Monday, October 13, 2014

Hidup Bung Karno!! : Ulasan Filem Soekarno


Sebuah filem sejarah memang sukar untuk dibuat. Ia kena mencari keseimbangan antara fakta sebenar dan tambahan dramatik. Kalau sebuah filem sejarah itu terlampau padat dengan fakta dan semua watak dalam sejarah itu hendak dipaparkan, lebih baik anda buat dokumentari. Namun sekiranya sangat longgar dan terlampau banyak tokok tambah, maka ianya akan menyinggung ramai pihak kerana yang dipaparkan adalah orang sebenar, malah mungkin ada orang yang masih hidup yang boleh menceritakan tentang perkara sebenar yang berlaku.

Namun manusia adalah makhluk pelupa. Sejauh mana ingatan seseorang manusia itu boleh diharapkan? Sebab itu sejarah perlu ditulis. Ada yang menulis dari sudut akademik, menilai sesuatu peristiwa atau tindakan orang yang terlibat dan sejauh mana tindakan mereka memberi kesan kepada sejarah sesebuah organisasi atau negara. Ada pula yang menulis autobiografi, hasil dari pengalaman mereka berinteraksi dengan orang di sekeliling sewaktu peristiwa tersebut berlaku. Walaupun begitu biasanya autobiografi sangat emosional dan bias pada pandangan penulis semata-mata. Tetapi itulah sejarah, satu peristiwa mungkin ada beberapa intrepetasi bergantung kepada orang yang menulis. Dari situ lahir kata-kata "Sejarah ditulis oleh orang yang menang."

Sejarah kelahiran negara Indonesia memang sebuah peristiwa yang berwarna-warni. Ada pelbagai tokoh, pergerakan dan ideologi dalam proses membentuk negara Indonesia. Mahupun begitu majoriti setuju peranan seorang tokoh yang akhirnya menjadi Presiden Republik Indonesia yang pertama iaitu Soekarno atau lebih mesra dipanggil rakyatnya sebagai Bung Karno. Proklasmasi kemerdekaan yang diucapkan beliau pada tanggal 17 Ogos tahun 1945 menjadi titik awal kemerdekaan Indonesia dari cengkaman penjajah Belanda dan Jepun.

Filem ini tepat bila menggunakan Soekarno sebagai watak penting dalam perjuangan kemerdekaan Indonesia. Walaupun memang tak patut sekiranya kita anggap bahawa hanya Soekarno yang memperjuangkan kemerdekaan, ada pula yang bertanya bagaimana dengan tokoh lain? Disini ditunjukkan pula rakan-rakan sepejuangan Soekarno seperti Hatta, Subardjo, Sjahrir dan lain-lain. Seperti yang disebut pada awal tadi, ini perjuangan kemerdekaan Indonesia dari sudut pandang Soekarno.

Tidak dinafikan kisah-kisah cinta Soekarno mungkin agak 'distracting'. Perkara ini juga yang membuat penulis sendiri ada masalah dengan filem arahan Shuhaimi Baba iaitu Hati Malaya 1957 dan Tanda Putera. Memang tujuannya untuk menunjukkan sisi-sisi kemanusiaan Soekarno, namun akhirnya kita akan bertanya, sejauh mana semua pengalaman hidup sewaktu Soekarno membesar menjadi inspirasi kepada beliau untuk bengkit melawan Belanda? Sisi ini yang kurang dikupas dalam filem ini. Walaupun pada awalnya ditunjukkan Soekarno dihalau dari rumah orang Belanda kerana mahu keluar dengan seorang anak Belanda, tetapi itu hanya 'superficial' sahaja. Takkanlah kerana itu sahaja Soekarno terus bangkit menentang Belanda?

Memang betul apabila filem ini dikritik hebat kerana terlampau fokus kepada nilai-nilai komersial. Penulis fikir filem ini boleh pergi jauh sekiranya dimasukkan juga perbincangan serius daripada Soekarno mengenai rakyat dan negara. Bukankah Soekarno juga belajar daripada tokoh besar seperti Tjokroaminoto? Mana idea-idea nasionalisme dan Islamis beliau? Bagaimana pula akhirnya Soekarno terpengaruh dengan Marxist dan Sosialisme? Bagaimana beliau menggagaskan idea perjuangan rakyat Marhaen apabila berinteraksi dengan rakyat bawah? Sebenarnya ada ruang untuk babak penting ini dimasukkan di dalam filem ini melalui dialog beliau dengan Hatta dan Sjahrir. Penulis merasakan filem ini paling menarik sewaktu ketiga-tiga tokoh ini bertengkar dan berbalah pendapat. Dialog antara Soekarno dan Hatta di dalam kereta selepas perjumpaan dengan Jeneral Jepun memang adalah sebuah pengakuan bahawa harapan pendiri awal Republik Indonesia masih lagi belum tercapai. Mereka sudah melaksanakan sebaik mungkin untuk memulakan langkah, namun bergantung kepada generasi masa hadapan untuk mengisi kemerdekaan.

Kelemahan terbesar filem ini adalah mungkin tidak mendasarkan ia pada sebuah buku atau biografi. Pasti sudah banyak tulisan dan kajian mengenai Soekarno telah dibuat, baik memuji, mengkritik atau sekadar catatan. Banyak filem 'historical' Hollywood adalah hasil adaptasi buku kerana mereka tahu amat sukar untuk membuat lakon layar filem sejarah tanpa ada kajian terlebih dahulu. Jadi dengan usaha mengadaptasi, maka penulis buku tersebut yang akan mengisi dan mengawal peristiwa-peristiwa manakah yang penting yang perlu difokuskan.

Berkaitan dengan kualiti lakonan, Ario Bayu, Lukman Sardi dan Tanta Ginting berjaya memainkan watak mereka dengan baik. Pidato Soekarno berjaya dipaparkan dengan bersemangat. Penulis sendiri apabila mendengar pidato tersebut seperti mahu sahaja bangkit dari kerusi panggung dan berteriak Hidup Bung Karno! Manakala usaha filem ini untuk menggambarkan suasana Indonesia zaman 1940an patut dipuji. Penulis sangat teruja dengan babak pada awal filem di mana Soekarno ditahan oleh Belanda selepas berpidato mendesak kemerdekaan Indonesia namun dihalang orang ramai.

Akhir sekali, Hanung berjaya membuat filem sejarah Indonesia yang sederhana. Jangan pandang rendah dengan filem seperti ini walaupun mungkin banyak perkara tidak difilemkan. Ianya akan jadi satu rujukan oleh generasi muda pada masa depan. Zaman ini adalah zaman membaca adalah satu hobi masa lapang, namun menonton video, filem dan mendengar muzik menjadi satu kemestian. Orang lebih berminat dengan gambar dan suara daripada tulisan dan kata-kata. Kita sebagai rakyat Malaysia kena berusaha membikin sebuah filem sejarah yang betul-betul bagus filem tersebut menjadi rujukan masyarakat dunia sekiranya mahu tahu tentang Malaysia.