkan lebih bagus. Penulis sendiri bimbang kalau Star Wars yang baru ini hanya mengulang nostalgia, mungkin sukar untuk mereka menarik minat orang ramai semula.

8. Chappie (Neil Blomkamp)
Dalam ulasan filem Chappie dalam blog ini awal tahun, penulis menyebut filem ini menarik namun terpaksa bersaing dengan Avengers 2 : Age of Ultron dan Star Wars : The Force Awakens sebagai filem sains fiksyen yang diingati dalam tahun 2015. Namun tidak disangka bagi penulis, Chappie yang lebih menarik daripada kedua-dua filem tersebut. Filem Avengers langsung tiada dalam senarai kerana perkembangan cerita tidak konsisten dan Star Wars pun berada di bawah Chappie. Bagi penulis, Chappie lebih bertepatan dengan semangat sains fiksyen dan pengarahnya Neil Blomkamp sepatutnya diberi lebih penghargaan kerana keberaniannya bereksperimen.

7. Jurassic World (Colin Trevorrow)
Filem ini juga adalah sebuah filem nostalgia, sama seperti Star Wars : The Force Awakens. Namun Jurassic World melakukan perkara baru iaitu menunjukkan kepada kita apa yang berlaku apabila Taman tersebut betul-betul dibuka. Ini berbeza dengan Jurassic Park yang hanya melibatkan beberapa orang kerana sedang dalam percubaan. Kaedah mereka menunjukkan nostalgia lebih bagus dan organik, bertepatan dengan cerita. Kita juga dapat melihat bagaimanakah semua pertunjukan dinosaur berlaku, terutamanya dinosaur buaya. Dan filem ini juga menunjukkan pertarungan antara 2 dinosaur yang sangat epik. Oleh itu ianya patut diberi pujian.

6. Kingsman : The Secret Service (Matthew Vaughn)
Juga filem nostalgia dan juga semacam parodi kepada filem James Bond. Ironinya, penulis sendiri tidak memasukkan filem James Bond yang ditayangkan pada tahun 2015 iaitu Spectre. Ini kerana bagi penulis mereka tidak menggunakan watak penjahat dalam filem itu dengan bagus, Malah organisasi Spectre itu juga tidaklah terlalu menakutkan. Berbeza dengan Kingsman, ianya adalah semacam filem "origin" kepada watak penyiasat seperti James Bond, sewaktu mereka masih muda remaja. Filem ini juga mempunyai plot jahat yang bersifat global dan sangat melampau, namun bertepatan dengan tema filem. Dan seperti biasa, Samuel L. Jackson memang pandai dalam melakonkan watak penjahat, lebih baik daripada mana-mana penjahat dalam filem James Bond sebenar.

5. Bridge of Spies (Steven Spielberg)
Seperti perang dingin, tiada peperangan yang ditunjukkan dalam filem ini. Malah aspek-aspek penyiasatan juga tidak ada. Filem ini lebih berfokuskan tentang perundingan. Dan menunjukkan bahawa dalam waktu konflik sekalipun namun sekiranya menghantar perunding yang tepat, perang dapat dielakkan. Seperti ulasan penulis dalam blog, dalam dunia yang semakin kacau dalam pelbagai keganasan dan ambang perang, Steven Spielberg mahu menunjukkan perundingan dalam keadaan aman masih lagi cara terbaik.

4. The Martian (Ridley Scott)
Filem ini adalah yang terbaik dalam genre sains fiksyen untuk beberapa tahun ini. Ianya banyak menunjukkan elemen saintifik yang mungkin masih belum dicapai, tetapi berkemungkinan terjadi dalam beberapa dekad akan datang, mungkin semasa penulis masih hidup. Ianya sangat optimistik dan juga selari dengan penemuan tanda-tanda wujudnya air di Planet Marikh. Filem yang akan mempengaruhi ramai kanak-kanak menjadi angkasawan.


3. Ip Man 3 (Wilson Yip)
Sekuel terbaru dalam siri filem Ip Man, dan juga berkemungkinan filem terakhir Donnie Yen dalam genre kungfu kerana beliau sudah berumur 51 tahun. Namun sekiranya anda sudah menonton filem ini, pastinya anda tidak perasan yang Ip Man sudah tua. Babak-babak perlawan sangat bagus dan mencemaskan. Motivasi karakter pun berkesan terutamanya dalam latar masa Hong Kong di bawah pentadbiran British dan semangat nasionalisme Cina. Ketiga-tiga filem Ip Man sebenarnya wajib ditonton dan menjadi kajian tentang sentimen orang Cina dalam menghadapi kolonialisme, dan kepentingan kungfu dalam mempertahankan identiti mereka.


2. The Walk (Robert Zemeckis)
Penulis menonton filem ini di panggung 3D. Ternyata tidak mengecewakan. Mungkin salah satu filem terbaik yang memanfaatkan teknologi 3D. Walaupun babak yang paling ditunggu adalah sewaktu watak utama akhirnya berjaya melintasi bangunan berkembar WTC di New York, namun jalan penceritaannya masih menarik terutamanya perkembangan karakter dalam menjelaskan mengapa beliau mahu melintasi bangunan tersebut hanya dengan menggunakan wayar besi. Yang lebih impresif, filem ini diinspirasi daripada kisah benar. Dan filem ini juga menghormati latar belakang WTC yang musnah semasa peristiwa 11 September.


1. Inside Out (Pete Docter, Ronnie del Carmen)
Diiktiraf antara filem Pixar terbaik. Filem ini mampu difahami dan dirasai oleh penonton pelbagai generasi. Ianya mengenai apa yang berlaku dalam kepala seorang remaja perempuan yang mengalami konflik apabila keluarganya berpindah dan tidak mampu menyesuaikan diri di tempat baru. Emosi yang digambarkan adalah Joy (Gembira), Sadness (Sedih), Anger (Marah), Disgust (Jijik) dan Fear (Takut). Filem ini juga berjaya memudahkan gambaran apakah sebenarnya yang berlaku dalam otak kita terutamanya bagaimana memori kita disimpan atau dilupakan. Selain itu, filem ini juga mampu menunjukkan bahawa emosi sedih bukanlah sesuatu yang buruk dan semakin kita dewasa, emosi kita semakin berkembang dan kompleks. Filem ini sangat bagus untuk ditonton oleh seluruh keluarga.